Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Iran tegaskan sedia hadapi serangan Israel, pertahan program nuklear aman

Jul 24, 2025 | 3:50 PM
(GAMBAR FAIL) Foto edaran ini disediakan oleh pejabat media Presiden Iran yang menunjukkan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, ketika menyampaikan ucapan tahunan kepada rakyat sempena sambutan Nowruz, Tahun Baru Parsi, di Tehran pada 20 Mac 2025. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dalam satu wawancara yang disiarkan pada 23 Julai dengan Al Jazeera menyatakan bahawa Israel  yang terlibat dalam perang 12 hari dengan Iran Jun lalu telah cuba melakukan cubaan pembunuhan terhadapnya.
(GAMBAR FAIL) Foto edaran ini disediakan oleh pejabat media Presiden Iran yang menunjukkan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, ketika menyampaikan ucapan tahunan kepada rakyat sempena sambutan Nowruz, Tahun Baru Parsi, di Tehran pada 20 Mac 2025. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dalam satu wawancara yang disiarkan pada 23 Julai dengan Al Jazeera menyatakan bahawa Israel yang terlibat dalam perang 12 hari dengan Iran Jun lalu telah cuba melakukan cubaan pembunuhan terhadapnya. - Foto AFP

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menegaskan bahawa negaranya bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan serangan baru dari Israel.

Dalam wawancara eksklusif bersama Al Jazeera yang disiarkan pada 23 Julai, beliau menyatakan bahawa Iran tidak menaruh keyakinan terhadap gencatan senjata yang kini berkuat kuasa antara kedua-dua negara dan berikrar untuk meneruskan program nuklear negara itu bagi tujuan damai.

“Kami benar-benar bersedia untuk sebarang tindakan ketenteraan baharu daripada Israel, dan angkatan bersenjata kami juga siap untuk menyerang jauh ke dalam wilayah Israel sekali lagi,” ujar Encik Pezeshkian.

Gencatan senjata yang menamatkan konflik 12 hari antara Iran dan Israel pada 24 Jun lalu, menurut beliau, tidak menjamin keselamatan. “Kami tidak begitu optimis terhadap gencatan ini. Sebab itulah kami bersiap untuk sebarang senario dan tindak balas yang mungkin berlaku,” katanya lagi.

Dalam konflik tersebut, lebih 900 orang di Iran maut majoritinya orang awam manakala sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh di Israel. Encik Pezeshkian menyatakan bahawa walaupun Israel melancarkan serangan yang menyebabkan kematian pegawai tertinggi tentera dan saintis nuklear Iran serta kerosakan ke atas beberapa fasiliti nuklear, usaha mereka untuk “menghapuskan” struktur kepimpinan Iran tidak berjaya.

“Mereka mahu lumpuhkan barisan kepimpinan kami, tetapi mereka gagal sepenuhnya,” tegas beliau.

Presiden Pezeshkian turut mengesahkan bahawa Iran akan meneruskan program pengayaan uranium mengikut kerangka undang-undang antarabangsa. “Kami tidak menyokong senjata nuklear dan pendirian ini berasaskan prinsip politik, agama, kemanusiaan dan strategi nasional kami,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang mendakwa program nuklear Iran telah berakhir, Encik Pezeshkian menolaknya sebagai satu ilusi. “Keupayaan nuklear kami tidak hanya berada di fasiliti, tetapi dalam pemikiran saintis kami,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa Iran bersedia untuk rundingan diplomatik berasaskan prinsip menang-menang. “Kami percaya kepada diplomasi, dan sebarang rundingan masa depan mesti berdasarkan prinsip saling menghormati. Kami tidak akan tunduk kepada ugutan atau tekanan,” ujar Encik Pezeshkian.

Dalam wawancara itu juga, Encik Pezeshkian mengesahkan berlaku percubaan pembunuhan terhadap dirinya dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran pada 15 Jun lalu.

Menurutnya, serangan itu adalah sebahagian daripada strategi Israel untuk menggugat kestabilan politik Iran susulan pembunuhan tokoh tentera kanan negara itu. “Tujuannya adalah untuk mencetuskan kekacauan dan menjatuhkan kerajaan kami, tetapi mereka gagal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa serangan balas Iran ke atas Pangkalan Al Udeid milik Amerika di Qatar bukanlah satu tindakan permusuhan terhadap negara itu. “Kami tidak pernah berniat memusuhi Qatar. Saya sendiri telah menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani pada hari serangan untuk menjelaskan perkara sebenar,” katanya.

“Saya nyatakan dengan jelas dan jujur bahawa kami tidak menyerang negara Qatar. Sasaran kami ialah pangkalan Amerika yang telah membedil negara kami,” tambah beliau.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, turut mengesahkan bahawa rundingan berhubung isu nuklear akan disambung semula bersama Perancis, Jerman dan United Kingdom di Turkey pada 25 Julai. Ketiga-tiga negara Eropah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan nuklear asal yang ditandatangani Iran pada 2015, sebelum Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018.

“Kami tidak pernah menghentikan kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” kata Encik Araghchi, sambil menambah bahawa sebarang permintaan untuk menghantar semula pemeriksa ke Iran akan dipertimbangkan secara teliti.

Menurut beliau, Pertubuhan Tenaga Atom Iran masih menilai kesan serangan ke atas bahan uranium yang diperkaya dan akan memaklumkan penemuan mereka kepada IAEA dalam masa terdekat.

Negara-negara Eropah telah memberi amaran bahawa kegagalan Iran untuk menyambung rundingan akan membawa kepada pengembalian semula sekatan antarabangsa ke atas Tehran. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg