TEHERAN: Usaha diplomatik bagi menamatkan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat terus dipergiat apabila kedua-dua negara dilaporkan masih bertukar mesej dan draf cadangan menerusi pengantaraan Pakistan untuk mencapai rangka kerja perjanjian damai.

Agensi berita separa rasmi Iran, Isna, melaporkan rundingan tidak langsung antara Teheran dengan Washington masih berlangsung pada lewat 21 Mei dan beberapa pegawai Pakistan masih berada di Teheran pada 22 Mei walaupun beberapa isu utama masih gagal diselesaikan.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan serantau terus memuncak susulan perang yang tercetus sejak Februari lalu melibatkan serangan Amerika dan Israel terhadap Iran, yang kemudian dibalas Teheran melalui serangan ke atas Israel, sekutu Amerika di Teluk serta penutupan Selat Hormuz.

Wartawan Al Jazeera di Teheran melaporkan pegawai Pakistan kini terlibat dalam “aktiviti pengantaraan intensif” bagi mempercepatkan rundingan.

Seorang pegawai kanan Iran berkata perjanjian damai semakin hampir dicapai, namun sumber Iran lain memberi amaran bahawa masih terlalu awal untuk memastikan persetujuan akhir dapat dimeterai.

Menurut Isna, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Naqvi yang melakukan lawatan kedua ke Teheran minggu ini telah membawa mesej daripada pihak Amerika kepada pegawai Iran.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian; Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi dan Menteri Dalam Negeri Iran, Encik Eskandar Momeni.

Isna turut melaporkan bahawa Encik Mohsin Naqvi akan terus berada di Teheran untuk meneruskan rundingan serta mengadakan pertemuan tambahan dengan pegawai Iran.

Sumber yang mengetahui rundingan itu berkata Pakistan kini cuba mempercepatkan komunikasi antara kedua-dua pihak kerana kebimbangan terhadap kesabaran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang semakin menipis.

“Kami sedang bercakap dengan pelbagai kumpulan di Iran bagi memperkemas saluran komunikasi supaya rundingan bergerak lebih pantas,” kata satu sumber yang rapat dengan proses rundingan.

“Kesabaran Trump yang semakin menipis menjadi kebimbangan, tetapi kami sedang berusaha memastikan mesej dari kedua-dua pihak disampaikan dengan lebih cepat,” katanya.

Walaupun terdapat beberapa perkembangan positif, isu stok uranium Iran dan kawalan terhadap Selat Hormuz terus menjadi penghalang utama kepada perjanjian damai.

Di Washington, Encik Trump menegaskan Amerika mahu mendapatkan semula stok uranium diperkaya milik Iran yang menurut Washington boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.

“Kami akan mendapatkannya. Kami tidak memerlukannya dan kami tidak mahu mereka memilikinya,” katanya di Rumah Putih.

Bagaimanapun Iran berulang kali menegaskan program nuklearnya hanya untuk tujuan aman.

Dua sumber kanan Iran memberitahu Reuters bahawa Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Mojtaba Khamenei telah mengarahkan supaya uranium itu tidak dihantar ke luar negara.

Selain isu nuklear, Teheran juga terus mempertahankan pendiriannya mengenai Selat Hormuz dan sekali lagi menegaskan bahawa Iran mempunyai hak kedaulatan ke atas laluan strategik itu.

Agensi berita Irna melaporkan sebanyak 31 kapal melalui Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam terakhir dengan penyelarasan tentera laut Iran.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio berkata terdapat “beberapa tanda positif” dalam rundingan damai yang sedang berlangsung.

“Ada beberapa petanda baik,” katanya kepada wartawan.

Namun beliau mengingatkan bahawa sebarang cubaan Iran mengenakan bayaran ke atas penggunaan Selat Hormuz akan menjejaskan proses diplomatik.

“Ia akan menyebabkan penyelesaian diplomatik menjadi mustahil jika mereka terus mengejar rancangan itu. Ia ancaman kepada dunia dan sepenuhnya menyalahi undang-undang,” katanya.

Encik Trump turut menegaskan Selat Hormuz mesti kekal bebas digunakan.

“Kami mahu ia terbuka dan bebas. Kami tidak mahu tol dikenakan. Ia laluan antarabangsa,” katanya.

Gencatan senjata antara Iran dengan Amerika mula berkuat kuasa pada 8 April hasil pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad sebelum ini gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.

Walaupun Encik Trump melanjutkan gencatan senjata tanpa had, Amerika masih mengekalkan sekatan terhadap kapal yang menuju ke pelabuhan Iran melalui Selat Hormuz.

Dalam masa sama, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu akan dibalas dengan tindakan lebih besar melangkaui rantau Asia Barat. – Agensi berita.