Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki gesa tambah usaha tangani kesusahan penduduk Gaza

Ulangi komitmen S’pura lakukan lebih banyak, kerjasama dengan negara lain di Persidangan Menteri untuk Meningkatkan Usaha Respons Kemanusiaan di Gaza
Dec 3, 2024 | 7:47 PM
Para wakil negara di Persidangan Menteri untuk Meningkatkan Usaha Respons Kemanusiaan di Gaza di Kahirah, Mesir, pada 2 Disember.
Para wakil negara di Persidangan Menteri untuk Meningkatkan Usaha Respons Kemanusiaan di Gaza di Kahirah, Mesir, pada 2 Disember. - Foto MFA

Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menangani keadaan kemanusiaan yang teruk di Gaza dan memastikan penduduk wilayah Palestin itu tidak mengalami lebih banyak kesusahan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Beliau juga mengulangi gesaan Singapura agar bantuan kemanusiaan segera, selamat dan tanpa halangan disampaikan untuk meringankan penderitaan orang awam di Gaza, semasa berucap pada Persidangan Menteri untuk Meningkatkan Usaha Respons Kemanusiaan di Gaza pada 2 Disember di Kahirah, Mesir.

“Musim sejuk semakin menghampiri dan Singapura kekal sangat prihatin mengenai keadaan kemanusiaan yang teruk di Gaza.

“Kami juga mengulangi seruan bagi pembebasan segera, selamat dan tanpa syarat semua tebusan. Penderitaan pada semua pihak mesti diakhiri,” ujar Dr Maliki.

Sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober 2023, lebih 44,000 orang telah terbunuh di Gaza akibat tindak balas Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Serangan berterusan Israel berikutan serangan Hamas di selatan negara itu, yang menyaksikan 1,200 orang terbunuh dan lebih 250 dijadikan tebusan.

Dalam ucapannya, Dr Maliki mengulangi pendirian Singapura bahawa penyelesaian dua negara yang dirundingkan selaras dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah satu-satunya jalan berdaya maju untuk mencapai huraian adil dan berkekalan bagi konflik Israel-Palestin.

Beliau turut menyatakan penghargaan Singapura kepada Mesir atas sokongan mereka dalam memudahkan bantuan kemanusiaan Republik ini ke Gaza pada November 2023 dan Januari 2024.

Mengulas tentang isu-isu ketara yang dibincangkan semasa persidangan itu kepada Berita Harian (BH), Dr Maliki berkata persidangan itu telah menjana momentum antarabangsa kukuh dan komitmen masyarakat antarabangsa untuk melakukan lebih banyak untuk Gaza.

“Adalah jelas bahawa situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza benar-benar menjadi perhatian banyak negara. Ramai daripada delegasi bercakap tentang kebimbangan mereka mengenai situasi kemanusiaan yang teruk.

“Kami mempunyai perbincangan yang sangat luas tentang cara menghantar lebih banyak bantuan ke Gaza dan benar-benar mengenai pemberian bantuan yang berkesan ke Gaza dan di dalam Gaza sendiri,” kata Dr Maliki

Beliau menambah bahawa banyak delegasi turut menyatakan sokongan berterusan mereka kepada kerja baik Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNWRA).

Terdapat juga kebimbangan mendalam tentang tindakan Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang melarang kegiatan UNWRA dalam wilayah Israel dan melarang hubungan oleh pihak berkuasa negara itu dengan UNWRA.

“Banyak delegasi bercakap tentang keperluan untuk semua pihak menghormati dan menyokong peranan kemanusiaan yang dimainkan oleh agensi PBB dalam pihak berkuasa Palestin dan membenarkan mereka akses tanpa halangan untuk menjalankan kerja mereka dan memastikan keselamatan kakitangan mereka.

“Kami juga mengadakan perbincangan yang sangat berguna tentang keperluan penduduk awam Palestin dan bagaimana masyarakat antarabangsa boleh menyokong pembinaan semula Gaza pada masa hadapan.

“Sudah tentu, untuk ini berlaku, perlu ada gencatan senjata. Begitu banyak delegasi, termasuk Singapura, mengulangi keperluan mendesak bagi gencatan senjata,” kata Dr Maliki.

Sejak konflik itu bermula, Singapura telah menghantar lima bahagian bantuan kemanusiaan ke Gaza, berjumlah lebih AS$13 juta ($18 juta) dalam bentuk wang tunai dan derma.

Bantuan kemanusiaan pertama diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir di Mesir pada November 2023, dengan disaksikan oleh Dr Maliki.

Pada hujung November, Singapura sekali lagi menghantar bekalan tambahan melalui pengerahan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) ke El Arish.

Pada Januari, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) mengerahkan pasukan perubatan di atas kapal FS Dixmude, sebuah kapal hospital tentera laut Perancis yang berlabuh di Pelabuhan El Arish di Mesir.

Pada Mac pula, ia mengerahkan pesawat C-130 menyertai operasi pelbagai negara yang diketuai Jordan untuk menghantar bekalan penting ke Gaza.

Pada Ogos, Singapura bekerjasama dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus untuk menghantar 300 tan bantuan makanan ke Gaza, yang sedang dalam perjalanan.

Pada November, bantuan kelima Singapura berjumlah kira-kira AS$500,000 disampaikan kepada Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef).

“Kami berharap dapat melakukan lebih banyak lagi dan terus bekerjasama dengan rakan-rakan di rantau ini. Keperluan masa depan Gaza akan menjadi besar.

“Singapura bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam menyokong rakyat Palestin sedang mereka berusaha membina semula kehidupan mereka selepas gencatan senjata dicapai,” kata Dr Maliki.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg