Topik diikuti
Pergi ke BHkuTentera Indonesia perkukuh pertahanan jelang ulang tahun ke-81
Papar usaha berterusan pemerintah Prabowo modenkan kelengkapan pertahanan, perkukuh kedudukan TNI di peringkat serantau dan sejagat
Tentera Indonesia perkukuh pertahanan jelang ulang tahun ke-81
Sektor pertahanan Indonesia mencatat perkembangan penting minggu ini.
Ia menyaksikan pentauliahan kapal induk pertama dalam armada Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI AL) serta latihan bersama antara juruterbang jet pejuang, Rafale, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI AU) dengan rakan sejawat mereka dari Perancis.
Perkembangan itu berlaku ketika Tentera Nasional Indonesia (TNI) membuat persiapan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-81 pada 5 Oktober.
Ia turut mencerminkan usaha berterusan pemerintah Presiden Prabowo Subianto untuk memodenkan kelengkapan pertahanan negara dan memperkukuh kedudukan TNI sebagai sebuah angkatan tentera yang mempunyai keupayaan besar di peringkat serantau dan sejagat.
Dalam majlis penuh bersejarah dan menyentuh perasaan bagi tentera laut Indonesia dan Italy, kapal induk Italy, ITS Giuseppe Garibaldi, secara rasmi dinamakan semula sebagai KRI Sriwijaya 100, dalam upacara pertukaran bendera di atas kapal itu di Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta, pada 24 September.
Anak kapal Italy menurunkan bendera negara mereka dan menyanyikan lagu kebangsaan buat kali terakhir di atas kapal yang telah berkhidmat selama 40 tahun itu.
Sejurus kemudian, bendera Indonesia dinaikkan, diiringi nyanyian lagu kebangsaan oleh anggota TNI AL dalam majlis yang dipengerusikan Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto.
Beliau turut melantik Kolonel Fuad Hassan, sebagai pegawai pemerintah kapal berkenaan dan menyempurnakan perasmian plak yang memaparkan nama baharu kapal itu.
Kolonel Fuad menyifatkan pentauliahan tersebut sebagai satu pencapaian bersejarah yang amat bermakna kepada Indonesia dan dirinya sebagai pegawai TNI AL.
Beliau bersama 100 anggota Indonesia menyertai pelayaran kapal itu dari Italy ke Indonesia.
“Bagi anak kapal Italy, ini merupakan detik bersejarah kerana mereka membawa ITS Giuseppe Garibaldi ke pangkalan baharunya di Indonesia.
“Bagi anak kapal kami, detik ini juga bersejarah kerana kamilah yang akan mengendalikan kapal yang bakal menjadi kapal pengangkut pesawat negara,” katanya kepada wartawan.
Kolonel Fuad berkata beliau tidak pernah membayangkan akan diberi tanggungjawab sebagai pegawai pemerintah pertama kapal induk Indonesia ketika menamatkan pengajian di Akademi Tentera Laut Indonesia pada 2002 dengan pangkat leftenan muda.
“Secara peribadi, saya tidak pernah membayangkan bahawa Tentera Laut Indonesia suatu hari nanti akan memiliki kapal pengangkut pesawat dan saya sendiri berpeluang melalui detik bersejarah yang begitu luar biasa sebagai pegawai pemerintah pertamanya,” katanya.
Kapal itu akan menjalani kerja pengubahsuaian bagi memenuhi keperluan operasi TNI, termasuk operasi ketenteraan selain peperangan.
Kolonel Fuad optimis pengubahsuaian tersebut akan membolehkan kapal berkenaan digunakan bagi melaksanakan misi kemanusiaan.
Bagaimanapun, penganalisis Institut Penyelidikan Pertahanan Strategik KERIS, Encik Hanif Rahadian, berkata usia kapal tersebut memerlukan perhatian khusus bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Memandangkan usia kapal itu, kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih secara menyeluruh diperlukan bagi memastikan ia sentiasa bersedia untuk beroperasi serta mampu digerakkan bagi melaksanakan misi pada bila-bila masa,” katanya kepada Berita Harian.
Sementara itu, di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, TNI AU giat mempertingkat kemahiran juruterbang dan teknisyen menerusi latihan bersama Tentera Udara dan Angkasa Perancis (FASF).
Latihan tersebut memberi tumpuan kepada pengendalian jet pejuang, Rafale, buatan Perancis, ketika Indonesia bersiap sedia menerima baki 36 daripada 42 pesawat yang ditempah daripada syarikat Dassault Aviation.
Pembelian bernilai AS$8.1 bilion itu dimeterai pada 2022 sebagai sebahagian daripada usaha pemodenan pertahanan udara Indonesia.
Enam pesawat pertama tiba di Indonesia pada Januari dan Mei 2026 sebelum ditempatkan dalam Skuadron Udara 12 di Pangkalan Tentera Udara Roesmin Nurjadin, Pekanbaru, Riau.
“Kami menjangkakan akan menerima 18 pesawat Rafale secara berperingkat antara 2027 dengan 2029,” kata Timbalan Ketua Turus TNI AU, Marsyal Madya Tedi Rizalihadi.
Beliau berkata demikian ketika mengunjungi Pangkalan Tentera Udara Halim pada 23 September, sempena persinggahan misi Pegase 2026 dari Perancis.
Misi tersebut berada di Indonesia selama lima hari, dari 20 hingga 25 September, bagi menjalankan latihan bersama TNI AU.
Latihan itu menjadi semakin relevan memandangkan kedua-dua angkatan udara kini mengendalikan jenis pesawat yang sama, iaitu jet pejuang, Rafale, dan pesawat pengangkut tentera, A400M.
Pesawat A400M direka untuk melaksanakan operasi pengangkutan udara taktikal dan strategik, termasuk menyediakan sokongan pengisian minyak ketika penerbangan kepada pesawat serta helikopter.
Sepanjang misi itu, TNI AU mengerahkan tiga jet pejuang Rafale, daripada Skuadron Udara 12 dan dua pesawat A400M, daripada Skuadron Udara 31.
FASF pula mengerahkan empat jet Rafale, dua pesawat A400M dan tiga pesawat tangki minyak, A330 MRTT.
Menurut Marsyal Madya Tedi, latihan bersama itu memberi peluang kepada anggota TNI AU memperluas pengetahuan serta meningkatkan kemahiran mengendalikan pesawat moden.
“Latihan ini membolehkan kami meningkatkan pengetahuan dan menjalankan latihan bersama, termasuk pengisian minyak dari udara ke udara,” katanya.
Antara latihan yang dijalankan ialah simulasi pengisian minyak ketika penerbangan melibatkan dua jet Rafale Indonesia, tiga jet Rafale Perancis dan sebuah pesawat tangki minyak A330 MRTT.
Pesawat A330 MRTT merupakan pesawat pelbagai peranan yang dibangunkan berasaskan Airbus A330 untuk menjalankan operasi pengangkutan dan pengisian minyak di udara.
Komander misi Pegase 2026, Mejar Jeneral Julien Sabene, menyifatkan latihan itu sebagai pengalaman penting yang memperlihatkan keserasian operasi antara kedua-dua angkatan udara.
“Ini kali pertama kami terbang bersebelahan dan pengalaman itu amat mengagumkan.
“Dari luar, satu-satunya cara membezakan jet Rafale Perancis dengan jet Rafale Indonesia ialah melalui lambang kebangsaan pada pesawat.
“Anda dapat melihat bendera dan lambang Indonesia. Selain itu, kedua-duanya merupakan pesawat yang sama. Oleh itu, kami mudah beroperasi bersama,” katanya kepada wartawan ketika lawatan media ke Pangkalan Tentera Udara Halim pada 22 September.
Menurut Mejar Jeneral Sabene, kedua-dua negara mempunyai keperluan operasi yang hampir sama kerana perlu mempertahankan wilayah yang luas.
Keadaan itu memerlukan pesawat tentera berupaya terbang dengan pantas merentasi jarak jauh tanpa perlu mendarat di pangkalan udara sepanjang perjalanan untuk mengisi minyak.
Justeru, keupayaan mengisi minyak ketika penerbangan merupakan kemahiran penting yang perlu dibangunkan oleh TNI AU.
“Saya difahamkan Tentera Udara Indonesia sedang dalam proses membangunkan kepakaran ini.
“Memandangkan kami membawa bersama pesawat tangki minyak, termasuk A400M, kami berpeluang menunjukkan keupayaan tersebut,” kata Mejar Jeneral Sabene, yang juga Timbalan Komander Pertahanan Udara dan Operasi Udara FASF.
Juruterbang Rafale perintis TNI AU, Leftenan Kolonel Oliv Rizando, turut mengakui kepentingan menguasai kemahiran pengisian minyak ketika penerbangan.
Menurut beliau, antara cabaran utama adalah keadaan cuaca yang boleh menjejas kelancaran operasi tersebut.
“Cabaran utama adalah keadaan cuaca ketika pengisian minyak kerana prosedur ini memerlukan cuaca yang baik serta jarak penglihatan yang jelas terhadap pesawat tangki minyak,” katanya.
Bekas Ketua Turus TNI AU, Marsyal Udara (Bersara) Chappy Hakim, pula berkata Indonesia berpeluang mempelajari pelbagai kemajuan teknologi penerbangan menerusi misi Pegase.
Beliau menarik perhatian bahawa operasi jet Rafale tidak bergantung kepada keupayaan pesawat pejuang itu semata-mata.
Sebaliknya, jet tersebut turut mendapat sokongan pesawat A400M bagi keperluan logistik dan A330 untuk pengisian minyak ketika penerbangan.
Menurut beliau, perkembangan teknologi dan perubahan dalam peperangan moden menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam menilai keupayaan pertahanan sesebuah negara.
“Perkara ini amat penting dalam peperangan kerana medan pertempuran telah melalui perubahan ketara.
“Peperangan moden bukan lagi sekadar bergantung kepada keupayaan pesawat secara individu, bahkan kepada sistem pertahanan yang bersepadu,” katanya.