SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Inisiatif Global untuk dakwa suspek jenayah perang Israel di Gaza dilancar

Inisiatif Global untuk dakwa suspek jenayah perang Israel di Gaza dilancar

Mar 20, 2025 | 4:03 PM

Inisiatif Global untuk dakwa suspek jenayah perang Israel di Gaza dilancar

Para aktivis berhimpun di Wall Street, di hadapan sebuah hartanah milik Presiden Donald Trump, bagi membantah serangan terbaru Israel ke atas Gaza pada 19 Mac 2025.
Protes tersebut turut menyasarkan pentadbiran Trump serta institusi kewangan dan bank-bank Wall Street yang didakwa menyokong kerajaan Israel.
Menurut laporan, tentera Israel telah menyambung semula operasi darat di Gaza, sehari selepas serangan udara yang mengorbankan kira-kira 400 orang, termasuk 130 kanak-kanak, berdasarkan data yang dikongsikan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Para aktivis berhimpun di Wall Street, di hadapan sebuah hartanah milik Presiden Donald Trump, bagi membantah serangan terbaru Israel ke atas Gaza pada 19 Mac 2025. Protes tersebut turut menyasarkan pentadbiran Trump serta institusi kewangan dan bank-bank Wall Street yang didakwa menyokong kerajaan Israel. Menurut laporan, tentera Israel telah menyambung semula operasi darat di Gaza, sehari selepas serangan udara yang mengorbankan kira-kira 400 orang, termasuk 130 kanak-kanak, berdasarkan data yang dikongsikan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). - Foto AFP

LONDON/ISTANBUL: Pusat Keadilan Antarabangsa untuk Rakyat Palestin (ICJP) melancarkan satu inisiatif besar-besaran bertaraf antarabangsa dikenali sebagai Global 195, bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang di Gaza dibawa ke muka pengadilan.

Inisiatif ini bertujuan menubuhkan rangkaian pasukan guaman bebas di seluruh dunia, agar bukti-bukti jenayah perang dapat digunakan untuk membuat aduan rasmi kepada agensi penguat kuasa tempatan. Sekiranya tiada tindakan diambil, ICJP merancang untuk memohon waran tangkap persendirian serta memulakan pendakwaan melalui sistem perundangan negara terbabit, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Pengarah ICJP, Encik Tayab Ali, badan tersebut telah mengumpul bukti berkaitan jenayah perang di Gaza sejak 18 bulan lalu, termasuk rakaman, dokumen dan testimoni saksi, semuanya disusun mengikut piawaian undang-undang jenayah di United Kingdom.

“Bukti yang kami kumpulkan membentuk naratif yang jelas tentang jenayah perang yang telah dilakukan oleh Israel. Justeru, kami melancarkan inisiatif Global 195 untuk mendesak pertanggungjawaban secara global,” kata Encik Ali kepada Anadolu.

Nama Global 195 diambil sempena jumlah negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dengan misi utama untuk memperluaskan usaha ini ke setiap negara.

“Kami mahu setiap negara mempunyai mekanisme undang-undang yang boleh digunakan untuk membawa suspek jenayah perang ke muka pengadilan, tidak kira siapa mereka,” tambah Encik Ali.

Namun beliau mengakui bahawa terdapat pemerintah yang mungkin terus melindungi suspek, terutamanya negara-negara kuasa besar.

“Sebagai contoh, saya tidak dapat bayangkan Amerika Syarikat pada masa ini akan mendakwa mana-mana individu dari Israel, walau apa pun yang mereka lakukan. Tapi itu tidak berlaku di semua negara. Kami telah berjumpa dengan pemimpin dan menteri dari seluruh dunia, termasuk duta dan ketua negara. Ramai sebenarnya berminat untuk bertindak, walaupun kemampuan mereka terhad,” ujar Encik Ali.

Wakil ICJP dari Canada, Cik Shena Martinez, turut menegaskan pentingnya inisiatif ini kerana ramai warga asing, termasuk dari UK dan Canada, menyertai angkatan tentera Israel tetapi tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh negara asal mereka.

“Matlamat utama Global 195 adalah untuk memastikan akauntabiliti tetap wujud walaupun pemerintah enggan bertindak. Kami akan gunakan sistem pendakwaan persendirian untuk menuntut keadilan,” katanya.

ICJP merancang untuk mengeluarkan waran tangkap antarabangsa, memulakan proses perundangan terhadap tokoh politik dan tentera Israel, serta bekerjasama dengan rakan strategik dari United Kingdom, Canada, Turkey, Norway, Malaysia dan Bosnia & Herzegovina bagi memperkuatkan jaringan undang-undang antarabangsa.

Rangkaian ini akan menyasarkan individu-individu berprofil tinggi, termasuk pegawai kanan tentera dan pemimpin politik Israel, yang dipercayai terlibat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia di Gaza.

“Kami mahu dunia tahu bahawa tiada siapa kebal daripada undang-undang. Melalui Global 195, kami sedang membina gerakan undang-undang global yang berdedikasi untuk memastikan keadilan ditegakkan,” tegas Encik Ali.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg