Iran ancam balas ‘habis-habisan’ jika AS serang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran ancam balas ‘habis-habisan’ jika AS serang

Feb 24, 2026 | 12:22 PM

Iran ancam balas ‘habis-habisan’ jika AS serang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
protest, teheran, pelajar wanita, iran
Imej daripada video yang dimuat naik di media sosial pada 23 Februari dan disahkan oleh pasukan AFPTV di Paris menunjukkan pelajar berkumpul dalam perhimpunan antipemerintah di Universiti Alzahra, khusus wanita, di Teheran. - Foto AFP

TEHERAN: Iran memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat bahawa sebarang serangan ketenteraan akan dibalas secara “habis-habisan”.

Ia susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk melancarkan serangan terhad jika rundingan gagal mencapai persetujuan ketika pelajar turut mengadakan bantahan baharu menentang Republik Islam.

Amaran itu dikeluarkan ketika kedua-dua negara bersiap menyambung semula rundingan tidak langsung di Switzerland pada 26 Februari, di tengah-tengah ketegangan yang kian memuncak dan penempatan tambahan aset ketenteraan Amerika di Asia Barat.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, menegaskan walaupun serangan itu bersifat terhad, ia tetap dianggap sebagai tindakan pencerobohan.

“Sebarang serangan, walaupun terhad, akan dianggap sebagai tindakan agresif. Titik,” katanya dalam sidang media di Teheran.

“Mana-mana negara berhak mempertahankan diri. Jika berlaku pencerobohan, tindak balas kami akan dilakukan dengan tegas dan habis-habisan,” tambahnya.

Encik Trump sebelum ini menyatakan bahawa Iran mempunyai tempoh maksimum 15 hari untuk mencapai persetujuan baharu berhubung program nuklearnya, sambil membayangkan penggunaan kekuatan tentera sekiranya rundingan gagal.

Washington telah meningkatkan kehadiran kapal perang dan pesawat tempur di rantau berkenaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Iran menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan awam.

Namun, negara Barat percaya Teheran berusaha membangunkan senjata atom.

Walaupun Iran mahu rundingan tertumpu kepada isu nuklear, Amerika turut mendesak agar perbincangan merangkumi program peluru berpandu serta sokongan Iran terhadap kumpulan bersenjata di rantau itu.

Encik Baghaei berkata Iran sedang menyiapkan draf cadangan untuk diserahkan kepada pihak pengantara dalam masa terdekat sebagai tanda komitmen terhadap penyelesaian diplomatik.

Kesatuan Eropah (EU) turut menggesa kedua-dua pihak agar mencari jalan damai.

Ketua Dasar Luar EU, Encik Kaja Kallas, berkata ketegangan baharu tidak diperlukan di rantau yang sudah rapuh.

“Kita tidak memerlukan satu lagi peperangan di rantau ini. Inilah masanya untuk mencari penyelesaian diplomatik,” katanya.

Di dalam negara, tekanan luar berlaku seiring cabaran domestik.

Pada hari pertama semester baharu, kumpulan pelajar di beberapa universiti mengadakan bantahan antipemerintah, mengulangi slogan yang pernah bergema dalam gelombang bantahan besar awal 2026.

Rakaman video yang disahkan menunjukkan sekumpulan pelajar di Teheran membakar bendera rasmi republik tersebut sambil melaungkan cogan kata menentang kepimpinan negara.

Bantahan itu mengimbau semula protes yang memuncak pada Januari lalu dan disusuli tindakan keras pihak keselamatan.

Pertubuhan hak asasi yang berpangkalan di Amerika, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia, melaporkan lebih 7,000 kematian dalam tindakan keras tersebut, kebanyakannya penunjuk perasaan.

Pihak berkuasa Iran pula menyatakan angka korban melebihi 3,000 orang termasuk anggota keselamatan dan orang awam, sambil mendakwa keganasan dicetuskan oleh unsur “pengganas” yang didorong oleh musuh luar seperti Amerika dan Israel.

Dalam masa yang sama, perhimpunan turut diadakan oleh kumpulan penyokong pemerintah bagi memperingati mereka yang terkorban, dengan beberapa kejadian pertengkaran antara kumpulan dilaporkan berlaku.

Ketegangan serantau turut meningkat apabila Amerika mengarahkan kakitangan tidak penting meninggalkan kedutaannya di Beirut sebagai langkah berjaga-jaga.

Seorang pegawai kanan Jabatan Negara berkata keputusan itu bersifat sementara bagi menjamin keselamatan kakitangan.

“Kami sentiasa menilai keadaan keselamatan. Berdasarkan penilaian terkini, adalah wajar mengurangkan kehadiran kepada kakitangan penting sahaja,” katanya.

Sekitar 40 kakitangan dilaporkan meninggalkan Beirut melalui lapangan terbang antarabangsa pada Isnin, namun kedutaan itu kekal beroperasi.

Beberapa negara termasuk India, Sweden, Serbia, Poland dan Australia turut menasihatkan rakyat mereka supaya meninggalkan Iran buat sementara waktu susulan kebimbangan konflik terbuka.

Sejak serangan 7 Oktober 2023 oleh Hamas yang disokong Iran, Israel melancarkan beberapa serangan di Lebanon yang melemahkan Hezbollah, sekutu utama Teheran di rantau itu.

Hezbollah pada 21 Februari lalu berikrar untuk terus “menentang” selepas serangan Israel mengorbankan lapan anggotanya.

Penganalisis melihat perkembangan tersebut sebagai ujian besar terhadap diplomasi yang sedang berlangsung.

Walaupun retorik kedua-dua pihak semakin keras, saluran rundingan masih dibuka.

Teheran menyatakan harapan bahawa pertemuan 26 Februari itu dapat menjadi usaha terakhir untuk mengelakkan konflik bersenjata secara langsung dengan Washington.

Perkembangan terkini menunjukkan Asia Barat kembali berada di ambang ketegangan besar, ketika diplomasi dan ancaman ketenteraan berjalan seiring dalam usaha menentukan hala tuju hubungan antara dua musuh tradisi tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg