Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran bergelut hadapi tekanan ekon akibat sekatan baru PBB

Sep 29, 2025 | 12:52 PM
teheran
Seorang wanita Iran berjalan melintasi papan iklan yang memaparkan gambar pemimpin Hezbollah Lebanon yang terbunuh, Hassan Nasrallah, di Teheran pada 28 September. - Foto AFP

TEHERAN: Ekonomi Iran yang sudah lama terhimpit kini dijangka merosot lebih parah selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 28 September mengembalikan sekatan keras berkaitan program nuklear negara itu.

Langkah itu dibuat selepas rundingan diplomatik maraton di luar sidang Perhimpunan Agung PBB gagal mencapai kata sepakat.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, mengesahkan sekatan tersebut mula berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini menghantar mesej yang jelas dunia tidak akan tunduk kepada ancaman dan langkah separuh jalan. Teheran akan dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan.

Sekatan baru itu lebih meluas daripada sekatan Amerika sedia ada.

Ia membekukan aset, melarang perjalanan pemimpin dan syarikat Iran, serta memberi kuasa kepada negara anggota PBB untuk menahan dan memeriksa kargo dari Iran, termasuk kapal minyak.

Ia juga mengharamkan pengayaan uranium pada sebarang tahap, pelancaran peluru berpandu berkeupayaan nuklear, pemindahan teknologi misil, serta mengembalikan embargo senjata.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, mengecam tindakan tersebut.

“Mereka mahu menjatuhkan kami. Jika anda berada di tempat kami, apa yang anda akan lakukan?” katanya dalam sidang media di New York.

Iran memanggil pulang dutanya dari Britain, Perancis dan Jerman sebagai protes.

Encik Pezeshkian berkata keputusan balas akan dibincangkan sebaik beliau kembali ke Teheran.

Namun beliau menolak desakan kelompok garis keras yang mahu Iran keluar daripada Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT).

“Itu bukan pilihan,” tegasnya.

Speaker Parlimen, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, pula menegaskan Iran masih mempunyai hak memperkaya uranium untuk tujuan aman.

“Kami beroperasi mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sekatan ini tiba ketika Iran bergelut dengan krisis tenaga dan air yang menyebabkan gangguan bekalan di banyak bandar, defisit bajet besar dan inflasi melebihi 40 peratus.

Mata wang rial jatuh 4 peratus berbanding dolar di pasaran gelap selepas pengumuman sekatan, menambah keresahan rakyat.

“Tekanan paling besar akan dirasai oleh perusahaan kecil dan sederhana yang menyumbang separuh pekerjaan industri,” kata Encik Mehdi Bostanchi, Pengerusi Majlis Industri Iran, dalam wawancara dari Teheran.

Beliau menjangka lebih banyak halangan dalam mendapatkan barangan luar negara serta sekatan ke atas insurans, perbankan dan penghantaran.

Seorang penganalisis kanan Iran di International Crisis Group, Encik Naysan Rafati, berkata: “Sekatan PBB menambah beban yang sudah pun berat. Ekonomi Iran berada pada tahap paling rapuh dalam dekad ini.”

Bagi rakyat biasa, berita itu memburukkan lagi suasana yang sedia suram. “Kami sudah lama susah dengan harga barang naik dan gaji tak cukup. Sekatan baharu bermakna hidup kami semakin payah,” kata seorang peniaga kecil di Tehran yang enggan namanya disiarkan.

Pertikaian ini berpunca daripada tuduhan Eropah bahawa Iran melanggar Perjanjian Nuklear 2015 dengan memperkaya uranium sehingga 60 peratus jauh melebihi had 3.5 peratus dan menyimpan 400 kilogram uranium yang boleh digunakan untuk menghasilkan bom nuklear.

Teheran juga menutup pintu kepada pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) selepas serangan udara Israel dan Amerika ke atas tiga tapak nuklear Iran pada Jun lalu.

Iran menafikan cuba membina senjata nuklear dan menyalahkan Barat kerana memungkiri janji perdagangan selepas Amerika menarik diri secara unilateral daripada perjanjian pada 2018 di bawah Presiden Donald Trump.

“Cuba hidupkan semula ketetapan yang sudah berakhir adalah penyalahgunaan proses dan tidak bermoral,” tegas Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB.

Encik Pezeshkian berkata Iran telah bersetuju dengan akses pemeriksa dan membuka ruang rundingan semula, namun mendakwa Amerika mengenakan syarat tidak munasabah termasuk memusnahkan stok 400 kilogram uranium sebagai pertukaran penangguhan sekatan selama tiga bulan.

“Itu bukan tawaran yang boleh diterima,” katanya.

Russia dan China sekutu rapat Teheran cuba menangguhkan sekatan selama enam bulan, namun usul itu ditolak dengan sembilan undi menentang termasuk Britain, Perancis dan Amerika.

Kedua-dua negara itu sudah menyatakan mereka tidak mengiktiraf mekanisme “snapback” yang digunakan Eropah dan berkemungkinan terus berdagang dengan Iran untuk melembutkan kesan sekatan.

Russia kekal pembeli utama dron Iran yang digunakan dalam perang Ukraine, manakala China masih menjadi pelanggan terbesar minyak Iran, membantu mengekalkan ekonomi negara itu.


Walaupun sesetengah tokoh konservatif menyifatkan kesan sekatan baru tidak seteruk digembar-gemburkan, ramai pakar memberi amaran tentang risiko lebih dalam terhadap rakyat biasa.

“Satu-satunya jalan ialah menguatkan negara sehingga musuh tidak berani memaksa kami tunduk,” kata Mahdi Mohammadi, penasihat kanan Parlimen di media sosial.

Namun di jalanan Teheran, kebimbangan jelas terasa.

Ramai rakyat takut konflik baru dengan Israel dan Amerika akan tercetus.

“Kami sudah penat dengan ketidakpastian,” kata seorang lepasan sekolah muda yang mencari kerja tetapi berdepan pasaran yang suram. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg