Iran adakan upacara penghormatan terakhir untuk Ayatollah Ali Khamenei di Teheran
Iran adakan upacara penghormatan terakhir untuk Ayatollah Ali Khamenei di Teheran
TEHeRAN: Rakyat Iran dijangka memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu upacara rasmi di Tehran bermula malam 4 Mac ini, menurut pegawai kanan pemerintah yang dipetik media negara.
Ketua Majlis Dakwah Islam Iran, Encik Hojjatoleslam Mahmoudi, berkata upacara penghormatan itu akan berlangsung selama tiga hari, manakala tarikh perarakan pengebumian rasmi akan diumumkan kemudian.
Beliau berkata orang ramai boleh hadir untuk memberi penghormatan kepada jenazah Khamenei di Dewan Solat Imam Khomeini di Teheran bermula jam 10 malam waktu tempatan.
“Dewan Musala akan dibuka kepada pengunjung dan rakyat yang dihormati boleh hadir untuk menyertai upacara perpisahan ini serta menunjukkan kehadiran yang kuat sekali lagi,” katanya seperti dilaporkan media Iran.
Khamenei, yang memerintah Iran selama beberapa dekad dengan pendirian tegas menentang Amerika Syarikat dan Israel, terbunuh pada 28 Februari pada usia 86 tahun dalam serangan udara oleh kedua-dua negara itu, menurut laporan media rasmi Iran.
Televisyen negara Iran melaporkan jenazah Khamenei akan dipamerkan di sebuah kompleks besar di tengah Tehran yang sering digunakan oleh beliau untuk menyampaikan ucapan kepada rakyat dan memimpin solat berjemaah.
Upacara tersebut menandakan permulaan proses pengebumian rasmi bagi tokoh yang dianggap sebagai pemimpin paling berpengaruh di Iran sejak beberapa dekad lalu.
Pada masa yang sama, ulama Syiah kanan di Iran sedang meneruskan perbincangan bagi menentukan pengganti baharu untuk jawatan pemimpin agung negara itu. Beberapa pegawai Iran yang mengetahui perbincangan tersebut berkata pengumuman mengenai pengganti mungkin dibuat dalam masa terdekat.
Antara calon yang disebut sebagai paling berpengaruh ialah Encik Mojtaba Khamenei, 56 tahun, anak kepada pemimpin yang terbunuh itu.
Sekiranya dipilih, beliau akan memegang kuasa tertinggi negara sebagai pemimpin agama dan politik Iran serta panglima tertinggi angkatan tentera.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata serangan udara yang dilancarkan bersama Israel sejak hujung minggu lalu mungkin turut mengorbankan beberapa tokoh yang berpotensi menggantikan kepimpinan Iran.
“Kebanyakan individu yang kami jangkakan mungkin mengambil alih kepimpinan sudah mati,” katanya.
Trump turut berkata pemimpin baharu Iran mungkin tidak jauh berbeza daripada kepimpinan sebelum ini.
“Mungkin pemimpin baharu itu akan sama buruknya seperti yang sebelumnya,” katanya.
Serangan udara oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran dilaporkan masih berterusan pada awal hari ini, 4 Mac manakala Iran turut melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron ke beberapa sasaran di rantau Teluk.
Tentera Israel berkata mereka telah melancarkan serangan terhadap puluhan sasaran milik pasukan Basij, sebuah kumpulan separa tentera yang dikendalikan pemerintah Iran. Basij memainkan peranan penting dalam operasi keselamatan dalaman Iran, termasuk dalam tindakan keras terhadap protes anti kerajaan yang berlaku sebelum ini.
Tentera Israel juga berkata beberapa peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran dan Lebanon dikesan memasuki ruang udara Israel, namun kebanyakannya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan negara itu.
Di Arab Saudi, Kementerian Pertahanan negara itu berkata pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu jenis cruise serta sepuluh dron. Bagaimanapun, sumber sebenar serangan tersebut tidak dapat dipastikan dengan segera. - Agensi berita

