Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: S’pura buka sektor terpilih buat pekerja Timor-Leste mulai 2027
PM Wong: S’pura buka sektor terpilih buat pekerja Timor-Leste mulai 2027
PM Wong: S’pura buka sektor terpilih buat pekerja Timor-Leste mulai 2027
Firma di Singapura boleh mengambil pekerja dari Timor-Leste untuk beberapa sektor mulai separuh kedua 2027.
Ini selepas anggota termuda Asean itu bakal disenaraikan sebagai negara sumber bukan tradisional (NTS) yang diluluskan bagi pemegang permit kerja.
Langkah ini dijangka membawa manfaat kepada Singapura dan Timor-Leste, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao, semasa sidang akhbar bersama pada 3 Julai di Istana Pemerintah di Dili, ibu kota Timor-Leste.
Encik Wong berada di Timor-Leste sempena lawatan rasmi dua hari dari 2 hingga 3 Julai – menjadikannya Perdana Menteri Singapura pertama mengadakan lawatan ke Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 2002.
Beliau berkata langkah itu mewujudkan “peluang baru bagi rakyat Timor-Leste, dan pada masa yang sama, mengukuhkan perniagaan dan hubungan antara rakyat (kedua-dua negara)”.
“Ini adalah inisiatif yang memberi manfaat kepada kededua pihak, kerana ia menyediakan lebih banyak peluang… untuk rakyat Timor-Leste memperoleh kemahiran dan pengalaman kerja, dan kemudian pulang untuk menyumbang kembali kepada Timor-Leste.
“Pada masa yang sama, ia membantu memenuhi keperluan tenaga kerja Singapura dalam sektor terpilih,” ujarnya.
Beliau mengusulkan agar lebih banyak pertukaran dan interaksi antara rakyat Singapura dan Timor-Leste, bersama-sama sektor perniagaan, supaya ia dapat memudahkan lebih banyak kerjasama pada masa hadapan.
Lantaran itu, Encik Wong berkata usaha ini dilihat lebih daripada sekadar inisiatif ekonomi semata-mata.
Menyusuli pengumuman Encik Wong, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 3 Julai berkata Timor-Leste akan menjadi NTS yang diluluskan untuk pemegang permit kerja.
Ini membolehkan firma di Singapura mengambil pekerja Timor-Leste dalam sektor pembinaan, limbungan kapal marin dan pemprosesan, serta pekerjaan terpilih dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Sebelum ini, rakyat Timor-Leste boleh bekerja di Singapura di bawah S-Pass atau pas pekerjaan, hanya jika mereka mempunyai tawaran pekerjaan sah dan memenuhi gaji, pendidikan serta keperluan kemahiran yang ditetapkan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata terdapat minat daripada firma di sini dalam sektor seperti pembinaan untuk mengambil pekerja Timor-Leste.
Langkah ini, kata MOM, memberikan peluang kepada firma berminat untuk memanfaatkan kumpulan buruh yang lebih luas dan pelbagai demi memenuhi keperluan tenaga kerja mereka.
Jurucakap itu menambah bahawa serupa dengan banyak negara lain, Singapura mengawal selia profil individu atau golongan bukan warganegara yang ingin bekerja di sini dengan teliti.
Dasar yang berkaitan dibentuk dengan konteks bahawa Singapura sebuah negara kota kecil dan padat penduduk.
Oleh itu, ia perlu mengimbangi pertimbangan prasarana, keselamatan, sosial dan ekonomi dengan teliti.
MOM bekerja rapat dengan agensi sektor untuk menilai kesesuaian sumber tenaga kerja asing baru, dengan mengambil kira pertimbangan ini, tambah jurucakap itu lagi.
Selain Timor-Leste, negara-negara yang tersenarai sebagai NTS termasuk Bhutan, Kemboja dan Laos.
Menyentuh berkenaan kesan langkah itu, Encik Gusmao berkata ia merupakan perkembangan penting dalam hubungan antara kedua-dua negara dan ia satu bentuk keyakinan terhadap rakyat Timor-Leste.
Beliau menambah apabila rakyat Timor-Leste ke Singapura untuk bekerja, mereka boleh memperoleh kemahiran dan pengalaman serta membina perwatakan mereka.
Pada 2025, kiriman wang daripada pekerja Timor-Leste yang bekerja di luar negara menyumbang lebih daripada AS$180 juta ($232 juta), iaitu kira-kira 10 peratus daripada keluaran kasar domestik negara itu.
Encik Gusmao berkata: “Ini menunjukkan sumbangan penting yang diberikan oleh pekerja luar negara kepada keluarga mereka dan ekonomi negara kami.”
Merumuskan lawatannya, Encik Wong berkata lebih daripada meraih manfaat bersama Timor-Leste, Singapura juga ingin membantu negara itu menyumbang sepenuhnya sebagai anggota Asean.
Menurutnya, keanggotaan Asean bukan sekadar daripada aspek mendapatkan manfaat semata-mata, malah daya sumbangan negara-negara anggota.
Beliau berkata Singapura “lakukan sedaya upayanya” dengan mengemas kini pakej sokongan sedia ada yang dilancarkan sebelum ini untuk membantu keanggotaan Timor-Leste menyertai Asean – ia secara rasmi menjadi anggota ke-11 Asean pada Oktober 2025.
“Fasa seterusnya adalah untuk membantu Timor-Leste bukan sahaja meraih manfaat, malah menyumbang sebagai anggota Asean.
“Negara itu berhasrat untuk berbuat demikian kerana mereka mempunyai aspirasi bagi mempengerusikan Asean pada 2029,” kata Encik Wong.
Awal dari itu, Presiden negara itu, Encik Jose Ramos-Horta, menganugerahkan Darjah Kebesaran Timor-Leste (Grand Collar) kepada Encik Wong.
