Pakar ekonomi daripada sektor swasta menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura untuk 2025 kerana ketegangan perdagangan tidak seteruk yang dijangka.
Namun, mereka juga bimbang kemungkinan Amerika Syarikat mengenakan tarif ke atas semikonduktor dan produk farmaseutikal yang boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi, lapor The Straits Times (ST).
Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dijangka meningkat 2.4 peratus pada 2025.
Demikian menurut tinjauan suku tahunan terkini oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang dikeluarkan pada 3 September.
Ini lebih tinggi berbanding anggaran 1.7 peratus dalam tinjauan sebelumnya pada Jun.
Ramalan pertumbuhan terkini disokong oleh prospek lebih baik dalam sektor perkilangan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, serta eksport utama.
Sebaliknya, ramalan pertumbuhan bagi sektor penginapan dan perkhidmatan makanan turun kepada 0.5 peratus berbanding 1.5 peratus yang sudah lemah dalam tinjauan Jun.
Peningkatan itu berlaku selepas prestasi ekonomi yang agak baik pada separuh pertama 2025, menyebabkan pemerintah menaikkan ramalan pertumbuhan bagi 2025.
Menurut tinjauan MAS, pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan Singapura merosot kepada 1.9 peratus pada 2026.
Ramalan pertumbuhan terkini bagi 2025 masih lebih rendah berbanding peningkatan 4.4 peratus yang dicatat pada 2024.
Ketegangan geopolitik, termasuk pelaksanaan tarif ke atas semikonduktor dan farmaseutikal, muncul sebagai risiko utama kepada prospek ekonomi Singapura.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pada Ogos bahawa negaranya mungkin mengenakan ‘tarif kecil’ ke atas import farmaseutikal sebelum menaikkannya kepada 150 peratus dalam 18 bulan dan akhirnya 250 peratus untuk menggalakkan pengeluaran tempatan.
Beliau turut berkata akan mengumumkan tarif ke atas semikonduktor dan cip, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Ekonomi sejagat yang lemah dan pasaran kewangan yang tidak menentu dilihat sebagai risiko penurunan, manakala ketegangan perdagangan yang reda, kitaran teknologi yang berterusan dan aliran modal masuk disebut sebagai pemacu utama prospek kenaikan.
Kini, pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan menurun kepada 0.9 peratus pada suku ketiga 2025.
“Ini adalah penurunan ketara berbanding pengembangan lebih 4 peratus yang dicatat pada separuh pertama 2025 dan 2024,” kata pakar ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng.
Namun, Encik Chua berkata sektor pembinaan kekal kukuh kerana disokong oleh projek jangka panjang dalam perdagangan, pengangkutan, pelancongan dan perumahan awam.
Ramalan median pakar ekonomi bagi inflasi keseluruhan pada 2025 adalah 0.9 peratus, tidak berubah daripada tinjauan Jun.
Kadar pengangguran dijangka kekal pada 2.2 peratus menjelang akhir 2025, sama seperti tinjauan Jun.
Ketua Ekonomi Asean di Nomura, Encik Euben Paracuelles, tidak menjangka Singapura mengalami kemelesetan meskipun ekonomi perlahan pada separuh kedua 2025 akibat tarif.
“Kami percaya pemerintah akan menggunakan ruang fiskal besar untuk menyokong pasaran kerja dan mengimbangi pertumbuhan eksport yang lemah,” kata Encik Paracuelles.
Beliau meramalkan kadar pengangguran meningkat sedikit kepada sekitar 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.2 peratus pada 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg