Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Internet percuma Starlink bantu rakyat Iran di tengah sekatan komunikasi

Jan 14, 2026 | 11:29 AM
Rakaman video yang diambil pada 4 Januari 2026 daripada imej UGC yang diterbitkan pada 3 Januari 2026 menunjukkan penunjuk perasaan di daerah Malekshahi, wilayah Ilam di barat Iran.
Demonstrasi tersebut dicetuskan oleh kemarahan terhadap peningkatan kos sara hidup.
Rakaman video yang diambil pada 4 Januari 2026 daripada imej UGC yang diterbitkan pada 3 Januari 2026 menunjukkan penunjuk perasaan di daerah Malekshahi, wilayah Ilam di barat Iran. Demonstrasi tersebut dicetuskan oleh kemarahan terhadap peningkatan kos sara hidup. - Foto AFP

TEHERAN: Pengguna perkhidmatan Internet satelit Starlink milik Encik Elon Musk di Iran dilaporkan dapat menggunakan perkhidmatan itu secara percuma pada Selasa, menurut Holistic Resilience, sebuah organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat yang membantu rakyat Iran mendapatkan akses internet.

Pengarah Eksekutif Holistic Resilience, Encik Ahmad Ahmadian, berkata syarikat induk Starlink, SpaceX, telah mengetepikan bayaran perkhidmatan pada pagi 13 Januari. Menurutnya, beberapa individu di Iran memaklumkan bahawa mereka tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk mengakses internet Starlink, ketika negara itu berdepan sekatan komunikasi hampir menyeluruh susulan protes besar-besaran. Bagaimanapun, The New York Times tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tersebut.

SpaceX, syarikat pembuat roket yang diasaskan oleh Elon Musk pada 2002, tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan komen. Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa SpaceX menawarkan perkhidmatan Starlink secara percuma di Iran.

Pihak berkuasa Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini telah memperketat tindakan terhadap protes di seluruh negara dan mengenakan sekatan komunikasi bagi menghalang orang ramai daripada mendapatkan maklumat serta menyusun gerakan secara dalam talian. Para saksi melaporkan bahawa pasukan keselamatan Iran telah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan tidak bersenjata, namun jumlah kematian dan kecederaan masih belum dapat dipastikan.

Dalam keadaan sedemikian, perkhidmatan Starlink sering menjadi satu-satunya saluran akses internet di zon konflik, kawasan terpencil dan wilayah yang dilanda bencana alam. Perkhidmatan itu bergantung kepada ribuan satelit yang berkomunikasi dengan terminal di bumi untuk menyalurkan Internet berkelajuan tinggi. Di Ukraine, sebagai contoh, perkhidmatan ini digunakan secara meluas oleh pasukan tentera dalam perang menentang Russia.

Keupayaan Encik Elon Musk untuk menghidupkan atau mematikan perkhidmatan Starlink di lokasi tertentu, serta penguasaannya dalam sektor angkasa lepas melalui rangkaian satelit dan roket, telah menjadikannya pemain geopolitik yang berpengaruh dan sukar dijangka.

Starlink juga telah menjadi sumber pendapatan yang sangat menguntungkan bagi SpaceX. Syarikat itu, yang baru-baru ini menawarkan pembelian saham dalaman dalam satu perjanjian yang menilai nilainya sekitar AS$800 bilion (S$1.03 trilion) kini disenaraikan antara syarikat swasta paling bernilai di dunia dan telah memaklumkan pemegang saham bahawa ia sedang bersiap sedia untuk disenaraikan di pasaran awam.

Pihak berkuasa Iran sebelum ini pernah menunjukkan ketidakselesaan terhadap penggunaan Starlink. Ketika protes antipemerintah tercetus pada 2022, Elon Musk menjadikan Starlink boleh diakses di Iran bagi membantu aktivis kekal dalam talian. Pemerintah Iran ketika itu menuduh SpaceX melanggar kedaulatan negara.

Encik Ahmad Ahmadian berkata Iran telah mengharamkan terminal Starlink dan meluluskan undang-undang pada Oktober lalu dengan mengenakan hukuman berat, termasuk hukuman mati, terhadap penggunaan perkhidmatan tersebut. Beliau menambah bahawa pihak berkuasa Iran juga cuba mengganggu isyarat internet satelit bagi menyekat akses Starlink.

Encik Amir Rashidi, pengarah hak digital dan keselamatan di Miaan Group, sebuah pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Amerika Syarikat, berkata pengguna Starlink di Iran menerima kemas kini perisian pada 13 Januari bagi menguatkan isyarat dan memintas gangguan yang dilakukan oleh pemerintah. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg