Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Jawa Timur jalankan siasatan jenayah pesantren runtuh, korbankan 67 pelajar

Oct 10, 2025 | 12:01 PM
Polis Jawa Timur sedang menjalankan siasatan kes jenayah melibatkan bangunan Pondok Pesantran Al-Khoziny yang runtuh pada 29 September, mengorbankan 67 pelajar.
Polis Jawa Timur sedang menjalankan siasatan kes jenayah melibatkan bangunan Pondok Pesantran Al-Khoziny yang runtuh pada 29 September, mengorbankan 67 pelajar. - Foto: REUTERS

SURABAYA: Polis Jawa Timur telah melancarkan siasatan jenayah ke atas kes bangunan di Pondok Pesantren (Ponpes) Al Khoziny di Kabupaten Sidoarjo yang runtuh sehingga mengorbankan 67 pelajar.

Tragedi tersebut merupakan salah satu bencana bukan alam paling buruk di negara itu sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Jawa Timur Inspektor Jeneral Nanang Avianto berkata siasatan jenayah itu dilancarkan selepas penemuan awal menunjukkan kecuaian dalam pembinaan bangunan itu.

“Kami telah membentuk pasukan khas untuk menjalankan siasatan, dan setakat ini, pasukan itu telah menyoal siasat 17 saksi berhubung kejadian itu,” kata Encik Nanang semasa sidang media di Hospital Bhayangkara di Surabaya pada petang 8 Oktober.

Penyiasat juga akan menyoal pakar kejuruteraan awam dan undang-undang jenayah untuk menganalisis punca keruntuhan dan menentukan sama ada sebarang pelanggaran jenayah berlaku semasa proses pembinaan.

Meskipun tiada suspek dinamakan setakat ini, Encik Nanang berkata sesiapa yang didapati bertanggungjawab boleh didakwa mengikut Perkara 359 dan 360 Kanun Jenayah serta Perkara 46 dan 47 Undang-undang Bangunan 2002 yang meliputi kecuaian sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Kesalahan sedemikian boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda sehingga 20 peratus daripada jumlah kos pembinaan bangunan yang runtuh itu.

Bangunan pesantren tersebut runtuh sekitar 3 petang pada 29 September ketika sebuah trak sedang menuang konkrit di tingkat tiga struktur yang belum siap itu.

Pihak berkuasa percaya bangunan itu mungkin tidak dapat menampung berat tambahan, menyebabkan ia runtuh dengan sendirinya.

Meskipun pembinaan belum selesai sepenuhnya, bangunan yang mula dibina sejak 10 bulan lalu itu telah pun digunakan secara tetap untuk solat oleh para pelajar dan guru.

Ketika kejadian, kira-kira 170 pelajar berada di dalam bangunan, menunaikan solat asar di tingkat satu.

Ketika operasi mencari dan menyelamat berakhir pada 7 Oktober, pegawai penyelamat telah menemui 67 mayat dari bawah runtuhan.

Sehingga 8 Oktober, 40 mangsa telah dikenal pasti, dan pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa yang masih ada.

Tragedi itu telah mencetuskan kebimbangan meluas mengenai kekurangan piawaian keselamatan bangunan nasional dan seruan diperbaharui untuk akauntabiliti.

Menurut pihak berkuasa tempatan, struktur yang runtuh itu tidak mempunyai permit bangunan yang sah dan didakwa dibina tanpa mematuhi peraturan keselamatan atau struktur yang sepatutnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg