Apabila tompok putih mula muncul pada kulitnya pada 2014, Encik Mufaro Rohan, yang ketika itu berusia 10 tahun menyangka ia hanyalah jangkitan kulat.
Jangkitan tinea versicolor, itu memang biasa berlaku di kawasan beriklim panas dan lembap seperti Pulau Madura, tempat tinggalnya yang terletak di luar bandar Surabaya, Jawa Timur.
Pulau Madura yang rata permukaannya, dikelilingi perairan dan beriklim panas lembap, sering menyaksikan masalah kulit biasa.
Namun, apabila tompok putih itu menyebabkan kebas di bahagian tubuhnya, ibu bapanya membawa Encik Mufaro, ke pusat kesihatan daerah Sampang di Jawa Timur untuk mendapatkan rawatan.
“Saya sakit seluruh badan, tapi saya tetap buat kerja harian macam biasa,” kata Encik Mufaro kepada Berita Harian (BH).
Kini berusia 20 tahun, Encik Mufaro disahkan menghidap kusta, penyakit berjangkit berpunca daripada bakteria, Mycobacterium leprae, penyakit yang juga pernah menimpa dua orang abangnya beberapa tahun sebelumnya.
Walaupun kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen tidak mudah berjangkit dan boleh disembuhkan, ia masih wujud secara meluas di Sampang sehingga kini.
Encik Mufaro menjalani rawatan gabungan ubat selama setahun dan mengambil ubat pencegahan bagi mengelak jangkitan semula.
Bagi Encik Ali Manan, 28 tahun, beliau mula berasa kebas di tangan dan kakinya pada 2008 tetapi tidak tahu apakah puncanya.
“Apabila tangan saya mula berubah bentuk, saya sangka saya telah terkena sumpahan.
“Saya dihantar ke sebuah pesantren untuk menjalani rawatan secara keagamaan, kononnya bagi menghalau jin. Namun, saya tetap tidak sembuh,” katanya kepada BH.
Rawatan perubatan moden telah menyelamatkannya, sekali gus menepis kepercayaan bahawa kusta adalah sumpahan dan tidak boleh diubati.
Encik Ali berkongsi pengalamannya ketika menghadiri pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin, dan Duta Muhibah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Penghapusan Kusta, Encik Yohei Sasakawa, bersama kumpulan pesakit kusta yang telah pulih di Kampung Pamolaan, Sampang, pada 8 Julai.
Daerah Sampang kekal sebagai penyumbang kes kusta tertinggi di Jawa Timur, meskipun kadar jangkitan menurun daripada 4.81 kepada 2.27 bagi setiap 10,000 penduduk dalam tempoh sedekad.
Stigma sosial, lewat mendapatkan rawatan dan akses kesihatan yang tidak sekata terus menjadi halangan utama dalam membasmi penyakit itu.
Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti Sampang sebagai salah satu dari lima kawasan keutamaan di Indonesia untuk program saringan besar-besaran bagi mengesan kes kusta.
Sampang menyumbang sekitar 10 peratus daripada keseluruhan kes kusta di peringkat kebangsaan.
Pemerintah menetapkan sasaran menghapuskan penyakit kusta sepenuhnya menjelang 2030.
Penyakit itu merupakan salah satu daripada 11 penyakit tropika terabai yang masih endemik di Indonesia, di tengah-tengah usaha negara menangani cabaran kesihatan lain yang lebih mendesak seperti batuk kering (TB) dan malaria.
“Lagi banyak kes kita kesan, lebih baik, sebab rawatan boleh dimulakan lebih awal.
“Rawatan awal dapat mencegah kecacatan, dan penyakit ini boleh sembuh. Ia bukan sumpahan,” kata Encik Budi dalam pertemuan bersama petugas kesihatan di Sampang.
Bupati (Ketua Daerah) Sampang, Encik Slamet Junaidi, melahirkan rasa gembira kerana daerahnya dipilih sebagai kawasan keutamaan untuk membasmi kusta.
Namun beliau menyatakan rasa sedih kerana pemilihan itu membuktikan kusta masih berleluasa di daerahnya.
“Kita akan lipat gandakan usaha untuk capai sifar kes menjelang 2029.
“Kita juga akan libatkan tokoh agama untuk memberi kesedaran dan kefahaman yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya kepada BH.
Di Indonesia yang majoriti penduduknya Muslim, penglibatan pemimpin agama menjadi komponen penting dalam usaha membasmi penyakit yang sudah wujud sejak zaman dahulu.
Penyakit kusta turut disebut dalam surah Al-Anbiya ayat 83, merujuk kisah Nabi Ayub as yang berdoa kepada Allah swt agar disembuhkan daripada penyakitnya – sesetengah ulama tafsirkan ia sebagai kusta.
Encik Sasakawa turut menyatakan bahawa penyakit itu turut disebut dalam Perjanjian Lama Injil, dan hakikat bahawa ia disebut dalam kitab suci agama menjadikan kusta sebagai penyakit yang sarat dengan stigma.
“Stigma terhadap kusta sangat unik dan tidak ada penyakit lain yang dipandang sebegitu rupa,” kata Encik Sasakawa.
Sebagai Duta Muhibah WHO, beliau turut mendapatkan sokongan Gereja Katolik, termasuk melalui pertemuan dengan mendiang Paus (Pope) Francis di Vatican pada Januari 2023, bagi membantu menghapuskan diskriminasi terhadap pesakit kusta.
“Kita perlu buat perkara yang sama di Indonesia dengan pemimpin Muslim kerana mereka ada jaringan sekolah dan pesantren yang luas.
“Kita tidak akan berjaya capai sifar kes kusta kalau hanya bergantung kepada Kementerian Kesihatan sahaja,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg