MAE SOT, Thailand: Lebih 600 orang melarikan diri dari salah satu pusat penipuan dalam talian paling terkenal di Myanmar dan menyeberangi Sungai Moei ke Thailand selepas serbuan ketenteraan dilakukan ke atas kompleks tersebut, menurut pegawai wilayah Thailand pada 23 Oktober.
Timbalan Gabenor Wilayah Tak, Encik Sawanit Suriyakul Na Ayutthaya, berkata bahawa seramai 677 individu telah melarikan diri dari pusat penipuan yang dikenali sebagai KK Park, yang terletak di sempadan Myanmar–Thailand.
“Sebanyak 677 orang telah menyeberangi sungai ke wilayah Tak selepas serbuan pihak tentera Myanmar. Pasukan imigresen dan tentera kami bekerjasama untuk memberi bantuan mengikut prosedur kemanusiaan,” katanya kepada AFP pada 23 Oktober.
Beliau menambah bahawa semua mereka akan disaring bagi menentukan sama ada merupakan mangsa pemerdagangan manusia atau bakal didakwa kerana melanggar undang-undang imigresen.
Kompleks KK Park antara beberapa pusat penipuan terbesar di sepanjang sempadan Myanmar yang longgar kawalannya. Kawasan tersebut menjadi tumpuan penjenayah siber yang menjalankan taktik penipuan percintaan dan pelaburan palsu, terutama sejak tercetusnya perang saudara selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2021.
Walaupun Myanmar mendakwa melancarkan tindakan keras terhadap aktiviti penipuan itu sejak Februari lalu, laporan AFP menunjukkan pembinaan kompleks baharu masih berjalan. Malah, pemasangan besar-besaran penerima isyarat Starlink turut dikesan di beberapa lokasi, dipercayai menghubungkan pusat-pusat itu kepada rangkaian satelit milik syarikat Elon Musk.
Menurut saksi di kawasan berkenaan, sekitar 700 orang dipercayai telah menyeberangi sempadan secara haram pada waktu malam, manakala lebih 100 lagi dilihat berkumpul di bahagian Myanmar pagi 23 Oktober, sebahagiannya membawa beg besar dan beg galas.
Seorang pemandu tempatan yang enggan dikenali kerana faktor keselamatan berkata, “Ramai daripada mereka melarikan diri selepas mendengar khabar tentang serbuan tentera. Ada yang berjalan kaki berjam-jam sebelum tiba di sungai.”
Walaupun ramai pekerja di pusat tersebut dipercayai diperdagangkan dan dipaksa bekerja, pakar menyatakan sebahagiannya menyertai secara sukarela kerana tertarik dengan janji pendapatan tinggi dalam industri penipuan bernilai berbilion dolar itu.
Pejabat Pentadbiran Wilayah Tak dalam satu kenyataan berkata, kumpulan yang menyeberang terdiri daripada warganegara asing, lelaki dan wanita, dan pihak berkuasa menjangkakan lebih ramai akan melarikan diri dalam beberapa hari akan datang.
Menurut laporan agensi berita Antara, sekitar 20 warga Indonesia turut berjaya menyeberangi Sungai Moei pada 22 Oktober berdasarkan maklumat Kedutaan Besar Indonesia di Yangon yang memetik sumber berkuasa Thailand.
Penganalisis berkata, rejim tentera Myanmar selama ini menutup mata terhadap pusat penipuan ini kerana ia memberi keuntungan besar kepada kumpulan militia sekutu mereka, yang menjadi rakan penting dalam peperangan menentang kumpulan pemberontak.
“Penindasan yang dilakukan junta ke atas pusat-pusat ini lebih kepada langkah kosmetik untuk memuaskan hati China,” kata seorang penganalisis keselamatan serantau kepada AFP.
China, yang merupakan sekutu rapat Myanmar, telah menekan Naypyidaw supaya menutup operasi tersebut selepas ramai rakyat China menjadi mangsa penipuan siber dan turut terlibat sebagai pelaku.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerugian akibat penipuan siber di Asia Tenggara mencecah AS$37 bilion (S$48 bilion) pada tahun 2023, dengan angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Industri jenayah rentas sempadan ini bukan hanya berpusat di Myanmar. Di Kemboja, pihak berkuasa minggu lalu mengusir 64 warga Korea Selatan yang dituduh mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan siber, manakala 57 lagi warga Korea Selatan dan 29 warga China ditahan dalam serbuan di Phnom Penh pada 22 Oktober.
Di Thailand pula, Timbalan Menteri Kewangan Vorapak Tanyawong meletakkan jawatan semalam selepas dikaitkan dengan operasi penipuan siber di Kemboja.
Pihak berkuasa Asean kini berdepan cabaran besar menangani fenomena yang semakin meluas ini, di mana teknologi komunikasi dan kewangan digital digunakan untuk memperdaya mangsa dari seluruh dunia.
“Ini bukan lagi jenayah tempatan — ia sudah menjadi jaringan antarabangsa dengan keuntungan luar biasa,” kata Encik Sawanit. “Thailand akan terus bekerjasama dengan negara jiran bagi memastikan keselamatan sempadan dan melindungi mangsa yang terperangkap.”
Walaupun 677 orang kini selamat di wilayah Tak, pegawai berkata lebih ramai pekerja masih terperangkap di kompleks lain di Myanmar, menunggu peluang untuk melarikan diri daripada apa yang disifatkan oleh aktivis sebagai “perhambaan moden era digital.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg