Delegasi tinggi Indonesia yang terdiri daripada menteri kanan dan timbalan mereka kini berada di Washington DC bagi rundingan perdagangan dengan rakan sejawat dari Amerika Syarikat, dalam usaha yang digambarkan sebagai “tidak bermotif balas dendam” untuk mengelak pelaksanaan tarif 32 peratus terhadap eksport Indonesia ke Amerika Syarikat.
Jika tarif timbal balik ini dikuatkuasakan selepas tempoh penangguhan selama 90 hari yang bermula 9 April lalu, ia berisiko menjejas ekonomi negara dan mengganggu sasaran Presiden Prabowo Subianto untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lapan peratus.
Delegasi tersebut bertolak dari Indonesia pada 15 April dan dijadualkan berada di ibu negara AS sehingga 23 April untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan, Setiausaha Negara, Setiausaha Perbendaharaan, serta pegawai dari Pejabat Wakil Perdagangan Amerika.
Mereka dijangka mengemukakan beberapa konsesi perdagangan, termasuk meningkatkan pembelian barangan Amerika untuk mengimbangi defisit dagangan sekitar AS$18 bilion ($23.6 bilion).
Menteri Koordinator Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto, yang mengetuai delegasi, berkata sebelum berlepas bahawa mereka telah mengadakan mesyuarat dalam talian dengan Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick pada malam sebelumnya bagi menetapkan rangka perbincangan.
“Kita akan bincang aspek teknikal di Washington DC. Kami mahukan hasil yang konkrit dan spesifik. Kita cari langkah yang pragmatik,” kata beliau.
Delegasi ini turut disertai Menteri Kewangan Cik Sri Mulyani Indrawati; Menteri Luar Encik Sugiono dan timbalannya, Encik Arrmanatha Nasir; Timbalan Ketua Majlis Ekonomi Negara dan bekas Menteri Perdagangan Cik Mari Elka Pangestu, serta Timbalan Menteri Kewangan, Encik Thomas Djiwandono.
Mereka membawa satu dokumen dasar lengkap yang digambarkan oleh Encik Airlangga sebagai kertas cadangan tidak rasmi yang merangkumi isu tarif, halangan bukan tarif, pelaburan dan bidang kewangan sebagai elemen timbal balik.
Menurut Encik Airlangga, Indonesia adalah antara negara pertama yang dijemput ke Washington DC untuk rundingan ini. Antara cadangan yang dibawa termasuklah pembelian barangan tenaga dan pertanian dari Amerika “mengikut keperluan nasional” dengan nilai yang diharap dapat mengecilkan lebihan dagangan selain menggalakkan pelaburan syarikat Indonesia di AS.
“Indonesia bercadang menampung perbezaan antara eksport dan import yang bernilai sekitar AS$18 bilion hingga AS$19 bilion,” jelasnya.
Walaupun pendekatan yang diambil bersifat diplomatik, penganalisis mengingatkan agar delegasi Indonesia tidak mudah berundur dalam rundingan. Mereka berpendapat Indonesia mempunyai kedudukan tawar-menawar yang lebih kuat berbanding negara jiran.
“Eksport Indonesia ke Amerika hanya merangkumi sekitar 10.5 peratus daripada eksport bukan minyak dan gas. Ini jauh lebih rendah berbanding Vietnam atau Thailand, jadi kita tidak terlalu bergantung,” kata Fadhil Hasan, pakar ekonomi kanan dari Institut Pengembangan Ekonomi dan Kewangan (INDEF).
Encik Mohammad Faisal dari Pusat Reformasi Ekonomi (CORE) pula menegaskan bahawa delegasi perlu tahu sektor mana yang wajar diperjuangkan. “Mereka perlu pertahankan komoditi utama seperti udang, pakaian sukan, fesyen dan tayar getah. Sektor-sektor ini mesti diberi keutamaan untuk pengecualian tarif atau setidaknya dikenakan tarif paling rendah,” katanya kepada Berita Harian.
Sementara itu, Encik Tauhid Ahmad dari INDEF berkata delegasi juga perlu menekankan ketidakadilan tarif itu, memohon penangguhan tambahan serta membuka lebih banyak rundingan secara perniagaan antara pengeksport Indonesia dan pengimport Amerika termasuk membentuk sokongan kecemasan kepada sektor yang terkesan.
Di dalam negara, pemerintah sedang menubuhkan pasukan petugas khas atas arahan Presiden Prabowo untuk meneliti langkah mengurangkan risiko pemberhentian kerja. Gabungan Kesatuan Pekerja Indonesia (KSPI) menjangka sekitar 50,000 pekerja boleh terjejas dalam tempoh tiga bulan selepas tarif dilaksanakan.
Menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), tarif ini dijangka mengancam sektor padat buruh seperti tekstil, pakaian dan kasut — sebahagian besarnya untuk jenama Amerika yang menyumbang hampir 60 peratus eksport Indonesia, selain sektor elektronik dan perikanan, terutama udang.
“Tarif baru ini menambahkan satu lagi cabaran besar,” tulis CSIS dalam ulasannya pada 9 April.
Pemerintah juga sedang menubuhkan pasukan petugas pemudah cara dasar bagi melonggarkan syarat kandungan tempatan dalam barangan import dan mengurangkan birokrasi yang menyukarkan kelulusan lesen perniagaan.
Isu ini pernah menimbulkan ketegangan lima bulan antara pemerintah dan Apple Inc., apabila iPhone 16 dilarang dijual kerana tidak memenuhi syarat kandungan tempatan.
Larangan itu ditarik balik pada Februari selepas Apple bersetuju untuk melabur AS$1 bilion dalam penyelidikan dan pembangunan sebagai ganti dengan memasukkan komponen tempatan ke dalam produknya.
“Jangan sia-siakan krisis ini. Lakukan reformasi kerana inilah masa terbaik malah pemimpin Asean juga telah menyeru pembaharuan dalaman untuk menjadikan rantau ini lebih cekap dan kompetitif,” kata Cik Mari dalam ucapannya pada 6 April lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg