KUALA LUMPUR: Satu insiden melibatkan beberapa pelarian Palestin di Wisma Transit di Kuala Lumpur telah dapat dileraikan tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan teruk.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata kejadian itu berlaku kira-kira 5 petang pada 4 Januari, apabila sekumpulan rakyat Palestin mahu proses permohonan mereka untuk pulang dipercepatkan.
“Pegawai dan anggota Angkatan Tentera yang bertugas di sana mengadakan perbincangan dengan rakyat Palestin tersebut. Perkara itu kemudiannya diselesaikan tanpa sebarang perbalahan dan kecederaan,” kata ATM dalam satu kenyataan pada 5 Januari.
“Bagaimanapun, beberapa perabot di dalam bangunan itu telah rosak,” katanya, sambil menambah bahawa kejadian itu diselesaikan kira-kira 7 malam.
ATM juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu, lapor agensi berita negara Bernama.
Video kekecohan itu yang tular di media sosial menunjukkan unggun api kecil di luar bangunan Wisma Transit dan pasu besar yang pecah di pintu masuk bangunan itu.
Pada Oktober 2024, beberapa rakyat Palestin telah menyatakan kekecewaan mereka kerana ditempatkan di pusat transit itu dan disekat pergerakan mereka.
Menurut Bernama, Duta Palestin ke Malaysia, Encik Walid Abu Ali, kemudian mengeluarkan permohonan maaf bagi pihak warga Palestin.
Malaysia telah membawa masuk 127 rakyat Palestin pada 16 Ogos 2024 untuk rawatan perubatan.
Seramai 41 individu yang cedera dilaporkan dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara mereka disediakan penginapan di Wisma Transit. - Agensi Berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg