Iran arah rundingan dengan AS ketika ancaman Trump memuncak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran arah rundingan dengan AS ketika ancaman Trump memuncak

Feb 3, 2026 | 11:56 AM

Iran arah rundingan dengan AS ketika ancaman Trump memuncak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Iran, AS, Trump, nuklear
Penduduk Iran menunggang motosikal melepasi papan iklan yang memaparkan wajah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bersama kenyataan dalam bahasa Parsi yang mengutuk Amerika Syarikat. - Foto EPA

TEHERAN/WASHINGTON: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, mengarahkan rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat dimulakan ketika ketegangan antara kedua-dua negara memuncak susulan ancaman ketenteraan daripada Presiden Donald Trump, menurut laporan media Iran pada 2 Februari.

Arahan itu dikeluarkan ketika Washington meningkatkan tekanan ke atas Teheran selepas tindakan keras pihak berkuasa Iran terhadap protes anti-pemerintah yang memuncak bulan lalu dan mengorbankan ribuan nyawa, menurut pertubuhan hak asasi manusia.

Encik Trump sebelum ini mengarahkan sebuah kumpulan kapal pengangkut pesawat Amerika dihantar ke Asia Barat dan memberi amaran bahawa “perkara buruk” akan berlaku sekiranya tiada perjanjian dicapai dengan Republik Islam itu.

Bagaimanapun, Encik Trump menegaskan beliau masih berharap satu penyelesaian dapat dicapai.

“Saya harap kita boleh menyelesaikan sesuatu dengan Iran,” katanya, sambil menambah bahawa “masa semakin suntuk” untuk Teheran mencapai persetujuan mengenai program nuklearnya.

Agensi berita Fars melaporkan bahawa Encik Pezeshkian telah mengarahkan “diadakan rundingan dengan Amerika” berhubung isu nuklear, memetik sumber pemerintah yang tidak dinamakan.

Laporan sama turut disiarkan akhbar pemerintah Iran serta harian reformis Shargh, menandakan kesediaan awal Teheran untuk kembali ke meja rundingan walaupun berdepan ancaman ketenteraan.

Seorang pegawai Arab memberitahu AFP bahawa satu pertemuan peringkat tinggi dijangka berlangsung di Turkey pada 6 Februari hasil usaha pengantaraan oleh beberapa negara serantau termasuk Mesir, Qatar, Turkey dan Oman.

Media Amerika, Axios, melaporkan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dijangka bertemu dengan utusan Amerika ke Asia Barat, Encik Steve Witkoff, di Istanbul bagi membincangkan kemungkinan perjanjian baru.

Menurut beberapa pegawai serantau dan bekas diplomat yang mengetahui perancangan itu, pertemuan berkenaan bertujuan meredakan krisis yang semakin hampir mencetuskan konflik terbuka.

Ia juga bakal menjadi pertemuan bersemuka yang jarang berlaku antara pegawai kanan Iran dan Amerika pada saat kedua-dua pihak berada di ambang konfrontasi ketenteraan.

Encik Araghchi, dalam satu wawancara dengan CNN, menegaskan Iran tidak bercadang membangunkan senjata nuklear.

“Presiden Trump berkata tiada senjata nuklear, dan kami bersetuju sepenuhnya. Itu boleh menjadi asas kepada satu perjanjian yang baik,” katanya.

Namun beliau menambah bahawa sebagai balasan, Iran menjangkakan pelonggaran sekatan ekonomi yang telah lama membebankan kehidupan rakyat.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata Teheran sedang menyediakan kaedah dan kerangka rundingan yang akan dimuktamadkan dalam beberapa hari akan datang.

Menurutnya, mesej antara kedua-dua pihak kini disalurkan melalui pemain serantau bagi mengelakkan salah faham dan peningkatan ketegangan.

Turkey dilihat memainkan peranan utama dalam usaha diplomatik ini.

Encik Araghchi telah melawat Istanbul dan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Arab Saudi dan Jordan.

Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, memberi jaminan bahawa negaranya tidak akan menjadi medan pertempuran atau pangkalan pelancaran sebarang serangan terhadap Iran.

Di Teheran, reaksi rakyat terhadap kemungkinan rundingan bercampur baur. Encik Ali Hamidi, seorang pesara berusia 68 tahun, berkata beliau tidak takut kepada perang tetapi mengkritik campur tangan luar. “Amerika sepatutnya menguruskan urusan sendiri. Mengapa mahu menjadi polis dunia?” katanya kepada AFP. Namun beliau turut mengakui kelemahan kepimpinan tempatan. “Masalah ekonomi amat membebankan. Pegawai perlu bertindak, bukan sekadar bercakap,” ujarnya.

Protes besar-besaran yang tercetus sejak akhir Disember lalu berpunca daripada tekanan ekonomi dan kemarahan rakyat terhadap keadaan hidup. Pihak berkuasa Iran menyifatkan protes itu sebagai rusuhan yang dipengaruhi musuh asing, manakala Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyamakan gerakan tersebut sebagai cubaan rampasan kuasa.

Pemerintah Iran mengakui hampir 3,000 kematian dalam protes itu, namun pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Amerika Syarikat menganggarkan angka sebenar melebihi 6,800 orang, kebanyakannya penunjuk perasaan yang terbunuh oleh pasukan keselamatan. Penindasan itu mendorong Kesatuan Eropah mengisytiharkan Kor Pengawal Revolusi Islam sebagai organisasi pengganas dan mengenakan sekatan baharu ke atas pegawai Iran, langkah yang dibalas Teheran dengan tindakan diplomatik keras.

Ketegangan ini berlaku dalam konteks hubungan Amerika-Iran yang semakin meruncing sejak Encik Trump menarik Washington keluar daripada perjanjian nuklear 2015 semasa penggal pertamanya. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Encik Trump bukan sahaja menuntut Iran menghentikan program nuklear dan misil balistiknya, malah membayangkan kemungkinan perubahan rejim sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

Walaupun berdepan tekanan, Iran menegaskan program nuklearnya bertujuan menjana tenaga, bukan menghasilkan bom. Encik Araghchi menekankan bahawa diplomasi tetap menjadi pilihan utama. “Kami tidak pernah melepaskan peluang untuk mempertahankan hak rakyat Iran melalui diplomasi,” katanya dalam satu video yang dikongsi kementerian luar.

Pemerhati serantau melihat usaha pengantaraan pelbagai negara ini sebagai cerminan kebimbangan bersama terhadap risiko perang besar. Encik Ali Vaez dari Kumpulan Krisis Antarbangsa berkata penentangan negara-negara serantau terhadap serangan Amerika bukanlah sokongan kepada Iran, sebaliknya ketakutan terhadap kekacauan meluas. “Intervensi ketenteraan Amerika berpotensi mencetuskan huru-hara yang tidak terhad oleh sempadan negara,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg