Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah runtuh di Cilacap ragut 2 nyawa, 21 masih hilang

Nov 14, 2025 | 12:40 PM
cilacap, tanah runtuh,
Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa tanah runtuh di Kampung Cibeunying, Kabupaten Cilacap, Jawa Tengah, pada malam 13 November. - Foto  BADAN NASIONAL PENCARIAN DAN PERTOLONGA (BASARNAS) CILACAP

CILACAP (Indonesia): Dua penduduk terkorban manakala sekurang-kurangnya 21 lagi hilang selepas tanah runtuh melanda tiga kampung di daerah Cilacap, Jawa Tengah, pada malam 13 November.

Insiden berlaku sekitar 8 malam selepas hujan berterusan beberapa hari melemahkan struktur tanah di kawasan berbukit.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Encik Abdul Muhari, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan segera sebaik laporan diterima.

“Setakat pagi Jumaat (14 November), pasukan gabungan berjaya menyelamatkan 23 mangsa hidup. Dua mangsa ditemukan meninggal dunia dan 21 lagi masih dalam pencarian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tanah runtuh tersebut menimbus dan merosakkan beberapa rumah di Kampung Cibuyut, Taruhan dan Cibeunying, menyebabkan puluhan penduduk terperangkap.

Keadaan tanah yang masih bergerak serta lereng curam menyukarkan operasi SAR.

“Medan yang tidak stabil menjadi cabaran utama. Jentera berat telah digerakkan bagi membantu pencarian,” kata Encik Muhari.

Ketua Kecamatan (Daerah) Majenang, Encik Aji Pramono, mengesahkan bahawa operasi pencarian disambung pada pagi 14 November.

Beliau menyatakan bahawa keseluruhan 28 penduduk terjejas, termasuk lima yang terselamat.

“Pagi ini, pasukan SAR gabungan kembali menjalankan evakuasi dan pencarian. Masih ada 21 penduduk yang belum ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Beliau menambah bahawa tanah runtuh ini dipercayai bukan sekadar akibat hujan malam sebelumnya, tetapi berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak hujung minggu yang menyebabkan tanah menjadi terlalu tepu air.

“Hujan semalam (13 November) sebenarnya tidak terlalu lebat. Tetapi tanah sudah lama menyerap hujan beberapa hari, sehingga tidak mampu menahan beban dan akhirnya runtuh,” jelasnya.

Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Cilacap, Encik Budi Setyawan, berkata dua mangsa yang ditemui meninggal dunia dikenal pasti sebagai Julia, 20 tahun, dan Maya, 15 tahun, dari Dukuh Taruhan.

Katanya, tujuh lagi penduduk di Dukuh Taruhan masih hilang termasuk Yuni, Nina, Fani, Fatin, Lilis, Danu dan seorang bayi anak Lilis.

Sementara itu, di Dusun Cibuyut, 14 penduduk dari beberapa keluarga masih belum ditemui.

Mereka termasuk Rastum, Rahma, Aca, Cahyanto dan keluarga Dani (isteri dan dua anak).

Pasukan penyelamat kini cuba menembusi kawasan runtuhan yang dalam sesetengah tempat setinggi dua meter.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) sebelum ini mengeluarkan amaran cuaca ekstrem, memberi peringatan tentang risiko bencana hidrometeorologi seperti tanah runtuh, banjir kilat dan angin kencang.

BMKG menjangkakan hujan lebat akan berterusan di beberapa wilayah Indonesia dalam minggu-minggu mendatang.

Fenomena ini berkait rapat dengan musim monsun tahunan antara November hingga April, yang sering membawa kejadian tanah runtuh dan banjir.

Namun, perubahan iklim telah memburukkan corak hujan, dengan hujan yang lebih lebat, angin lebih kuat dan tempoh ribut yang semakin panjang.

“Perubahan iklim mengubah intensiti dan tempoh hujan, menjadikan kawasan terdedah kepada risiko runtuhan tanah lebih besar,” menurut laporan BMKG.

Awal November lalu, banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah pedalaman Papua menyebabkan sekurang-kurangnya 15 maut dan lapan lagi hilang.

Insiden itu sekali lagi menyorot bagaimana komuniti pedalaman sering menjadi mangsa pertama apabila hujan ekstrem melanda.

Sementara operasi SAR di Cilacap diteruskan, pihak berkuasa menggesa penduduk kampung berhampiran supaya berjaga-jaga dan segera berpindah jika menerima amaran hujan berterusan atau melihat tanda pergerakan tanah.

“Keselamatan penduduk adalah keutamaan. Kami berharap lebih banyak mangsa ditemui selamat,” kata Encik Pramono. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg