JAKARTA/PAPUA: Tentera Indonesia berjaya menyelamatkan 18 pekerja lombong yang terperangkap selama tiga hari selepas dikepung kumpulan bersenjata di sebuah pos operasi Freeport Indonesia di wilayah Papua yang bergolak, kata pihak berkuasa pada 5 Januari.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia, Encik Rico Ricardo Sirait, para pekerja itu sedang membaiki salah satu menara elektrik milik Freeport di daerah Tembagapura, wilayah Papua Tengah yang bergunung-ganang, apabila mereka dikepung kumpulan pemberontak minggu lalu.
“Mereka diugut oleh kumpulan bersenjata dan tembakan dilepaskan bagi menakutkan serta memberi tekanan psikologi kepada para pekerja,” katanya kepada Reuters.
Kumpulan pemberontak yang terlibat dikenal pasti sebagai Gerakan Papua Merdeka yang telah lama memperjuangkan pemisahan Papua daripada Indonesia.
Indonesia menguasai separuh pulau kaya sumber itu sejak 1969, selepas berakhirnya pentadbiran Belanda, manakala separuh lagi membentuk negara merdeka Papua New Guinea di utara Australia.
Emcik Sirait berkata tentera Indonesia menggunakan dron untuk menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada pekerja yang terkepung sebelum berjaya memindahkan mereka ke lokasi selamat selepas tiga hari operasi.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan mangsa tanpa mencetuskan pertempuran,” katanya, sambil menambah bahawa tiada tembakan dilepaskan sepanjang operasi menyelamat.
Tentera tidak mendedahkan secara terperinci taktik yang digunakan untuk mengeluarkan para pekerja itu, namun menegaskan operasi dijalankan dalam keadaan yang amat mencabar.
Operasi penyelamatan ini dilaksanakan di kawasan yang sangat sukar dengan tahap ancaman yang tinggi serta kekangan masa sebagai faktor kritikal,” kata komander operasi, Mejar Jeneral Lucky Avianto, dalam satu kenyataan.
Rakaman video yang dikongsi oleh tentera di YouTube menunjukkan kira-kira dua dozen anggota bersenjata bergerak merentasi hutan dan sungai pada waktu malam, dipercayai berhampiran lokasi kejadian.
Satu lagi gambar memperlihatkan anggota tentera bersama pekerja yang telah diselamatkan.
Setakat ini, Freeport Indonesia dan jurucakap kumpulan pemisah Papua belum memberikan sebarang kenyataan balas terhadap permintaan media untuk mendapatkan komen.
Wilayah Papua kekal sebagai antara kawasan termiskin di Indonesia walaupun kaya dengan sumber semula jadi.
Wilayah itu menempatkan lombong Grasberg milik Freeport, yang merupakan antara lombong emas dan tembaga terbesar di dunia.
Konflik bersenjata peringkat rendah antara pasukan keselamatan Indonesia dan kumpulan pemisah telah berlarutan selama beberapa dekad, sering menjejaskan keselamatan orang awam dan kegiatan ekonomi, termasuk operasi perlombongan dan infrastruktur.
Insiden terbaru ini sekali lagi menyorot cabaran keselamatan yang berterusan di Papua, khususnya bagi syarikat dan pekerja yang beroperasi di kawasan pedalaman.
Pihak berkuasa Indonesia berulang kali menegaskan komitmen mereka untuk mengekalkan kestabilan dan melindungi keselamatan awam di wilayah itu, sambil meneruskan usaha pembangunan ekonomi bagi mengurangkan jurang kemiskinan yang ketara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg