Skandal kuota haji: Bekas menteri agama Indonesia ditahan agensi rasuah
Skandal kuota haji: Bekas menteri agama Indonesia ditahan agensi rasuah
JAKARTA: Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah Indonesia (KPK) pada malam 12 Mac menahan bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Cholil Qoumas, selepas beliau dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah berkaitan pengurusan kuota Haji bagi tempoh 2023 hingga 2024.
Yaqut, yang memakai jaket tahanan berwarna oren dan bergari, diiring keluar menuju ke pusat tahanan selepas selesai disoal siasat di ibu pejabat KPK di Jakarta Selatan.
Timbalan Ketua Penguatkuasaan KPK, Encik Asep Guntur Rahayu, berkata penahanan itu dibuat bagi tempoh awal selama 20 hari.
“KPK telah menahan suspek YCQ (Yaqut Cholil Qoumas) untuk tempoh awal 20 hari bermula 12 Mac hingga 31 Mac 2026,” katanya dalam sidang media di Jakarta.
Turut dinamakan sebagai suspek kedua dalam kes itu ialah bekas kakitangan khas Encik Yaqut, Ishfah Abidal Aziz, yang juga dikenali sebagai Gus Alex.
Penyiasat KPK mendakwa Yaqut menerima rasuah daripada agensi pelancongan haji sebagai balasan bagi pemberian kuota keberangkatan kepada syarikat tertentu.
Indonesia menerima kuota tahunan sekitar 220,000 jemaah Haji daripada pemerintah Arab Saudi.
Namun permintaan untuk menunaikan ibadah tersebut sangat tinggi sehingga senarai menunggu mencecah puluhan juta orang.
Di bawah prosedur biasa, seseorang yang mendaftar hari ini mungkin perlu menunggu sehingga sedekad sebelum dapat menunaikan haji.
Menurut KPK, kes rasuah itu berkait dengan pengagihan kuota tambahan haji yang tidak mengikut peruntukan undang-undang.
Peraturan sedia ada menetapkan bahawa 92 peratus kuota mesti diperuntukkan kepada jemaah haji biasa, manakala 8 peratus lagi bagi perkhidmatan haji khas.
Bagaimanapun, pada 2024 pemerintah Indonesia menerima tambahan kuota sebanyak 20,000 jemaah daripada Arab Saudi.
KPK mendakwa kuota tambahan tersebut tidak diagihkan mengikut ketetapan undang-undang.
Sebaliknya, kuota itu dibahagikan sama rata, iaitu 50 peratus untuk jemaah haji biasa dan 50 peratus untuk perkhidmatan haji khas, yang didakwa dilakukan atas arahan Yaqut.
Agensi pelancongan yang mendapat manfaat daripada pengagihan baharu itu dipercayai membuat bayaran kepada pegawai di Kementerian Hal Ehwal Agama.
Menurut juruaudit negara, jumlah kerugian yang ditanggung pemerintah akibat kes tersebut dianggarkan mencecah 622 bilion rupiah ($53 juta).
Yaqut bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah menerima sebarang wang berkaitan kes berkenaan.
“Saya tidak pernah menerima walau satu rupiah pun daripada tuduhan yang dikenakan terhadap saya,” katanya kepada wartawan ketika diiring keluar oleh pegawai KPK.
Dia menegaskan semua dasar yang dilaksanakannya ketika menjadi menteri dibuat semata-mata untuk kepentingan dan keselamatan jemaah haji.
“Saya melaksanakan semua dasar tersebut hanya demi kepentingan para jemaah,” katanya.
KPK pertama kali mengumumkan siasatan terhadap kes itu pada 9 Ogos 2025 selepas menerima maklumat mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam penentuan kuota dan pengurusan haji bagi tempoh 2023 hingga 2024.
Beberapa hari selepas itu, agensi tersebut menganggarkan kerugian negara mungkin melebihi 1 trilion rupiah dan mengenakan larangan perjalanan terhadap tiga individu, termasuk Yaqut.
Pada Januari 2026, KPK secara rasmi menamakan Yaqut dan pembantunya sebagai suspek dalam kes tersebut.
Yaqut kemudian mencabar keputusan itu melalui permohonan praperbicaraan di mahkamah.
Namun pada 11 Mac 2026, Mahkamah Daerah Jakarta Selatan menolak permohonan tersebut, sekali gus membolehkan proses penyiasatan diteruskan. – Agensi berita.

