TEHERAN: Seorang pegawai kanan Iran memberi amaran pada 18 Ogos bahawa perang dengan Israel boleh meletus pada bila-bila masa, dan menyifatkan keadaan reda selepas konflik 12 hari pada Jun hanya bersifat sementara.
“Kami mesti bersedia pada setiap masa untuk konfrontasi. Sekarang kami tidak berada dalam perjanjian gencatan senjata dan kami berada dalam berhentinya pertempuran,” kata Naib Presiden Pertama Iran, Encik Mohammad Reza Aref.
Pertempuran pada Jun menyaksikan Israel mengebom tapak nuklear dan tentera Iran, serta kawasan kediaman, membunuh lebih 1,000 orang, termasuk komander kanan dan saintis nuklear.
Iran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron yang membunuh berpuluh-puluh orang di Israel.
Amerika Syarikat mengumumkan pemberhentian pertempuran pada 24 Jun, dua hari selepas ia menyertai perang dengan mengebom kemudahan nuklear Iran.
Tetapi tidak ada perjanjian yang merasmikan gencatan senjata, hanya pemberhentian yang tidak diisytiharkan dalam permusuhan.
Penasihat Tentera kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, Encik Yahya Rahim Safavi, memberitahu media Iran pada 17 Ogos bahawa negara itu “menyiapkan rancangan bagi senario terburuk”.
“Kami tidak dalam gencatan senjata sekarang, kami berada dalam fasa perang; ia boleh meletus semula bila-bila masa, tidak ada protokol, tiada peraturan, tiada perjanjian antara kami dengan Israel, antara kami dengan Amerika,” katanya dalam satu kenyataan.
“Gencatan senjata bermakna menghentikan serangan; itu boleh berubah pada bila-bila masa,” tambahnya.
Sejak itu, pegawai Iran menegaskan negaranya tidak mahukan peperangan tetapi bersedia untuk konfrontasi lain. Namun, beliau tidak menjelaskan lanjut.
Kuasa Barat menuduh Iran membangunkan senjata nuklear melalui program atomnya, tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Teheran.
Selepas perang, Israel dan Amerika berulang kali mengancam untuk menyerang Iran sekali lagi jika Teheran melancarkan semula tapak nuklearnya dan menyambung semula program pengayaan nuklear.
Badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa Iran adalah satu-satunya negara bukan bersenjata nuklear yang memperkayakan uranium kepada 60 peratus – jauh melebihi had 3.67 peratus yang ditetapkan oleh perjanjian antarabangsa yang dicapai pada 2015.
Paras seumpama itu tidak jauh daripada 90 peratus tahap pengayaan yang diperlukan untuk membuat senjata nuklear.
Minggu lalu, Britain, Perancis dan Jerman – kesemuanya menandatangani perjanjian 2015 – mengancam untuk mengenakan semula sekatan yang ditarik balik di bawah perjanjian antarabangsa itu.
Iran telah memberi amaran tentang akibat serius, dengan beberapa pegawai negara itu membayangkan penarikan diri Teheran daripada perjanjian yang bertujuan mencegah pembangunan pesat nuklear. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg