Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndustri Indonesia mula rasai bahang kejatuhan rupiah
Industri Indonesia mula rasai bahang kejatuhan rupiah
Syarikat kurangkan syif, pertimbang langkah penjimatan
Industri Indonesia mula rasai bahang kejatuhan rupiah
JAKARTA: Kejatuhan nilai rupiah yang semakin lemah mula memberi tekanan besar kepada perniagaan bergantung kepada import di Indonesia, apabila beberapa syarikat mula mengurangkan syif kerja dan mempertimbangkan langkah penjimatan lain susulan kos import yang semakin meningkat.
Rupiah ditutup pada paras 18,030 rupiah ($1.28) bagi setiap dolar Amerika Syarikat pada 5 Jun, hampir mencecah paras kritikal 19,000 rupiah yang dianggap amat membimbangkan oleh pengimport.
Pengerusi Gabungan Pengimport Nasional Seluruh Indonesia (GINSI), Encik Subandi berkata, kebanyakan pengimport menganggap kadar pertukaran antara 15,500 rupiah hingga 15,800 rupiah bagi setiap dolar Amerika sebagai paras selamat untuk operasi perniagaan.
Bagaimanapun, mata wang Indonesia itu terus merosot sejak awal tahun 2026 apabila pada Januari lalu ia masih berada sekitar 16,000 rupiah bagi setiap dolar Amerika.
“Jika rupiah mencecah 19,000 rupiah atau lebih tinggi, ramai pemain industri memberitahu kami bahawa mereka akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan pengeluaran atau mengimport barangan dari luar negara,” katanya kepada Tempo pada 6 Jun.
Kejatuhan rupiah itu juga menyaksikan mata wang tersebut jatuh untuk minggu ke-10 berturut-turut selepas melepasi paras 18,000 rupiah pada 4 Jun.
Setakat tahun 2026 ini, rupiah telah kehilangan lebih tujuh peratus daripada nilainya.
Menurut Encik Subandi, kesan kejatuhan rupiah amat besar kerana syarikat memerlukan lebih banyak wang tempatan untuk membeli jumlah barang import yang sama.
Beliau memberi contoh sebuah syarikat yang sebelum ini hanya memerlukan 100 bilion rupiah untuk mengimport sesuatu produk mungkin kini memerlukan sekitar 120 bilion rupiah sekiranya kadar pertukaran mencecah 19,000 rupiah bagi setiap dolar Amerika.
“Beban bukan hanya datang daripada harga barang import semata-mata. Cukai import juga meningkat kerana ia dikira berdasarkan nilai invois dalam dolar Amerika,” katanya.
Selain itu, syarikat turut berdepan kenaikan kos logistik dan penghantaran yang menambah tekanan terhadap operasi perniagaan.
Keadaan itu menyebabkan keuntungan syarikat semakin berkurangan dan memaksa mereka mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan.
Encik Subandi berkata, beberapa industri yang menjadi ahli GINSI sudah mula mengambil langkah kecekapan dengan mengurangkan operasi harian mereka.
“Ada industri yang sebelum ini beroperasi tiga syif kini mengurangkannya kepada dua syif,” katanya.
Beliau menjelaskan pengurangan syif kerja biasanya menjadi langkah awal syarikat untuk menurunkan kos operasi tanpa terus membuang pekerja.
Namun, beliau memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya aktiviti import dan pengeluaran terus merosot.
Katanya, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan waktu bekerja pekerja, melaksanakan cuti tanpa gaji sementara atau memberhentikan pekerja sekiranya tekanan ekonomi berpanjangan.
Kenaikan kos import dijangka akhirnya memberi kesan kepada pengguna apabila syarikat mula menaikkan harga produk bagi menampung kos operasi.
Namun langkah itu bukan mudah kerana kuasa beli rakyat Indonesia ketika ini dilihat semakin lemah.
Situasi itu mewujudkan dilema besar kepada syarikat apabila mereka berdepan kos yang meningkat tetapi pada masa sama pengguna tidak mempunyai kemampuan tinggi untuk menyerap kenaikan harga.
Ahli ekonomi Universiti Indonesia, Encik Teuku Riefky berkata kejatuhan rupiah bukan sahaja dipengaruhi ketegangan perang di Asia Barat, malah turut dikaitkan dengan kebimbangan terhadap dasar ekonomi domestik Indonesia.
Menurut beliau, pelabur kini semakin bimbang terhadap kemampuan Jakarta membayar hutang negara selain kos tinggi beberapa program populis pemerintah.
“Jika keadaan ini berterusan, kesannya ialah inflasi berpanjangan disebabkan peningkatan kos pengeluaran dan bahan mentah,” katanya kepada AFP.
Beliau turut menyentuh kebimbangan pasaran terhadap langkah Presiden Prabowo Subianto yang baru-baru ini mengumumkan kawalan eksport komoditi, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai pendekatan nasionalisme sumber di negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu.
Bank Indonesia dan pemerintah Indonesia berkata mereka sedang bekerjasama rapat bagi menstabilkan nilai rupiah menerusi penyelarasan dasar fiskal dan monetari.
Gabenor Bank Indonesia, Encik Perry Warjiyo berkata pihak berkuasa kekal memberi tumpuan kepada kestabilan kadar pertukaran sambil memastikan pertumbuhan ekonomi terus terpelihara.
“Kami terus memperkukuhkan penyelarasan fiskal dan monetari serta memastikan kedua-dua dasar ini saling menyokong dalam usaha menstabilkan nilai rupiah,” kata Gabenor Bank Indonesia, Encik Perry Warjiyo dalam sidang media di Jakarta pada 6 Jun.
Dalam pada itu, kejatuhan rupiah memberi kelebihan kepada rakyat Malaysia yang melancong ke Indonesia kerana kos percutian dan membeli-belah menjadi lebih murah.
Presiden Persatuan Pelancongan Melaka, Cik Madelina Quah berkata situasi itu membuka peluang kepada rakyat Malaysia menikmati percutian lebih murah di negara jiran tersebut.
“Ini akan menjadikan percutian, membeli-belah untuk majlis perkahwinan dan pembelian bahan mentah dari Indonesia lebih murah,” katanya.
Menurut beliau, generasi muda Malaysia kini lebih cenderung memilih destinasi seperti Lombok, Bali, Yogyakarta dan Pulau Komodo kerana gemar aktiviti lasak dan alam semula jadi.
Sementara itu, golongan lebih berusia pula memilih Jakarta, Bandung, Surabaya dan Yogyakarta yang terkenal sebagai destinasi membeli-belah popular. – Agensi berita.
