Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran berdepan krisis air: Presiden Pezeshkian beri amaran empangan kering menjelang September

Jul 31, 2025 | 7:12 PM
Gambar yang diambil pada 1 Jun 2025 ini menunjukkan Empangan Amir Kabir dan aliran airnya di sepanjang Sungai Karaj di kawasan pergunungan Alborz utara Iran. Gelombang haba teruk yang sedang melanda Iran telah mengganggu bekalan air dan elektrik di banyak kawasan di seluruh negara, dengan paras takungan air dilaporkan jatuh ke tahap paling rendah dalam tempoh satu abad, menurut media rasmi pada 22 Julai. Gabenor wilayah Tehran berkata empangan kini hanya terisi sebanyak 14 peratus, sambil menambah bahawa ibu negara itu sedang melalui tahun kelima berturut-turut kemarau.
Gambar yang diambil pada 1 Jun 2025 ini menunjukkan Empangan Amir Kabir dan aliran airnya di sepanjang Sungai Karaj di kawasan pergunungan Alborz utara Iran. Gelombang haba teruk yang sedang melanda Iran telah mengganggu bekalan air dan elektrik di banyak kawasan di seluruh negara, dengan paras takungan air dilaporkan jatuh ke tahap paling rendah dalam tempoh satu abad, menurut media rasmi pada 22 Julai. Gabenor wilayah Tehran berkata empangan kini hanya terisi sebanyak 14 peratus, sambil menambah bahawa ibu negara itu sedang melalui tahun kelima berturut-turut kemarau. - Foto AFP

DUBAI: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian memberi amaran bahawa penggunaan air secara berlebihan di negara itu adalah tidak mampan dan boleh menyebabkan Tehran berdepan krisis kekurangan air yang serius menjelang September, menurut laporan agensi berita separa rasmi Tasnim pada 31 Julai.

Iran berdepan masalah pengurusan sumber dan penggunaan berlebihan, menyebabkan negara itu sering mengalami gangguan bekalan elektrik, gas dan air semasa bulan permintaan tinggi.

“Di Tehran, jika kita gagal mengurus dan rakyat tidak bekerjasama mengawal penggunaan, empangan tidak akan mempunyai air menjelang September atau Oktober,” kata Encik Pezeshkian.

Negara itu telah dilanda kemarau selama lima tahun, menurut Ketua Organisasi Perlindungan Alam Sekitar, Cik Sheena Ansari. Organisasi Meteorologi Iran turut merekodkan penurunan hujan sebanyak 40 peratus dalam tempoh empat bulan lalu berbanding purata jangka panjang.

“Kegagalan mengambil kira pembangunan lestari telah menyebabkan kita kini berdepan pelbagai masalah alam sekitar seperti tekanan air,” kata Cik Ansari kepada media pemerintah pada 31 julai.

Penggunaan air yang berlebihan menjadi cabaran utama dalam pengurusan air di Iran, dengan Ketua Syarikat Air dan Pembetungan Wilayah Tehran, Encik Mohsen Ardakani memberitahu agensi berita Mehr bahawa 70 peratus penduduk Tehran menggunakan lebih daripada had standard iaitu 130 liter sehari.

Pengurusan sumber semula jadi kekal sebagai cabaran kronik bagi pihak berkuasa, sama ada dalam penggunaan gas asli mahupun air, kerana penyelesaiannya memerlukan pembaharuan besar, terutamanya dalam sektor pertanian yang mewakili sehingga 80 peratus daripada penggunaan air.

Pada 30 Julai, Encik Pezeshkian menolak cadangan pemerintah untuk menjadikan hari Rabu sebagai cuti mingguan atau memperkenalkan cuti seminggu pada musim panas, dengan berkata bahawa “menutup operasi adalah alasan dan bukan penyelesaian kepada masalah kekurangan air”.

Pada musim panas 2021, tunjuk perasaan telah berlaku di barat daya Iran berikutan kekurangan air. – REUTERS


Ask ChatGPT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg