Status warga Indonesia pulang dari Kemboja: Mangsa penipuan atau pesalah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Status warga Indonesia pulang dari Kemboja: Mangsa penipuan atau pesalah

Ada lihat mereka peserta aktif dalam jenayah ekonomi rentas sempadan yang tersusun, sistematik dan berulang
Feb 2, 2026 | 5:30 AM

Status warga Indonesia pulang dari Kemboja: Mangsa penipuan atau pesalah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
mangsa, atau pelaku jenayah, Indonesia
Orang ramai berkumpul di hadapan Kedutaan Besar Indonesia di Phnom Penh pada 21 Januari 2026. Lebih 2,000 warga Indonesia telah meninggalkan rangkaian penipuan siber di Kemboja dalam tempoh lima hari, menurut kenyataan Jakarta pada 21 Januari, selepas Phnom Penh berikrar melancarkan tindakan keras baharu terhadap kegiatan haram tersebut. - Foto AFP

Jumlah warga Indonesia yang melarikan diri dari pusat penipuan dalam talian di Kemboja terus meningkat, apabila mereka tampil mendaftar dan memohon bantuan penghantaran pulang melalui Kedutaan Besar Indonesia di Phnom Penh.

Situasi ini mencetuskan persoalan di tanah air mengenai kelayakan mereka untuk dilayan sebagai mangsa serta diterbangkan pulang dengan kos ditanggung negara.

Dalam tempoh 16 hingga 26 Januari, seramai 2,493 warga Indonesia telah melaporkan diri kepada pihak kedutaan. Setiap kes dinilai secara individu sebelum kedutaan mengeluarkan dokumen perjalanan kecemasan.

Sebahagian daripada mereka yang memiliki pasport sah dan tidak dikenakan penalti imigresen telah pulang ke Indonesia secara persendirian, manakala 46 lagi yang menerima dokumen perjalanan kecemasan serta pengecualian denda imigresen telah membeli tiket sendiri dan dijadualkan pulang pada 30 Januari.

Jumlah ini yang terkumpul hanya dalam tempoh 11 hari jauh mengatasi 5,008 kes yang direkodkan sepanjang tahun 2025.

Duta Besar Indonesia ke Kemboja, Encik Santo Darmosumarto, berkata dalam sidang media dalam talian pada 27 Januari bahawa peningkatan mendadak itu berpunca daripada tindakan keras kerajaan Kemboja terhadap sindiket penipuan dalam talian.

“Ada antara mereka yang baru pertama kali berada di sini, ada juga yang pernah datang sebelum ini, malah ada yang sudah dua kali berada di sini, dan sebahagian lagi telah berada di pusat penipuan selama setahun atau dua tahun,” kata Encik Santo dari Phnom Penh.

Namun, perdebatan mengenai sama ada mereka wajar dikategorikan sebagai mangsa mula tercetus selepas Ketua Autoriti Jasa Kewangan (OJK), Encik Mahendra Siregar, menggesa pendekatan lebih berhati-hati dalam melabelkan mereka secara keseluruhan sebagai mangsa.

“Saya tidak sepenuhnya bersetuju untuk mengkategorikan mereka sebagai mangsa pemerdagangan manusia. Mereka adalah penipu. Hakikatnya, mereka terlibat dalam operasi penipuan, walaupun perkara ini masih tertakluk kepada siasatan lanjut,” kata Encik Mahendra kepada Suruhanjaya XI Dewan Perwakilan Rakyat yang menyelia sektor kewangan dan perkhidmatan monetari, pada 22 Januari.

Encik Mahendra berkata China menganggap warganya yang terlibat dalam pusat penipuan sebagai penjenayah, dan kepulangan mereka ke China dianggap sebagai proses ekstradisi bagi tujuan pendakwaan lanjut.

Menurutnya, perspektif yang tepat perlu dikekalkan bagi mengelakkan tanggapan bahawa mereka adalah mangsa sedangkan mereka sebenarnya terlibat sebagai pelaku.

“Sama ada mereka sedar atau tidak tentang perbuatan mereka, bukti menunjukkan mereka adalah sebahagian daripada operasi tersebut. Itulah realitinya. Inilah cara melihat keadaan dengan lebih jelas,” katanya.

Bagaimanapun, badan pemantau hak asasi manusia, Amnesty International Indonesia pantas menolak pandangan Encik Mahendra itu sebagai tidak peka terhadap “realiti perhambaan moden”.

Hasil siasatan Amnesty mendapati individu yang bekerja di pusat penipuan dalam talian di Kemboja merupakan mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa melakukan kerja di bawah ancaman keganasan, tanpa mengira sama ada mereka menyedari atau tidak sifat sebenar pekerjaan tersebut.

Pusat Penyelidikan Sistem Keselamatan Komunikasi dan Informasi (CISSReC) berpandangan bahawa meskipun pendekatan badan pemantau hak asasi manusia Amnesty bersifat berperikemanusiaan, dari sudut kriminologi dan risikan ia berpotensi mengaburkan gambaran sebenar isu berkenaan.

Menurut CISSReC, Indonesia boleh contohi logik penguatkuasaan undang-undang China yang membezakan secara jelas antara mangsa sebenar dan pengendali jenayah profesional.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Encik Usman Hamid, berkata pandangan Encik Mahendra yang mengkategorikan ribuan warga Indonesia yang melarikan diri dari pusat penipuan dan mendapatkan perlindungan negara sebagai penjenayah berisiko melanggar prinsip hak asasi manusia berkaitan perlindungan mangsa pemerdagangan manusia dan perhambaan.

“Kenyataan sedemikian berisiko melemahkan usaha pemerintah untuk menyiasat punca sebenar masalah ini, iaitu pemerdagangan manusia, yang merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius,” kata Encik Usman dalam satu kenyataan.

Ketua CISSReC, Dr Pratama Persadha, berkata dari perspektif jenayah siber terancang, anggapan bahawa semua individu terbabit merupakan mangsa boleh menutup hakikat bahawa sebahagian daripada mereka adalah peserta aktif dalam jenayah ekonomi rentas sempadan yang tersusun, sistematik dan berulang.

Pendekatan yang melihat semua individu semata-mata sebagai mangsa boleh melemahkan usaha pencegahan, mewujudkan risiko moral, serta membuka ruang selamat kepada sindiket untuk terus merekrut tenaga kerja dari Indonesia,” katanya kepada Berita Harian.

Menurut beliau, realitinya terdapat individu yang ditipu dan tidak mengetahui sifat sebenar pekerjaan mereka, ada yang pada awalnya ditipu tetapi kemudian bekerjasama di bawah tekanan untuk memenuhi sasaran, dan ada juga yang sejak awal menyedari sepenuhnya serta memilih secara sukarela untuk terlibat dalam industri jenayah rentas negara.

Berdasarkan keadaan ini, Dr Pratama berkata dasar pemerintah perlu beralih kepada sistem saringan berlapis, bukannya penghantaran pulang secara beramai-ramai tanpa pembezaan.

“Tanpa perubahan pendekatan, Indonesia berisiko menjadi pembekal tenaga kerja jenayah digital kepada industri penipuan serantau. Dari sudut risikan dan keselamatan negara, ini merupakan ancaman serius, kerana negara bukan lagi sekadar mangsa, tetapi sebahagian daripada ekosistem jenayah siber global,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg