Sokongan terhadap Prabowo melonjak meski kejatuhan pasaran Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan terhadap Prabowo melonjak meski kejatuhan pasaran Indonesia

Feb 9, 2026 | 12:15 PM

Sokongan terhadap Prabowo melonjak meski kejatuhan pasaran Indonesia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
presiden prabowo subianto, wef, forum ekonomi sedunia, Indonesia
Tinjauan nasional terkini menunjukkan tahap kepuasan rakyat terhadap kepimpinan Presiden Prabowo Subianto meningkat kepada hampir 80 peratus, mengatasi rekod sokongan yang dicatat oleh dua pendahulunya, Encik Joko Widodo dan Dr Susilo Bambang Yudhoyono. Gambar Presiden Prabowo dirakam semasa berucap di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada 22 Januari 2026. - Foto AFP

JAKARTA: Tahap kepuasan rakyat Indonesia terhadap Presiden Prabowo Subianto melonjak kepada hampir 80 peratus dalam satu tinjauan nasional yang dijalankan pada Januari, sebelum berlakunya kejatuhan pasaran saham Indonesia yang terbesar sejak Krisis Kewangan Asia 1998.

Menurut kaji selidik yang dikeluarkan oleh Indikator Politik Indonesia pada 8 Februari, sebanyak 79.9 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati atau sangat berpuas hati dengan prestasi Encik Prabowo dalam tahun pertamanya sebagai presiden.

Angka itu meningkat berbanding 78 peratus yang direkodkan dalam tinjauan November 2025.

Daripada jumlah itu, 13 peratus responden berkata mereka sangat berpuas hati, manakala 66.9 peratus lagi menyatakan berpuas hati.

Sebaliknya, 19.3 peratus responden mengaku tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintahan pimpinan Encik Prabowo setakat ini.

Tinjauan tersebut dijalankan dari 15 hingga 21 Januari 2026, melibatkan 1,220 responden berusia 17 tahun ke atas dari seluruh wilayah Indonesia.

Ia menggunakan kaedah sampel rawak berperingkat, dengan temu bual dilakukan secara bersemuka dan margin ralat sekitar 2.9 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.

Pengarah Eksekutif Indikator Politik Indonesia, Dr Burhanuddin Muhtadi, berkata tahap sokongan terhadap Encik Prabowo adalah antara yang tertinggi pernah direkodkan bagi seorang Presiden pada peringkat awal pentadbiran.

“Jika dibandingkan dengan fasa awal pentadbiran Susilo Bambang Yudhoyono pada 2004 atau Joko (Jokowi) Widodo pada 2014, tahap kepuasan terhadap Presiden Prabowo adalah lebih tinggi,” katanya dalam sidang media maya.

Menurut Dr Burhanuddin, sokongan tinggi itu tidak hanya berpunca daripada penyokong tradisional Parti Gerindra, malah dipengaruhi oleh sokongan politik yang diwarisi daripada Encik Jokowi.

“Presiden Prabowo tidak bergantung sepenuhnya kepada asas sokongan beliau sendiri, tetapi juga menerima limpahan sokongan daripada Presiden Jokowi,” katanya, merujuk kepada sokongan terbuka Encik Jokowi dalam pilihan raya presiden 2024, termasuk pencalonan anaknya, Encik Gibran Rakabuming Raka, sebagai calon naib presiden.

Dari segi demografi, Encik Prabowo kekal paling popular dalam kalangan Generasi Z dan penduduk luar bandar.

Responden Generasi Z menyatakan tahap kepuasan yang tekal, dengan kira-kira 71 peratus daripada kumpulan umur itu menyokong kepimpinan Presiden.

Antara faktor utama yang mendorong kepuasan rakyat ialah usaha pemerintah membanteras rasuah, bantuan sosial yang kerap kepada rakyat, ketegasan dan keberanian kepimpinan, program makanan percuma berkhasiat, serta peningkatan tahap keselamatan.

Program makanan percuma, yang merupakan antara dasar utama Encik Prabowo, turut menerima sokongan meluas, dengan 72.8 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, tinjauan itu turut mendedahkan beberapa kebimbangan rakyat.

Antara isu paling mendesak yang menurut responden perlu ditangani pemerintah ialah kenaikan harga barangan keperluan, pembasmian rasuah yang lebih berkesan, serta penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan.

Sebanyak 45.3 peratus responden percaya kos sara hidup, khususnya harga barangan keperluan asas, adalah lebih tinggi di bawah pentadbiran Encik Prabowo berbanding tempoh sebelumnya.

Selain itu, ketidakseimbangan agihan bantuan, ekonomi yang semakin mencabar dan kesukaran mencari pekerjaan turut menjadi punca ketidakpuasan hati.

Tinjauan itu diterbitkan ketika Indonesia berdepan tekanan pasaran yang ketara.

Pada penghujung Januari, indeks saham utama negara itu mencatat kejatuhan dua hari terburuk sejak 1998, selepas syarikat penyedia indeks pasaran kewangan sejagat, Morgan Stanley Capital International (MSCI), memberi amaran Indonesia berisiko diturunkan taraf daripada pasaran sedang pesat membangun kepada pasaran sempadan, susulan isu kecairan dan ketelusan pasaran saham.

Walaupun pengawal selia mengumumkan beberapa langkah pembaharuan bagi menenangkan pasaran, Penarafan Moody’s pada 5 Februari menurunkan unjuran penarafan kredit Indonesia kepada negatif, dengan alasan “kekurangan kebolehramalan dalam penggubalan dasar” serta komunikasi pemerintah yang lemah.

Sejak mengambil alih jawatan pada Oktober 2024, Encik Prabowo dilihat memusatkan kuasa, memperluas peranan tentera dalam pentadbiran, mengetatkan kawalan terhadap golongan elit perniagaan, dan menempatkan individu kepercayaan dalam jawatan strategik, termasuk pelantikan ahli keluarga dalam institusi penting.

Namun, penganalisis berpandangan sokongan awam yang kukuh memberi ruang politik kepada Encik Prabowo untuk meneruskan agenda berteraskan perbelanjaan sosial yang besar dan peranan negara yang lebih dominan dalam ekonomi, walaupun pasaran kewangan menggesa pendekatan yang lebih berhati-hati.

Bagi Indikator Politik Indonesia, dapatan tinjauan itu menunjukkan buat masa ini, sokongan rakyat terhadap Presiden Prabowo masih kekal kukuh, meskipun cabaran ekonomi dan kebimbangan pasaran semakin meningkat. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg