Laporan: AS pertimbang serang Iran seawal hujung minggu
Usaha himpun tentera diteruskan meski kededua negara adakan rundingan tidak langsung di Geneva pada 17 Feb
WASHINGTON: Amerika Syarikat kini berada pada tahap kesiapsiagaan ketenteraan yang membolehkan Presiden Donald Trump melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran seawal hujung minggu ini.
Ia sekali gus meletakkan Rumah Putih di persimpangan sukar antara diplomasi dengan peperangan.
Demikian menurut pegawai pentadbiran dan Pentagon.
Setakat ini, Encik Trump belum memberi petunjuk bahawa keputusan muktamad telah dibuat.
Namun, usaha menghimpunkan kekuatan tentera untuk menyerang program nuklear Iran, peluru berpandu balistik serta tapak pelancarannya diteruskan walaupun kededua negara mengadakan rundingan tidak langsung di Geneva pada 17 Februari.
Walaupun rundingan di Geneva dilaporkan mencapai persetujuan mengenai “set prinsip panduan”, pegawai Amerika mengakui jurang perbezaan masih besar.
Teheran dilaporkan meminta tempoh dua minggu untuk mengemukakan cadangan diplomatik lebih terperinci.
Encik Trump sebelum ini memberi amaran Iran mesti menerima syaratnya atau berdepan akibat serius.
Berulang kali Encik Trump menuntut Iran agar menghentikan sepenuhnya program nuklearnya, termasuk memperkayakan uranium.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula mendesak tindakan ketenteraan bagi melemahkan kemampuan peluru berpandu Iran terhadap Israel.
Pegawai pertahanan Israel berkata tenteranya kini meningkatkan persediaan perang dan mesyuarat Kabinet keselamatan dipercepatkan ke 15 Februari.
Namun serangan baru, hanya lapan bulan selepas perang 12 hari yang menyaksikan Israel dan Amerika menyerang tapak ketenteraan Iran, berisiko mencetuskan tindak balas peluru berpandu besar-besaran terhadap Israel serta pangkalan tentera Amerika di rantau itu.
Bagi presiden yang berkempen mahu mengelakkan perang luar negara, langkah ini berpotensi menjadi sekurang-kurangnya serangan ketenteraan ketujuh Amerika dalam tempoh setahun dan kedua terhadap Iran.
Pada Jun 2025, Encik Trump mendakwa program nuklear Iran telah “dihapuskan sepenuhnya”, namun, kini beliau mempertimbang serangan susulan.
Kekuatan tentera yang dihimpunkan termasuk puluhan pesawat pengisi minyak, lebih 50 jet pejuang tambahan serta dua kumpulan kapal induk bersama kapal pemusnah, kapal penjelajah dan kapal selam.
Kapal induk, USS Gerald R. Ford, sedang menuju ke Mediterranean untuk menyertai, USS Abraham Lincoln, di rantau tersebut.
Kapal tersebut dijangka ditempatkan berhampiran pantai Israel bagi mempertahankan Tel Aviv dan bandar utama lain.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata presiden masih mengutamakan diplomasi.
“Diplomasi sentiasa pilihan pertama presiden dan Iran akan bertindak bijak jika mencapai perjanjian dengan pentadbiran ini,” katanya.
Beliau menambah keputusan ketenteraan dibuat berdasarkan kepentingan Amerika, tenteranya dan rakyatnya.
Pegawai Israel pula berkata perancangan serangan bersama sedang disediakan walaupun belum diputuskan.
Sasaran dijangka termasuk tapak nuklear, depoh peluru berpandu serta ibu pejabat Kor Pengawal Revolusi Iran.
Pentagon sebelum ini berada dalam kedudukan lemah untuk menyokong ancaman Encik Trump.
Sekitar 30,000 hingga 40,000 tentera Amerika di Asia Barat kekurangan sistem pertahanan udara mencukupi untuk menghadapi serangan balas Iran.
Sejak sebulan lalu, sistem pertahanan Patriot dan THAAD telah dipindahkan ke rantau itu bagi memintas peluru berpandu balistik Iran.
Puluhan jet, F-35, F-22 dan F-16, turut dikerahkan bersama pesawat pengebom jarak jauh B-2 yang kini berada pada tahap berjaga-jaga tinggi.
Seorang pegawai tentera berkata Amerika kini mampu melindungi tenteranya daripada serangan balas dalam kempen singkat.
Namun, persoalan masih timbul sama ada Washington bersedia menghadapi perang lebih panjang.
Encik Trump sebelum ini menangguhkan serangan selepas pegawai tentera memberi amaran kesiapsiagaan belum mencukupi.
Namun, kelewatan itu mungkin memberi masa kepada Iran membuat persediaan sendiri.
Pakar Iran di Universiti Johns Hopkins, Encik Vali Nasr, berkata diplomasi memberi ruang kepada kededua pihak memperkukuh posisi.
“Diplomasi memberi masa kepada Amerika bersiap, tetapi juga memberi masa kepada Iran merancang serangan balas,” katanya.
Beliau menambah presiden perlu menilai kos sebenar peperangan.
“Akhirnya, pendekatan tekanan maksimum ini menjadikan risiko konflik lebih besar berbanding lebih kecil,” katanya. – Agensi berita.

