Harga pengguna Singapura meningkat sedikit lebih tinggi daripada jangkaan pada September, dengan pakar ekonomi menjangkakan inflasi akan terus naik secara sederhana.
Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan bagi mewakili perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik, meningkat sehingga 0.4 peratus pada September daripada paras terendah lebih empat tahun iaitu 0.3 peratus yang dicatat pada Ogos.
Ini lebih tinggi daripada ramalan 0.2 peratus oleh penganalisis dalam satu tinjauan Bloomberg, lapor The Straits Times.
Kenaikan inflasi teras didorong oleh kenaikan harga runcit dan barangan lain.
Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan bersama pada 23 Oktober.
Pada awal Oktober, MAS mengecilkan unjuran inflasi terasnya kepada purata 0.5 peratus pada 2025, tahap rendah daripada anggaran sebelumnya iaitu 0.5 hingga 1.5 peratus.
Inflasi keseluruhan pada September turut meningkat, kepada 0.7 peratus daripada 0.5 peratus pada Ogos. Ini juga mengatasi ramalan 0.6 peratus dalam tinjauan Bloomberg itu.
Kenaikan inflasi keseluruhan adalah hasil daripada inflasi pengangkutan privet yang lebih tinggi, serta kenaikan inflasi teras, tambah MAS dan MTI.
Inflasi pengangkutan swasta meningkat disebabkan kenaikan harga kereta yang lebih tinggi – kepada 3.7 peratus pada September daripada 2.4 peratus pada Ogos.
Kos runcit dan barangan lain turut meningkat disebabkan kenaikan harga perabot dan peralatan untuk penjagaan diri.
Inflasi bagi segmen itu meningkat kepada 0.3 peratus pada September, selepas turun kepada -0.2 peratus pada Ogos.
Sebaliknya, harga elektrik dan gas turun lebih mendadak berikutan penurunan harga elektrik yang lebih ketara.
Inflasi perkhidmatan juga berkurangan kerana peningkatan yang lebih kecil dalam kos insurans kesihatan, serta penurunan yang lebih besar bagi harga perkhidmatan maklumat dan perhubungan.
Inflasi penginapan tidak berubah kerana kadar kenaikan sewa rumah kekal sama seperti pada Ogos.
Inflasi makanan juga tidak berubah kerana inflasi makanan tidak dimasak yang sederhana telah diimbangi oleh peningkatan dalam inflasi perkhidmatan makanan.
Memandang ke hadapan, MAS dan MTI berkata kos import Singapura sepatutnya terus merosot, tetapi pada kadar lebih perlahan dalam beberapa bulan akan datang.
“Harga minyak mentah sejagat dijangka turun secara bertahap-tahap pada 2026 berbanding 2025, manakala inflasi serantau sepatutnya meningkat sederhana selepas hasil pendapatan yang lemah tahun ini (2025),” kata mereka.
Di dalam negara, faktor tertentu yang melembapkan inflasi buat sementara waktu dijangka berkurangan pada suku tahun akan datang.
“Pertumbuhan kos buruh seunit sepatutnya mula meningkat apabila pertumbuhan daya penghasilan menjadi normal, manakala permintaan penggunaan swasta berkemungkinan kekal stabil,” kata mereka.
MAS dan MTI mengulangi bahawa inflasi teras diunjurkan sekitar 0.5 peratus pada 2025, dan mencapai purata antara 0.5 dengan 1.5 peratus pada 2026.
Namun, prospek inflasi tertakluk kepada ketidaktentuan.
“Kejutan pada bekalan, termasuk yang disebabkan perkembangan geopolitik, boleh menaikkan beberapa kos import secara mendadak.
“Bagaimanapun, kelemahan permintaan sejagat yang lebih ketara daripada jangkaan boleh mengekalkan inflasi teras di paras lebih rendah untuk lebih lama.
“Penurunan ketara harga minyak mentah sejagat juga boleh mengurangkan kadar kenaikan harga buat sementara waktu,” tambah MAS dan MTI.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg