Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Syria di M’sia rai kejatuhan pemerintahan Presiden Assad

Dec 9, 2024 | 1:01 PM
Warga Syria di Malaysia meraikan kejatuhan negara itu daripada pemerintahan parti Baath diterajui mantan Presiden, Encik Bashar al-Assad, selama lebih lima dekad.
Warga Syria di Malaysia meraikan kejatuhan negara itu daripada pemerintahan parti Baath diterajui mantan Presiden, Encik Bashar al-Assad, selama lebih lima dekad. - Foto MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR: Warga Syria di Malaysia meraikan kebebasan negara itu daripada cengkaman pemerintahan parti Baath di bawah legasi Presiden Bashar al-Assad selama lebih lima dekad.

Di media sosial, tular beberapa video menunjukkan rakyat Syria berhimpun beramai-ramai termasuk di hadapan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur. Menerusi video tersebut kelihatan warga Syria berkongsi makanan antara mereka.

Dalam masa yang sama terdapat kelompok rakyat Syria dilihat menunaikan solat sebagai tanda kesyukuran kebebasan negara mereka, malah menggantikan bendera Syria dengan bendera pemberontak.

Bendera pemberontak Syria terdiri daripada tiga jalur mendatar – hijau, putih dan hitam – dengan tiga bintang merah dalam jalur putih.

Sebaliknya, bendera kebangsaan Syria, yang digunakan di bawah pemerintahan Encik Assad, mempunyai tiga jalur mendatar berwarna merah, putih dan hitam, tetapi dengan dua bintang hijau dalam jalur putih.

Seorang pengguna media sosial, Encik Wael Qarssifi, menulis, “Tiada lagi Assadisme, tiada lagi untuk selamanya. Tidak lama lagi, saudara dan saudari kita dari Malaysia dialu-alukan untuk melawat kami di Syria yang sudah bebas”, seperti yang dilaporkan The Malay Mail.

Pengguna TikTok, alhor298, menaikkan bendera Malaysia di Syria dalam videonya bertajuk ‘Tanda cinta saya kepada Malaysia dan rakyatnya, saya menaikkan bendera Malaysia di Kota Aleppo’.

Malaysia dikenali sebagai negara yang menyediakan perlindungan terhadap pelarian daripada pelbagai negara termasuk sebilangan kecil rakyat Syria yang melarikan diri daripada konflik yang berpanjangan di tanah air mereka.

Walaupun tiada angka rasmi, rakyat Syria membentuk sebahagian daripada populasi pelarian dan pencari suaka yang lebih luas di Malaysia, yang berjumlah lebih 185,000 orang.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia memberi jaminan bahawa semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Syria kekal selamat dan menggalakkan mereka mendaftar di platform E-Konsular untuk maklumat terkini dan sebarang bantuan.

Setakat ini, semua 37 pelajar Malaysia dan lima rakyat Malaysia lain yang berdaftar di negara itu dilaporkan selamat.

“Kementerian akan terus memantau dengan rapat keadaan dan memberikan maklumat terkini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Syria,” katanya dalam kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg