WASHINGTON/TEHERAN: Iran dan Amerika Syarikat bersetuju menghentikan sementara permusuhan terbaharu di Teluk dan menyambung semula rundingan berhubung pertikaian di Selat Hormuz, sekali gus membuka harapan baharu untuk menyelamatkan perjanjian damai interim yang semakin rapuh selepas beberapa hari serangan balas-membalas antara kedua-dua pihak.

Seorang pegawai Amerika berkata, rundingan teknikal berkaitan memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara yang dipersetujui pada 17 Jun lalu akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang.

“Rundingan teknikal dijadual diteruskan bagi semua aspek MoU. Kedua-dua pihak akan menghentikan tindakan ketenteraan buat masa ini dan kapal-kapal boleh bergerak bebas,” katanya.

Laporan Axios yang memetik pegawai kanan Amerika berkata, rundingan dijangka disambung semula di Qatar pada 30 Jun ini.

Sementara itu, seorang pegawai Amerika memberitahu Al Arabiya bahawa rundingan teknikal antara Washington dan Teheran masih berjalan mengikut jadual asal dan tidak dibatalkan walaupun ketegangan ketenteraan kembali memuncak sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Teheran memberi bayangan bahawa rundingan itu masih bergantung kepada pematuhan Amerika terhadap syarat-syarat yang terkandung dalam MoU berkenaan.

Anggota Pejabat Pemeliharaan dan Penerbitan Karya Pemimpin Tertinggi Iran, Encol Mehdi Fazaeili, berkata Iran tidak menyertai rundingan teknikal yang berlangsung pada 28 Jun susulan serangan terbaharu ke atas negara itu serta kegagalan Amerika memenuhi beberapa syarat utama perjanjian.

“Sebagai contoh, salah satu sebabnya ialah kami perlu memastikan sama ada akses kepada dana Iran yang dibekukan benar-benar diberikan. Jika tiada akses, maka syarat ini belum dipenuhi,” katanya kepada televisyen negara Iran.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, turut menegaskan Teheran menguasai sepenuhnya laluan perkapalan di Selat Hormuz bagi tempoh 30 hari akan datang.

Encik Araghchi berkata, selat itu yang merupakan laluan air penting bagi perdagangan global, akan ‘sekali lagi diletakkan sepenuhnya bawah pentadbiran Iran dalam tempoh 30 hari akan datang’.

Beliau turut mengulangi bahawa tanggungjawab menguruskan selat itu terletak sepenuhnya di tangan Iran.

Ia susulan perjanjian gencatan senjata yang rapuh dengan Amerika Syarikat dilihat seakan-akan runtuh berikutan gelombang serangan terbaru, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Perkembangan itu berlaku selepas beberapa hari konflik kembali memuncak sejak sebuah peluru berpandu Iran mengenai kapal kargo berbendera Singapura di Selat Hormuz pada 25 Jun lalu.

Insiden itu menyebabkan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar gencatan senjata interim yang dipersetujui pada 17 Jun.

Awal pagi 28 Jun Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan tentera Amerika di Kuwait dan Bahrain, hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika, Donald Trump, mengancam untuk “menghapuskan” kepimpinan Iran jika Teheran gagal mematuhi perjanjian damai itu.

“Boleh tiba satu tahap apabila kami tidak lagi mampu bertindak secara munasabah dan akan dipaksa menyelesaikan secara ketenteraan apa yang kami mulakan dengan sangat berjaya,” kata Encik Trump menerusi media sosial.

“Jika itu berlaku, Republik Islam Iran tidak akan lagi wujud,” katanya lagi.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula berkata serangan Amerika sebelum itu melanggar syarat gencatan senjata dan tindakan Washington akan menyebabkan “semua proses diplomatik dihentikan sepenuhnya”.

Menurut media kerajaan Iran, Press TV, IRGC memaklumkan bahawa operasi peluru berpandu dan dron itu menyasarkan kemudahan tentera Amerika di Kuwait dan Bahrain.

“Pangkalan tentera Amerika di rantau ini akan mengalami neraka dalam beberapa hari akan datang,” menurut kenyataan komando tentera laut IRGC.

Seorang pegawai Amerika yang mengesahkan serangan Iran itu berkata setakat ini tiada korban jiwa atau kerosakan besar dilaporkan di kemudahan tentera Amerika di Asia Barat, namun keadaan masih berkembang.

Tentera Kuwait pula memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dua peluru berpandu balistik tanpa sebarang kerosakan atau kecederaan.

Di Bahrain, siren kecemasan dibunyikan dua kali selepas pihak berkuasa mendakwa satu serangan Iran merosakkan sebuah bangunan kediaman di wilayah Muharraq, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bahrain turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan bagi memastikan Iran dipertanggungjawabkan.

Secara berasingan, Qatar memaklumkan seorang rakyatnya meninggal dunia selepas cedera terkena serpihan letupan di atas sebuah kapal yang dilaporkan hilang pada 27 Jun.

Kementerian Dalam Negeri Qatar berkata seorang lagi mangsa cedera dalam insiden yang dipercayai berpunca daripada “operasi ketenteraan di kawasan berkenaan”, namun tidak menyatakan lokasi sebenar atau pihak yang bertanggungjawab.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel berkata tenteranya sekali lagi menyerang kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di selatan Lebanon pada 28 Jun.

Menurut tentera Israel, serangan itu memusnahkan prasarana bawah tanah yang digunakan kumpulan berkenaan di sebuah kampung di selatan Lebanon.

Serangan itu berlaku hanya sehari selepas Israel melancarkan satu lagi operasi ketenteraan, walaupun kedua-dua pihak baru mencapai gencatan senjata baharu pada 26 Jun bagi meredakan konflik di sempadan Lebanon.

Iran sebelum ini menegaskan bahawa ketegangan di Lebanon mesti dihentikan jika perjanjian damai lebih besar antara Tehran dan Washington mahu dikekalkan.

Perjanjian damai interim 14 perkara itu bertujuan menghentikan peperangan yang tercetus sejak 28 Februari lalu, selain membuka semula Selat Hormuz kepada laluan perdagangan global.

Selat Hormuz dianggap laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia dan menjadi saluran utama eksport minyak dari Asia Barat ke pasaran antarabangsa.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak juga bersetuju meneruskan rundingan mengenai program nuklear Iran dan beberapa isu keselamatan serantau lain.

Sebelum ini satu pusingan rundingan yang diantara Switzerland melibatkan Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance dan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, berjaya menghasilkan beberapa kemajuan termasuk langkah Washington melonggarkan sebahagian sekatan terhadap Teheran.

Namun, siri serangan baharu sejak beberapa hari lalu memperlihatkan betapa rapuhnya perjanjian damai tersebut dan bagaimana konflik kecil di Selat Hormuz boleh kembali mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau Asia Barat. - Agensi berita