Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Israel-AS cipta gelombang nasionalisme baru di Iran

Satukan rakyat bawah panji negara, bukan sekadar agama
Aug 4, 2025 | 5:30 AM
Gambar yang dirakam pada 16 Julai 2025 di Dataran Vanak, Teheran menunjukkan papan iklan baru yang memaparkan imej wira mitos Parsi, Arash si Pemanah, bersama petikan puisi dalam bahasa Farsi yang berbunyi: “Demi Iran, kuletakkan jiwaku di busur... Anak panah Arash menembus langit.” Komposisi puisi moden itu diilhamkan daripada kisah legenda Arash, tokoh mitos dalam sastera Parsi yang melambangkan pengorbanan diri dan semangat nasionalisme Iran.
Gambar yang dirakam pada 16 Julai 2025 di Dataran Vanak, Teheran menunjukkan papan iklan baru yang memaparkan imej wira mitos Parsi, Arash si Pemanah, bersama petikan puisi dalam bahasa Farsi yang berbunyi: “Demi Iran, kuletakkan jiwaku di busur... Anak panah Arash menembus langit.” Komposisi puisi moden itu diilhamkan daripada kisah legenda Arash, tokoh mitos dalam sastera Parsi yang melambangkan pengorbanan diri dan semangat nasionalisme Iran. - Foto AFP

TEHERAN: Selepas serangan udara bertubi-tubi oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear dan kawasan awam Iran pada Jun 2025, pemimpin Republik Islam Iran dilihat mengubah arah strategi luar jangka identiti mereka – menggantikan pan-Islam dengan retorik nasionalisme.

Jika selama ini Iran menonjolkan diri sebagai benteng ummah Islam sejagat, kini pendekatan tersebut sedang digantikan dengan satu bentuk nasionalisme yang berakar daripada sejarah, simbol prarevolusi, dan retorik patriotik.

Tujuannya jelas iaitu demi menyatukan rakyat di bawah panji negara, bukan sekadar agama.

Iran mula menggabungkan lambang agama dan identiti kebangsaan untuk mencipta penceritaan baru bahawa negara mereka kini berada dalam fasa “pertahanan tanah air” dan bukannya sekadar mempertahankan ideologi revolusi Islam.

Perubahan ketara mula dirasai semasa sambutan Asyura pada awal Julai.

Dalam satu acara rasmi di Teheran, pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, dilihat berbisik kepada seorang penyanyi madah, dan secara terbuka menyokong lagu patriotik, Ey Iran, Iran – satu lagu kebangsaan yang sebelum itu dianggap tabu dalam acara keagamaan.

Lirik seperti, ‘Dalam jiwa dan ragaku, kau tetap, wahai tanah air’, dilaung dan dinyanyikan beramai-ramai dalam majlis keagamaan, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Iran pasca-revolusi.

Ia menggambarkan bagaimana nasionalisme kini mula menyerap masuk ke dalam ritual Syiah yang selama ini bersifat kerohanian.

Lagu tersebut, yang berasal dari era sekular sebelum revolusi 1979, sebelum itu dianggap lambang warisan mantan Shah di Iran iaitu Mohammad Reza Pahlavi, dan sering dijauhi oleh kepimpinan teokratik.

“Masa dulu, saya hanya dengar lagu itu dinyanyikan secara sembunyi-sembunyi,” kata Encik Shahrzad, seorang pelajar universiti di Teheran.

“Sekarang, ia dinyanyikan di depan pemimpin agung. Tapi itu bukan nasionalisme lahir daripada rakyat tetapi semangat kebangsaan yang direkayasa.”

Perubahan penceritaan itu bukan sekadar soal lagu.

Di bandar purba Shiraz, papan iklan besar memaparkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, tunduk di hadapan patung Raja Shapur I, dari abad ketiga Masihi, lambang kekalahan musuh luar dari keruntuhan kota kuno Persepolis kepada sejarah kebesaran empayar Parsi.

Di Dataran Vanak, Teheran pula, watak mitos Arash the Archer pahlawan legenda yang dikatakan membentuk sempadan Iran digunakan sebagai lambang kekuatan pertahanan – pahlawan legenda yang membentuk sempadan Iran kini digambarkan memanah bersama peluru berpandu moden.

Iran tidak sekadar memanfaatkan lagu dan simbol sejarah sebagai medium pembakar semangat, bahkan menggunakan kemarahan rakyat pasca serangan sebagai ruang menyusun dan mendapatkan semula sokongan dan kesetiaan pada negara.

Serangan udara telah membunuh ratusan orang awam, memusnahkan prasarana dan melemahkan program nuklear Iran.

Namun, pemerintah melihat potensi besar dalam kebangkitan sentimen nasional.

Pekerja di Teheran, Cik Lida, berkata:

“Orang ramai tidak mahu perubahan dalaman digerakkan oleh kuasa luar.

“Memang benar, program nuklear bukan impian saya. Tapi ia tetap sebahagian daripada tanah air saya. Apabila negara lain masuk dan melanggar wilayah saya, maruah saya tercabar.”

Pakar undang-undang dari Universiti Teheran, Profesor Mohsen Borhani, menambah:

“Kita sedang menyaksikan kelahiran satu bentuk identiti baru gabungan identiti Syiah dan kebangsaan Iran.

“Dan ini bukan berlaku secara kebetulan, ia kesan langsung daripada serangan Israel dan Amerika Syarikat.”

Transformasi ini bertentangan dengan dasar awal Republik Islam dan peralihan itu turut menandakan detik bersejarah daripada sudut ideologi Ayatollah Ruhollah Khomeini, pengasas revolusi 1979.

Beliau pernah dengan tegas mengecam nasionalisme sebagai racun imperialisme Barat dan ancaman kepada perpaduan ummah Islam.

Pandangan itu menjadi dasar utama Republik Islam selama lebih empat dekad.

“Kita tidak perlukan nasionalis. Kita perlukan Muslim,” katanya suatu ketika dahulu.

Atas dasar itu, simbol pra-Islam seperti Persepolis dan tokoh Parsi purba dikeluarkan daripada buku teks dan sejarah rasmi.

Namun kini, realiti politik memaksa pengubahsuaian identiti.

Pemimpin Iran tidak lagi hanya bercakap tentang “ummah” sebaliknya mereka menyebut “tanah air”, “bangsa” dan “sejarah kita”.

Namun kini, pemimpin sama yang dahulunya menolak simbol pra-Islam sedang mengangkatnya semula mencampuradukkan simbol keagamaan seperti Karbala dan Ashura dengan seruan mempertahankan tanah air.

Pengarah Institut Kajian Iran di Universiti St. Andrews, Encik Ali Ansari, berkata:

“Ini bukan sekadar penyesuaian politik, ini adalah pembentukan semula identiti negara.

“Kepimpinan revolusioner kini sedar apabila keadaan menjadi genting, mereka terpaksa menyentuh emosi nasionalisme untuk menyatukan rakyat. Dan perang ini memberi mereka ruang melakukannya secara besar-besaran.”

Namun, penceritaan itu bukan tanpa batas.

Iran adalah negara berbilang kaum termasuk Kurdi, Baluchi, Arab, Azeri dan lain-lain yang selama ini terpinggir daripada wacana kebangsaan arus perdana.

Jika nasionalisme baru itu hanya berpusat pada identiti majoriti dan tidak menampung kepelbagaian etnik, ia berisiko memperdalam jurang perpecahan.

“Nasionalisme tanpa keadilan dan penyertaan bukan penyatu. Ia pemecah,” tegas Encik Ansari.

Menurutnya, Encik Ansari, kesatuan yang dibina atas reaksi terhadap musuh luar tidak akan kekal jika tidak disusuli pembaharuan dalaman.

Iran pernah menggunakan strategi serupa ketika Perang Iran-Iraq pada 1980-an.

Ketika itu, pemerintah menggabungkan semangat pengorbanan Syiah dengan nasionalisme untuk menyatukan rakyat.

Namun kali ini, konteksnya berbeza. Rakyat Iran hari ini, terutama generasi muda, hidup dalam realiti ekonomi yang rapuh, akses internet yang terhad dan ruang politik yang sempit.

“Rejim melihat serangan luar sebagai peluang menyatukan musuh dalaman dan luaran ke dalam satu naratif ancaman. Ini strategi klasik,” kata penganalisis politik tempatan yang enggan dinamakan demi keselamatan.

Namun reaksi rakyat bercampur-campur. Ada yang melihat perubahan itu sebagai cubaan terakhir rejim untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pentadbiran.

Cik Lida, menyuarakan perasaannya kepada, The New York Times, dalam satu mesej suara:

“Saya bukan penyokong program nuklear, tapi apabila negara luar masuk dan serang tanah air saya, saya rasa maruah saya diinjak. Saya tak mahu perubahan yang datang daripada tekanan kuasa asing.”

“Apabila debu konflik ini reda, rakyat akan kembali bertanya mana air, mana elektrik, mana pekerjaan?” ujar Encik Ansari.

“Semangat patriotik boleh menyatukan sementara, tapi ia tidak menggantikan keperluan untuk pembaharuan ekonomi dan sosial.”

Sentimen itu mencerminkan dilema ramai rakyat Iran, mereka tidak semestinya menyokong pemerintah tetapi mereka juga menolak campur tangan luar.

Dalam masa yang sama, pemerintah Iran melancarkan tindakan keras terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai ‘infiltrator’ atau penyusup dan ‘pengintip.

Namun menurut kumpulan hak asasi, tindakan itu turut menyasar aktivis politik, etnik minoriti dan penentang awam.

Sekatan Internet diperketat dan ruang awam diperhatikan dengan lebih agresif.

Keluarga Tooraj Negahban, penulis lirik lagu Ey Iran, memuat naik kenyataan di Instagram, menyelar penggunaannya oleh pemerintah.

“Selama bertahun-tahun kamu menutup suara kami. Sekarang, apabila kamu sudah kehabisan cogan kata, kamu nyanyikan lagu yang dahulu kamu kutuk,” katanya.

Buat masa ini, Iran menemui penceritaan yang mengikat iaitu sebuah negara yang kononnya diserang kerana kekuatannya, dan kini bangkit dengan semangat sejarah dan keimanan.

Dalam suasana penuh tekanan, Iran kini tampil sebagai sebuah negara yang cuba membalut luka dengan panji sejarah dan lagu-lagu lama sama ada suci atau patriotik. – Agensi berita.

Iran tidak sekadar memanfaatkan lagu dan simbol sejarah sebagai medium pembakar semangat, bahkan menggunakan kemarahan rakyat pasca serangan sebagai ruang menyusun dan mendapatkan semula sokongan dan kesetiaan pada negara.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg