Iran, AS adakan rundingan pusingan ketiga pada 26 Feb
GENEVA: Iran dan Amerika Syarikat akan mengadakan pusingan ketiga rundingan nuklear pada 26 Februari di Geneva, kata Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan risiko konflik ketenteraan antara dua musuh lama itu.
Amerika telah meningkatkan kehadiran ketenteraannya di Timur Tengah, dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi amaran pada 19 Februari bahawa “perkara yang sangat buruk akan berlaku” jika tiada perjanjian dicapai untuk menyelesaikan pertikaian yang telah lama berlarutan mengenai program nuklear Teheran.
“Dengan sukacitanya saya mengesahkan rundingan Amerika-Iran kini ditetapkan pada Khamis ini di Geneva, dengan usaha positif dan lebih gigih ke arah memuktamadkan perjanjian itu,” kata Encik Albusaidi pada 22 Februari.
Menteri Luar Oman itu bertindak selaku pengantara rundingan tidak langsung antara Washington dengan Teheran.
Reuters melaporkan pada 22 Februari bahawa Iran menawarkan konsesi baru ke atas program nuklearnya untuk mencapai perjanjian, selagi ia melibatkan penarikan semula sekatan ekonomi dan mengiktiraf hak Teheran untuk “pengayaan nuklear secara aman”.
Dalam satu catatan di X, Presiden Iran Encik Masoud Pezeshkian menyuarakan optimisme berhati-hati pada 22 Februari dengan menyatakan rundingan baru-baru ini telah “menghasilkan isyarat yang menggalakkan”, sambil menunjukkan kesediaan Teheran untuk menghadapi potensi sebarang senario.
Encik Steve Witkoff, yang mengetuai rundingan nuklear di pihak Amerika, berkata pada 21 Februari bahawa Presiden Trump ingin tahu mengapa Iran belum “menyerah” dan bersetuju untuk mengekang program nuklearnya.
“Mengapa di bawah tekanan ini, dengan jumlah kuasa laut dan tentera laut di sana, mengapa mereka tidak datang kepada kami dan berkata, ‘Kami mengaku kami tidak mahu senjata, jadi inilah yang kami sedia lakukan’? Namun agak sukar untuk membawa mereka ke tempat itu,” kata Encik Witkoff.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, bertindak balas dalam satu catatan di X dengan berkata: “Ingin tahu mengapa kami tidak menyerah kalah? Kerana kami adalah orang Iran.”
Beliau juga berkata dalam satu temu bual dengan CBS bahawa penyelesaian diplomatik dengan Amerika masih dalam jangkauan.
Rundingan tidak langsung tahun lalu tidak membawa sebarang persetujuan, terutamanya disebabkan oleh pergeseran mengenai permintaan Amerika agar Iran melupakan pengayaan uraniumnya, yang dilihat oleh Washington sebagai laluan kepada bom nuklear. Iran telah menafikannya.
Amerika menyertai Israel dalam menyerang tapak nuklear Iran pada Jun lalu, dengan secara berkesan mengurangkan pengayaan uranium Iran. - Reuters

