Setiap Sabtu, penduduk dari serata Pulau Atauro di Timor-Leste menuju ke kampung pesisir pantai Beloi, membawa hasil pertanian, ikan kering, hasil laut dan barangan lain untuk dijual atau ditukar.

Ini merupakan tradisi sejak sekian lama yang bukan sahaja diamalkan penduduk setempat, malah turut disertai pengunjung dari tanah besar Timor-Leste di seberang Selat Wetar serta Pulau Liran di negara jiran, Indonesia.

Pulau Atauro terletak sekitar 32 kilometer dari ibu kota Timor-Leste, Dili, dan sekitar 14 kilometer dari Pulau Liran, salah sebuah pulau di kawasan sempadan Indonesia, di daerah Maluku Barat Daya.

Pulau itu menerima ramai pengunjung dari kedua-dua negara yang datang untuk menikmati suasana pasar yang meriah, berdagang atau bertukar barangan.

Di samping itu, ia juga bagi mengekalkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan yang erat meskipun kini dipisahkan oleh sempadan maritim kedua-dua negara.

Pengurus pusat peranginan tempatan itu, Cik Maria Jerónimo, memberitahu Berita Harian (BH) semasa kunjungan ke pulau itu pada pertengahan Oktober:

“Pasar Sabtu ini sudah wujud sejak sekian lama. Inilah satu-satunya masa penduduk dari seluruh pulau berkumpul untuk menjual atau menukar hasil mereka dengan barangan yang tidak dapat ditanam atau dihasilkan sendiri.”

Cik Maria, yang menguruskan sebuah pusat peranginan di Pantai Tua Koin, berkata ramai penduduk kampung dari pelbagai pelosok pulau memulakan perjalanan dengan berjalan kaki sehari lebih awal.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Langkah itu bagi membolehkan mereka tiba di tapak pasar di Beloi – yang juga menempatkan terminal feri – menjelang petang Jumaat atau pagi Sabtu.

Beloi dan Vila, pusat pentadbiran pulau itu, terletak di pantai timur Atauro, yang menempatkan kebanyakan pusat peranginan tepi pantai dan lebih maju berbanding bahagian barat pulau tersebut.

Kebanyakan kawasan di pulau itu, yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri selama tiga jam dari Dili, masih bercirikan luar bandar.

Meskipun penduduk menggunakan tuk-tuk, motosikal dan kereta, ramai daripada mereka, terutama yang tinggal di kawasan terpencil di pantai barat, masih perlu berjalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain di pulau sepanjang sekitar 25 kilometer dan selebar sembilan kilometer itu.

Pasar mingguan tersebut kini semakin penting apabila pihak berkuasa berusaha merasmikan kegiatan perdagangan dengan pulau-pulau berdekatan di Indonesia menerusi inisiatif Pasar Mingguan Atauro yang dilancarkan pada 16 Oktober.

Setiausaha Pihak Berkuasa Pentadbiran Pulau Atauro, Encik Vicente Sanches Soares, berkata para pegawai kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan rasmi secara intensif mengenai cara memudahkan perdagangan rentas sempadan antara Atauro dengan pulau Liran dan Wetar di Indonesia.

“Secara tidak rasmi, penduduk Atauro, Liran dan Wetar mempunyai hubungan budaya dan saling bergantung antara satu sama lain dari segi ekonomi.

“Kami memerlukan ikan dan produk daging, manakala rakan-rakan kami di Indonesia memerlukan barangan keperluan asas seperti beras,” kata Encik Vicente kepada BH ketika pasar itu berlangsung pada 18 Oktober.

Sebelum pungutan suara pada 1999, apabila rakyat Timor memilih untuk berpisah daripada Indonesia dan menjadi sebuah negara merdeka, Timor Timur, yang ketika itu merupakan sebuah wilayah Indonesia, menjadi pasaran utama bagi produk dan barangan dari Maluku Barat Daya.

Penubuhan Pasar Mingguan Atauro bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan dijangka menghidupkan semula hubungan ekonomi tersebut, yang kini dikategorikan sebagai perdagangan antarabangsa.

Menurut Encik Vicente, lebih mudah dan murah bagi penduduk Liran dan Wetar mendapatkan barangan tersebut di Atauro berbanding di Kupang, ibu kota wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, yang terletak di bahagian barat Pulau Timor, atau Ambon, ibu kota wilayah Maluku.

Liran dan Wetar terpisah dari kedua-dua bandar tersebut pada jarak sekitar 700 kilometer, dengan Laut Banda yang luas dan dalam memisahkan kawasan berkenaan.

“Justeru, inisiatif ini diperkenalkan meskipun kami masih dalam rundingan untuk menetapkan garis sempadan maritim yang kekal.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan pegawai perdagangan dari daerah Maluku Barat Daya.

“Mereka baru-baru ini berkunjung ke sini dan kami mengenal pasti beberapa peluang perdagangan yang boleh diterokai bersama serta memenuhi keperluan masing-masing,” kata Encik Vicente, yang bertanggungjawab terhadap perancangan wilayah, pelaburan dan pembangunan bersepadu pulau itu.

“Kami juga meneroka kemungkinan pelancong yang mengunjungi Atauro meneruskan perjalanan mereka ke pulau-pulau di Maluku Barat Daya. Mereka mempunyai 48 pulau, namun hanya 17 daripadanya berpenghuni.

“Ini antara cadangan yang akan kami kemukakan kepada pemerintah pusat masing-masing dengan harapan ia dapat dilaksanakan menerusi suatu kerangka rasmi,” tambah beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti