Iran sahkan rundingan dengan AS akan diteruskan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran sahkan rundingan dengan AS akan diteruskan

Feb 5, 2026 | 1:32 PM

Iran sahkan rundingan dengan AS akan diteruskan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
iran, amerika syarikat, rundingan
Seorang penunggang basikal melintasi papan iklan anti-Amerika Syarikat yang dipaparkan pada sebuah bangunan di Dataran Valiasr, Tehran, pada 4 Februari. - Foto AFP

WASHINGTON: Iran mengesahkan bahawa rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat akan diteruskan seperti dijadualkan pada 6 Februari ini, meskipun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap pemimpin tertinggi Iran dengan amaran bahawa beliau “patut berasa sangat bimbang”.

Kenyataan Teheran itu meredakan spekulasi awal bahawa rundingan berkenaan berada di ambang kegagalan.

Laporan awal pada 4 Februari mencetuskan lonjakan harga minyak dan meningkatkan jangkaan tindakan ketenteraan Amerika, namun Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi menegaskan pertemuan kini dijadualkan pada 6 Februari di Muscat, Oman.

“Rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat dijadualkan berlangsung di Muscat,” kata Encik Araghchi menerusi hantaran di X, sambil mengucapkan terima kasih kepada Oman kerana “membuat segala persiapan yang diperlukan”.

Kenyataan itu mengesahkan perubahan lokasi selepas diplomat sebelum ini menyebut pertemuan mungkin berlangsung di Turkey.

Setakat ini, Washington belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai tarikh dan lokasi rundingan.

Namun, Encik Trump yang sejak kebelakangan ini memperkukuh kehadiran tentera Amerika di rantau Asia Barat dan enggan menolak kemungkinan tindakan ketenteraan baru, terus meningkatkan tekanan terhadap Teheran dan Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei.

“Saya akan katakan beliau patut berasa sangat bimbang, ya, sangat bimbang,” kata Encik Trump dalam temu bual bersama NBC News.

“Seperti yang anda tahu, mereka sedang berunding dengan kami.”

Encik Trump turut mendakwa Iran mempertimbangkan pembinaan tapak nuklear baru selepas serangan Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran ketika perang Israel–Iran pada Jun 2025.

“Mereka berfikir untuk membuka tapak baru di bahagian lain negara mereka.

“Kami mengetahuinya. Saya kata, jika kamu buat begitu, kami akan melakukan perkara yang sangat buruk kepada kamu,” kata Encik Trump.

Hubungan Teheran–Washington semakin tegang dalam beberapa minggu kebelakangan ini, khususnya selepas pihak berkuasa Iran bertindak keras terhadap gelombang protes domestik - antara yang paling besar sejak Revolusi Islam 1979.

Dalam tempoh yang sama, Encik Trump mengumumkan penghantaran kumpulan kapal pengangkut pesawat Amerika yang digelarnya sebagai ‘armada’ ke rantau itu.

Pada 3 Februari, sebuah pesawat daripada kumpulan tersebut dilaporkan menembak jatuh dron Iran.

Harapan terhadap kemajuan rundingan kembali meningkat awal minggu ini apabila muncul maklumat bahawa pegawai Iran dan Amerika akan bertemu.

Namun, ketidaktentuan berlarutan, termasuk persoalan lokasi dan skop perbincangan.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio berkata Washington bersedia untuk bertemu Iran pada minggu ini, tetapi menegaskan perbincangan mesti meliputi program peluru berpandu dan nuklear Iran.

“Jika pihak Iran mahu bertemu, kami bersedia.

“Jika mereka berubah fikiran, kami juga tidak keberatan,” katanya kepada pemberita.

Encik Rubio tidak mengesahkan pertemuan pada 6 Februari ini sambil memaklumkan bahawa utusan Amerika, Encik Steve Witkoff pada awalnya bersedia bertemu Iran di Turkey, namun menerima “laporan bercanggah” sama ada Teheran benar-benar bersetuju.

“Perkara ini masih sedang diselesaikan,” katanya, sebelum kenyataan Encik Araghchi mengenai Muscat dikeluarkan.

Iran sebelum ini menolak perbincangan mengenai peluru berpandunya dalam rundingan nuklear, dengan menegaskan senjata yang berkeupayaan mencapai Israel adalah alat pertahanan diri yang menjadi hak setiap negara.

Jurang pendirian ini kekal sebagai cabaran utama dalam usaha meraih kemajuan yang bermakna.

Tekanan antarabangsa terhadap Iran turut meningkat susulan kempen pengeboman Israel pada 2025 serta perubahan landskap serantau.

Teheran kehilangan beberapa sekutu penting apabila Israel melemahkan Hezbollah di Lebanon dan kejatuhan presiden Syria yang lama berkuasa, Bashar al-Assad.

Dalam konteks ini, rundingan yang dijadualkan di Muscat dilihat sebagai saluran penting untuk meredakan ketegangan dan mengelakkan salah perhitungan yang boleh mencetuskan konflik lebih luas.

Oman sebelum ini sering memainkan peranan sebagai pengantara senyap dalam diplomasi serantau, termasuk perbincangan sensitif antara Washington dan Teheran.

Walaupun nada ancaman masih kedengaran dari Washington, kedua-dua pihak mengekalkan pintu diplomasi terbuka.

Bagi Teheran, pengesahan tarikh dan lokasi rundingan memberi isyarat kesediaan untuk terus berunding di tengah tekanan dalaman dan luaran.

Bagi Washington, penegasan Encik Rubio bahawa Amerika “bersedia” bertemu menunjukkan keinginan untuk menguji ruang kompromi dengan syarat skop perbincangan diperluas.

Buat masa ini, tumpuan terarah kepada Muscat pada 6 Februari.

Sama ada pertemuan itu mampu menghasilkan kemajuan konkrit atau sekadar mengekalkan talian komunikasi, ia akan menjadi penentu penting bagi hala tuju hubungan Amerika-Iran dalam tempoh terdekat, ketika ketegangan serantau kekal tinggi dan risiko peningkatan terus membayangi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg