Protes pelajar Iran hari kedua ketika Trump timbang serangan lebih besar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes pelajar Iran hari kedua ketika Trump timbang serangan lebih besar

Feb 23, 2026 | 1:55 PM

Protes pelajar Iran hari kedua ketika Trump timbang serangan lebih besar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Rakaman video ini diambil daripada imej UGC yang dimuat naik di media sosial pada 22 Februari 2026 dan disahkan oleh pasukan AFPTV di Paris, menunjukkan rakyat Iran berdemonstrasi di Universiti Teknologi Sharif di Teheran sambil melaungkan “Azadi, azadi, azadi” (“Kebebasan, kebebasan, kebebasan”). Pelajar Iran berhimpun bagi mengadakan perhimpunan pro dan anti pemerintah pada 22 Februari 2026, memperingati mangsa yang terbunuh dalam protes sebelum ini, ketika kebimbangan meningkat mengenai kemungkinan konflik baharu dengan Amerika Syarikat berhubung program nuklear negara itu.
Rakaman video ini diambil daripada imej UGC yang dimuat naik di media sosial pada 22 Februari 2026 dan disahkan oleh pasukan AFPTV di Paris, menunjukkan rakyat Iran berdemonstrasi di Universiti Teknologi Sharif di Teheran sambil melaungkan “Azadi, azadi, azadi” (“Kebebasan, kebebasan, kebebasan”). Pelajar Iran berhimpun bagi mengadakan perhimpunan pro dan anti pemerintah pada 22 Februari 2026, memperingati mangsa yang terbunuh dalam protes sebelum ini, ketika kebimbangan meningkat mengenai kemungkinan konflik baharu dengan Amerika Syarikat berhubung program nuklear negara itu. - Foto AFP

TEHERAN: Gelombang baharu bantahan anti pemerintah kembali tercetus di kampus universiti di Iran untuk hari kedua berturut-turut, walaupun pihak berkuasa sebelum ini melancarkan tindakan keras berdarah terhadap demonstrasi nasional.

Menurut kumpulan pelajar dan organisasi hak asasi manusia, protes berlaku sekurang-kurangnya di tujuh kampus di Teheran serta di bandar Mashhad. Video yang disahkan media antarabangsa menunjukkan ratusan pelajar berhimpun sambil melaungkan slogan menentang pemerintah.

Demonstrasi itu antara yang pertama sejak pasukan keselamatan menumpaskan protes besar pada Januari lalu yang mengorbankan ribuan orang. Sejak itu kira-kira 40,000 individu dilaporkan ditahan, manakala aset penyokong protes turut dirampas. Pada Disember lalu, protes bermula sebagai mogok ekonomi sebelum berkembang menjadi gerakan nasional menuntut penamatan pemerintahan autoritarian. Pemerintah Iran menyatakan kira-kira 3,000 orang terbunuh dalam rusuhan yang didakwa disokong kuasa asing, manakala kumpulan hak asasi menganggarkan angka korban melebihi 7,000 orang.

Namun bantahan kembali meletus apabila semester baharu bermula hujung minggu lalu. Pelajar pada Ahad, 22 Februari memakai pakaian hitam bagi memperingati mangsa yang terkorban, menurut rakaman di Universiti Seni Teheran dan Universiti Sains dan Teknologi Iran.

Seorang pelajar yang enggan dinamakan berkata suasana kampus berubah sejak kebelakangan ini.
“Kami tidak lagi takut. Rakan kami telah mati dan kami mahu keadilan,” katanya dalam satu rakaman video yang beredar dalam talian.

Pemerintah Iran belum mengakui secara rasmi demonstrasi tersebut, tetapi media negara melaporkan ketegangan di kampus. Timbalan Hal Ehwal Sosial Universiti Teheran, Encik Hossein Goldansaz, memberi amaran kepada pelajar supaya tidak bertindak keterlaluan. “Slogan radikal hanya membuang masa pelajar dan mesti dielakkan daripada mencetuskan keganasan,” katanya kepada agensi berita Mehr.

Beliau menambah universiti tidak akan melindungi pelajar sekiranya protes bertukar ganas. Kumpulan pelajar berkata mereka merancang meneruskan bantahan untuk hari ketiga, manakala pelajar di Isfahan berikrar akan menyertai gerakan tersebut. “Kami tidak akan memaafkan dan tidak akan melupakan,” kata satu kenyataan kumpulan pelajar.

Protes berlaku ketika rakyat Iran berdepan kemungkinan konflik dengan Amerika Syarikat. Penduduk dilaporkan mula menyimpan bekalan makanan dan merancang berpindah ke kawasan luar bandar.
Rundingan nuklear antara Teheran dan Washington masih buntu walaupun pertemuan baharu dijadual berlangsung di Geneva pada 26 Februari ini.

Menteri Luar Iran Encik Abbas Araghchi berkata penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai, namun menegaskan Tehran tidak akan melepaskan haknya untuk memperkaya uranium. “Kami percaya penyelesaian diplomatik masih mempunyai peluang. Tiada keperluan tekanan ketenteraan,” katanya dalam wawancara televisyen.

Sementara itu, utusan khas Amerika Syarikat ke Asia Barat, Encik Steve Witkoff, menegaskan Washington hanya menerima satu hasil dalam rundingan tersebut. “Arahannya jelas, Iran mesti mencapai sifar pengayaan nuklear,” katanya.Utusan khas Amerika Syarikat pula menegaskan hanya satu hasil diterima Washington. “Arahannya jelas, Iran mesti mencapai sifar pengayaan nuklear,” katanya.

Dalam masa yang sama, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan cenderung melancarkan serangan awal dalam beberapa hari akan datang sebagai amaran kepada kepimpinan Iran supaya bersetuju menghentikan keupayaan menghasilkan senjata nuklear.

Sasaran yang dipertimbangkan termasuk ibu pejabat Kor Pengawal Revolusi Iran, tapak nuklear serta program peluru berpandu balistik negara itu. Jika langkah tersebut gagal memaksa Teheran berunding, Encik Trump turut memberi bayangan kemungkinan serangan ketenteraan lebih besar pada akhir tahun 2026 ini dengan tujuan melemahkan pemerintahan Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Namun beberapa pegawai Amerika sendiri meragui sama ada serangan udara sahaja mampu mencapai matlamat itu. Pada masa yang sama, kedua-dua pihak sedang menilai cadangan kompromi saat akhir yang membenarkan Iran menjalankan program pengayaan nuklear sangat terhad bagi tujuan perubatan sahaja sebagai jalan mengelakkan perang. Setakat ini belum jelas sama ada Washington atau Teheran akan bersetuju.

Cadangan itu muncul ketika dua kumpulan kapal induk bersama puluhan jet pejuang dan pesawat pengebom Amerika kini berada dalam jarak serangan dari Iran, langkah terbesar sejak persediaan perang Iraq hampir dua dekad lalu.

Encik Trump membincangkan pilihan serangan itu dalam mesyuarat di Bilik Situasi Rumah Putih bersama Naib Presiden Encik JD Vance; Setiausaha Negara Encik Marco Rubio; Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Dan Caine, Pengarah CIA Encik John Ratcliffe dan Ketua Staf Cik Susie Wiles.

Menurut beberapa pegawai Amerika yang mengetahui perbincangan tersebut, Jeneral Caine menjelaskan keupayaan operasi tentera manakala Encik Ratcliffe memberi penilaian mengenai keadaan semasa di lapangan dan kemungkinan hasil serangan.

Walaupun pilihan operasi khas pernah dipertimbangkan termasuk serbuan komando ke kemudahan nuklear bawah tanah Iran, rancangan itu ditangguhkan kerana risikonya terlalu tinggi.

Jurucakap Rumah Putih Cik Anna Kelly enggan mengulas lanjut. “Media boleh membuat spekulasi mengenai pemikiran presiden, tetapi hanya Presiden Trump mengetahui apa yang mungkin atau tidak akan dilakukannya,” katanya.

Seorang pegawai Amerika yang mengetahui perbincangan berkata serangan itu bertujuan menunjukkan keseriusan Washington. “Matlamatnya memberi tekanan supaya Iran mengalah,” katanya kepada The New York Times.

Namun beberapa pegawai bimbang serangan udara sahaja tidak cukup menjatuhkan kepimpinan Iran dan mungkin mencetuskan perang lebih luas. Cadangan lain termasuk membenarkan Iran memperkaya uranium pada tahap sangat rendah untuk tujuan perubatan, tetapi kedua-dua pihak belum menunjukkan tanda persetujuan.

Penganalisis hak asasi manusia Omid Memarian berkata pelajar melihat percanggahan dalam pendekatan kerajaan. “Ketika pemerintah cuba menunjukkan kekuatan di luar negara, mereka semakin lemah di dalam negara,” katanya. Menurutnya, ancaman perang tidak boleh digunakan selama-lamanya untuk menutup bantahan rakyat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg