Iran-AS mulakan rundingan di Oman, dibayangi ancaman ketenteraan
Iran-AS mulakan rundingan di Oman, dibayangi ancaman ketenteraan
MUSCAT, Oman: Iran dan Amerika Syarikat memulakan persiapan rundingan di Oman pada 6 Februari dalam usaha menguji sama ada masih wujud ruang diplomasi berhubung program nuklear Iran dan isu-isu berkaitan, meskipun Washington enggan menolak pilihan ketenteraan.
Perbincangan itu, yang hanya disahkan oleh kedua-dua pihak lewat 4 Februari selepas ketidaktentuan mengenai lokasi, masa dan format, merupakan pertemuan pertama antara dua musuh lama itu sejak Amerika Syarikat menyertai serangan Israel ke atas Iran pada Jun lalu, termasuk serangan ke atas tapak nuklear negara tersebut.
Rundingan di Muscat akan diketuai oleh utusan Timur Tengah Presiden Donald Trump, Encik Steve Witkoff, dan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi. Oman sebelum ini beberapa kali bertindak sebagai pengantara senyap antara Washington dan Teheran dalam saat-saat tegang.
Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan pada 5 Februari berkata Teheran mempunyai “tanggungjawab untuk tidak melepaskan sebarang peluang menggunakan diplomasi” bagi memelihara keamanan. Ia turut menyuarakan harapan agar Washington menyertai perbincangan tersebut “dengan penuh tanggungjawab, realisme dan kesungguhan”.
Pertemuan ini berlangsung kurang sebulan selepas kemuncak gelombang protes besar-besaran di Iran terhadap kepimpinan agamawan yang menurut kumpulan hak asasi telah ditindas melalui tindakan keras luar biasa sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
Presiden Trump pada 4 Februari mengesahkan rundingan itu berlangsung. “Mereka sedang berunding,” katanya merujuk kepada Iran. “Mereka tidak mahu kami menyerang mereka. Kami mempunyai armada besar yang sedang menuju ke sana,” tambahnya, merujuk kepada kumpulan kapal pengangkut pesawat yang sebelum ini disifatkannya sebagai satu “armada”.
Sebelum ini, Encik Trump mengeluarkan ancaman tindakan ketenteraan terhadap Teheran susulan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, malah pernah memberitahu penunjuk perasaan bahawa “bantuan sedang dalam perjalanan”. Namun, dalam beberapa hari kebelakangan ini, nada Washington lebih tertumpu kepada usaha mengekang program nuklear Iran, yang dibimbangi Barat bertujuan menghasilkan senjata nuklear.
Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, dalam temu bual dengan SiriusXM yang disiarkan pada 4 Februari, berkata Encik Trump akan “mengekalkan semua pilihan”. “Beliau akan bercakap dengan semua pihak, cuba mencapai apa yang boleh melalui cara bukan ketenteraan, dan jika beliau merasakan ketenteraan adalah satu-satunya pilihan, maka itulah yang akhirnya akan dipilih,” katanya.
Di Eropah dan rantau sekitarnya, kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan ketenteraan semakin ketara. Canselor Jerman Encik Friedrich Merz, ketika berada di Doha, menyeru kepimpinan Iran supaya “benar-benar memberi komitmen rundingan”, sambil memberi amaran tentang “kebimbangan besar terhadap peningkatan ketenteraan di rantau ini”.
Presiden Turkey Encik Recep Tayyip Erdogan pula dipetik media tempatan sebagai berkata, “setakat ini, saya melihat kedua-dua pihak mahu memberi ruang kepada diplomasi”, sambil menegaskan bahawa konflik “bukanlah penyelesaian”.
Namun, ketegangan muncul menjelang rundingan berhubung skop perbincangan. Washington sebelum ini mahu isu sokongan Iran terhadap kumpulan proksi serantau serta program peluru berpandu balistik turut dibincangkan, dua perkara yang ditentang oleh Teheran.
Menurut laporan New York Times yang memetik pegawai Iran tanpa nama, Amerika Syarikat akhirnya bersetuju rundingan itu tidak melibatkan pelaku serantau lain. Walaupun fokus utama adalah isu nuklear, perbincangan mengenai peluru berpandu dan kumpulan bersenjata akan turut disentuh “dengan matlamat membentuk rangka kerja perjanjian”.
Bagaimanapun, Institut Pengajian Perang di Amerika Syarikat, memberi amaran bahawa sikap Iran masih keras. “Iran terus menunjukkan ketegaran terhadap tuntutan Amerika Syarikat, sekali gus mengurangkan kemungkinan penyelesaian diplomatik dapat dicapai,” katanya.
Ancaman ketenteraan masih membayangi rundingan itu. Amerika Syarikat telah menggerakkan kumpulan kapal perang yang diketuai oleh USS Abraham Lincoln ke rantau berkenaan, manakala Iran berulang kali memberi amaran akan membalas dengan menyerang pangkalan Amerika Syarikat sekiranya diserang.
“Kami bersedia mempertahankan diri, dan terpulang kepada presiden Amerika Syarikat untuk memilih antara kompromi atau perang,” kata jurucakap tentera Iran, Jeneral Mohammad Akraminia, yang dipetik televisyen pemerintah. Beliau turut memberi amaran bahawa Iran mempunyai akses “mudah” ke pangkalan Amerika Syarikat di rantau itu.
Dalam satu lagi perkembangan yang mencerminkan ketegangan, Pengawal Revolusi Iran merampas dua kapal tangki minyak bersama kru asing di perairan Teluk atas dakwaan “penyeludupan bahan api”, menurut agensi berita Tasnim. Butiran mengenai bendera kapal dan kewarganegaraan kru tidak didedahkan.
Bekas Menteri Luar Iran, Encik Ali Akbar Velayati, yang kini menjadi penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan pendirian Teheran. “Iran bersedia sepenuhnya untuk berdepan sebarang ancaman asing dan musuh,” katanya kepada agensi ISNA. - Agensi berita

