TEHRAN: Iran kini dilanda gelombang letupan dan kebakaran misteri yang berlaku hampir setiap hari sejak dua minggu lalu, termasuk di kompleks kediaman, kilang kasut, lebuh raya berhampiran lapangan terbang utama serta loji penapisan minyak di Abadan.
Walaupun pihak berkuasa secara terbuka menafikan unsur sabotaj, beberapa pegawai kanan pemerintah secara tertutup menyatakan kebimbangan bahawa negara itu sedang menjadi sasaran kempen terancang berkemungkinan melibatkan Israel.
Kebanyakan insiden ini berlaku selepas perang selama 12 hari antara Iran dan Israel (13 Jun hingga 24 Jun), di mana tentera udara Israel didakwa berjaya menembusi ruang udara Iran. Kejadian-kejadian ini mengakibatkan keresahan awam yang meluas, dengan ramai rakyat Iran bimbang bahawa konflik mungkin belum benar-benar berakhir, lapor The New York Times pada 23 Julai.
“Ramai antara kami percaya ini kerja Israel dan perang akan bermula semula,” kata Encik Mohammed, pengusaha kafe dan galeri seni di Kashan. “Saya rasa takut dan paranoid, lebih-lebih lagi kerana Kashan berdekatan tapak nuklear dan pangkalan peluru berpandu.”
Tiga pegawai Iran, termasuk seorang anggota Pasukan Pengawal Revolusi Islam, memberitahu bahawa mereka mengesyaki letupan dan kebakaran ini adalah tindakan sabotaj, walaupun tiada bukti langsung dikemukakan. Mereka merujuk kepada sejarah operasi rahsia Israel di Iran, termasuk pembunuhan saintis nuklear dan serangan dron.
Seorang pegawai perisikan dari Eropah turut berkongsi pandangan sama, dengan menyifatkan siri serangan ini sebagai sebahagian daripada “perang psikologi” Israel. Israel tidak memberikan sebarang komen rasmi, namun Ketua Mossad pada Jun lalu dalam satu ucapan awam yang jarang dibuat berkata, “Kami akan terus berada di sana, seperti yang telah kami lakukan selama ini.”
Secara rasmi, pemerintah Iran menyalahkan kebanyakan letupan kepada kebocoran gas, kebakaran sampah dan peralatan lama. Ketua Jabatan Bomba Tehran, Encik Ghodratollah Mohammadi, berkata pada 23 Julai bahawa tiada bukti menunjukkan unsur sabotaj.
“Di bawah keadaan biasa, kami mengendalikan sekitar 350 insiden kecemasan dan keselamatan setiap hari di Tehran, termasuk 150 kebakaran. Ini bukan angka luar biasa,” katanya kepada media rasmi.
Namun, rakyat Iran mempersoalkan kenapa kadar letupan gas meningkat secara mendadak tahun ini antara satu hingga dua kejadian setiap hari berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Di Qom, letupan kuat di sebuah pangsapuri memusnahkan unit tingkat bawah, menyebabkan tujuh cedera dan serpihan berselerak di seluruh blok. Menurut dua pegawai Iran, unit itu dipercayai disewa oleh individu yang keluar meninggalkan dapur terbuka seolah-olah bertujuan mencetuskan letupan.
Satu lagi kejadian serupa berlaku di kompleks pangsapuri pekerja kehakiman di Tehran. Letupan itu memusnahkan dinding dan tingkap bangunan. Tiga pegawai Iran percaya ia bertujuan menakut-nakutkan pendakwa dan hakim strategi yang sama digunakan dalam serangan terhadap saintis nuklear sebelum ini.
Iran dilaporkan enggan mengisytiharkan tuduhan terbuka terhadap Israel kerana bimbang akan memaksa negara itu bertindak balas secara ketenteraan. Ketika ini, keupayaan ketenteraan Iran masih belum pulih sepenuhnya selepas konflik terdahulu, termasuk kerosakan pada pelancar peluru berpandu dan fasiliti nuklear.
“Jika ada yang fikir kita sedang berhadapan dengan peristiwa linear yang boleh diramalkan, mereka naif,” kata Encik Mahdi Mohammadi, penasihat kanan Speaker Parlimen Iran. “Kita tidak berada dalam gencatan senjata. Kita berada dalam satu keadaan rapuh yang bila-bila masa sahaja boleh berakhir dan perang bermula semula.”
Sementara itu, orang awam menggunakan humor gelap untuk menangani kebimbangan. Di media sosial, gambar Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu disunting memakai pakaian syarikat gas Iran, dan akaun “Mossad dalam Bahasa Farsi” menulis secara sinis, “Letupan demi letupan. Seseorang perlu periksa apa yang sedang berlaku di sana.”
Kematian Brigedier Jeneral Gholamhossein Gheybparvar pada 16 Julai juga mencetuskan tanda tanya. Pegawai kanan Pengawal Revolusi itu sebelum ini mengetuai operasi menindas tunjuk perasaan wanita pada 2021. Media Iran International melaporkan beliau meninggal akibat komplikasi daripada kecederaan kimia dalam Perang Iran-Iraq, yang dikatakan bertambah buruk akibat tekanan perang terbaru dengan Israel.
“Rekod pemerintah Iran yang panjang dalam menyembunyikan maklumat dan tindak balas samar hanya menambah kebimbangan awam,” kata Encik Omid Memarian, pakar Iran di institusi penyelidikan dasar luar DAWN yang berpangkalan di Washington. “Rakyat tahu rejim sering menafikan serangan Israel.”
Syarikat gas negara Iran cuba menenangkan rakyat dengan mengeluarkan data yang menunjukkan tiada peningkatan besar letupan berbanding tahun lalu. Menurut statistik, Tehran mencatatkan 24 letupan gas pada 2023, meningkat kepada 34 pada 2024, manakala setakat ini tujuh kes dilaporkan tahun ini semuanya berjaya dikawal oleh bomba.
Namun begitu, ketiadaan penjelasan yang kukuh serta suasana ketidakpastian menyebabkan ramai rakyat Iran merasakan mereka masih berada dalam kancah peperangan yang belum selesai. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg