Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras S’pura turun kepada 0.3% pada Ogos

Paling rendah sejak Feb 2021 didorong penurunan kos penginapan, perkhidmatan
Sep 23, 2025 | 4:30 PM
inflasi, teras, susut
Inflasi teras turun untuk bulan kedua berturut-turut hingga 0.3 peratus tahun ke tahun, daripada 0.5 peratus pada Julai, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).  - Foto ST

Tekanan harga pengguna di Singapura merosot lebih daripada jangkaan pada Ogos, dengan inflasi teras tahun ke tahun jatuh ke tahap terendah sejak Februari 2021.

Inflasi teras turun untuk bulan kedua berturut-turut hingga 0.3 peratus tahun ke tahun, berbanding 0.5 peratus pada Julai, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam laporan bersama mereka pada 23 September.

Menurut The Straits Times, angka tersebut lebih rendah berbanding ramalan 0.5 peratus oleh pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Inflasi teras tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan privet untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah di sini.

Secara keseluruhan, kadar inflasi adalah 0.5 peratus, turun berbanding 0.6 peratus pada Julai dan lebih rendah berbanding jangkaan 0.6 peratus.

Penurunan itu disebabkan oleh inflasi penginapan yang lebih rendah, sebagai tambahan kepada kejatuhan inflasi teras.

MAS dan MTI berkata kejatuhan inflasi teras terutamanya disebabkan kesederhanaan dalam inflasi perkhidmatan, yang turun kepada 0.4 peratus, daripada 0.7 peratus pada Julai.

Ini berlaku di tengah-tengah penurunan yang lebih curam dalam kos perbelanjaan percutian, penerbangan dan perkhidmatan pesakit di hospital.

Kos elektrik dan gas jatuh pada kadar yang lebih cepat – 5.7 peratus disebabkan oleh penurunan harga elektrik yang lebih besar.

Inflasi penginapan merosot kepada 0.4 peratus, berbanding 0.5 peratus pada Julai, disebabkan peningkatan yang lebih kecil dalam sewa perumahan.

Harga runcit dan barangan lain jatuh pada kadar yang lebih perlahan kepada 0.2 peratus, selepas turun 0.5 peratus pada Julai, kerana harga pakaian dan kasut meningkat, manakala peralatan telekomunikasi mencatat penurunan lebih kecil.

Inflasi pengangkutan privet naik 2.4 peratus, berbanding 2.1 peratus pada Julai, disebabkan kenaikan harga kereta yang lebih besar, serta penurunan harga petrol yang lebih kecil.

Inflasi makanan tidak berubah pada 1.1 peratus kerana sedikit kesederhanaan dalam inflasi makanan yang tidak dimasak diimbangi peningkatan kecil dalam inflasi perkhidmatan makanan.

MAS dan MTI berkata inflasi yang diimport Singapura harus kekal sederhana dalam jangka masa terdekat kerana kesan inflasi daripada konflik dagangan yang berterusan mungkin diimbangi oleh permintaan sejagat yang lebih lemah.

“Harga minyak mentah global kekal di bawah paras setahun lalu, sementara kenaikan harga komoditi makanan juga dibendung.

“Pada masa sama, subsidi pemerintah yang dipertingkat untuk perkhidmatan penting akan terus melemahkan inflasi perkhidmatan,” jelas MTI dan MAS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg