TEHERAN: Iran kini berada di saat genting terhimpit antara tekanan dalaman untuk melakukan reformasi, kebangkitan rasa tidak puas hati rakyat dengan ancaman serangan asing yang semakin nyata selepas perang 12 hari dengan Israel dan Amerika Syarikat pada Jun.
Kedudukan itu meletakkan negara dengan lebih 87 juta penduduk itu dalam dilema besar: Memilih laluan reformasi politik yang tidak pasti atau mengekalkan penindasan yang telah lama menjadi tonggak kekuasaan rejim.
Segala kemelut itu berakar daripada letusan kemarahan rakyat pada pertengahan September 2022, apabila kematian Cik Mahsa ‘Jina’ Amini, 22 tahun, dalam tahanan polis moral mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh Iran.
Tidak seperti bantahan pada 2009, 2017, dan 2019 yang menuntut pembaharuan dalam kerangka sistem sedia ada, bantahan 2022 dengan jelas menyuarakan keinginan untuk menumbangkan Republik Islam.
“Kematian Mahsa Amini menimbulkan kemarahan yang lama terpendam – hijab wajib hanyalah simbol kepada masalah lebih mendalam,” kata Pengarah Pengajian Teluk Parsi, Universiti Shahid Beheshti, Dr Javad Heiran-Nia.
Namun, gerakan itu gagal kekal bersepadu.
Tiada organisasi pusat atau kepimpinan jelas dan risiko tinggi ditangkap menghalang kesinambungan bantahan.
Penganalisis, Cik Mona Rahmani, berkata: “Gerakan ini, seperti banyak bantahan abad ke-21, tidak mempunyai struktur dan pelan pengganti rejim. Semangatnya kuat, tetapi tidak tersusun.”
Walaupun bantahan besar dihentikan menjelang Februari 2023 kerana tindakan keras keselamatan, protes kecil masih berlaku dalam bentuk baru, mogok pekerja, penolakan hijab wajib oleh generasi muda dan luahan budaya yang menentang norma konservatif.
Pihak berkuasa menyedari kos politik untuk memaksa kepatuhan penuh terlalu tinggi, terutama ketika negara berdepan konflik serantau.
Selepas perang Jun, penguatkuasaan undang-undang hijab semakin longgar.
Namun, kelonggaran itu bukan kerana komitmen terhadap kebebasan, tetapi strategi bertahan.
“Rejim mengendurkan tekanan dalam hal sosial tertentu kerana bimbang tekanan boleh meletus semula menjadi bantahan besar-besaran,” jelas pakar politik, Cik Shireen Hunter.
Namun, aspek lain yang mendorong kemarahan rakyat, terutama ekonomi yang merudum, jauh lebih sukar ditangani.
Inflasi melebihi 40 peratus, nilai mata wang rial menjunam, dan peluang pekerjaan merosot.
Tanpa penyelesaian isu nuklear dan sekatan Barat, kebuntuan ekonomi dijangka berterusan.
Serangan udara Israel yang disokong Amerika memusnahkan tapak nuklear strategik, menewaskan pegawai kanan Pengawal Revolusi, dan menggugat keyakinan awam terhadap kekuatan negara.
Walaupun ramai rakyat Iran bersatu mempertahankan tanah air sewaktu diserang, kekecewaan kembali meningkat selepas ekonomi lumpuh dan sekatan antarabangsa bertambah keras melalui mekanisme ‘snapback’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
‘Snapback’ merujuk kepada kembalinya sekatan antarabangsa atau ekonomi secara automatik apabila sesebuah negara melanggar perjanjian.
Presiden Masoud Pezeshkian, cuba meredakan kebimbangan dengan menegaskan bahawa rundingan nuklear semula dengan Amerika bukan tanda menyerah.
“Anda tidak mahu berunding? Mahu apa? Perang semula?” soalnya dalam ucapan yang kemudian dikecam golongan tegar.
Namun hakikatnya, kepimpinan tertinggi termasuk Ayatollah Ali Khamenei, diyakini sedang menimbang pilihan diplomatik kerana menyedari kos konfrontasi ketenteraan semakin besar pengorbanannya.
Seorang diplomat Barat yang dipetik media berkata: “Rejim Iran kini paling rapuh dalam dekad terakhir; setiap langkah menentang tekanan boleh menjadi bumerang.”
Di peringkat domestik, golongan reformis kembali bersuara walaupun terpinggir sejak bertahun-tahun.
Pada Ogos, Barisan Reformis Iran menggesa perubahan radikal daripada pengampunan politik, pembebasan tahanan, hingga pengurangan pengaruh tentera dalam politik.
Mantan pemimpin Gerakan Hijau 2009, Encik Mir-Hossein Mousavi, menyeru referendum bagi merangka perlembagaan baru yang lebih bersifat terangkum.
Namun cadangan itu memecahkan lagi landskap politik.
Sebahagian golongan reformis sendiri berhati-hati, bimbang perubahan mendadak akan membuka ruang kepada kekacauan atau campur tangan asing.
Generasi muda pula curiga terhadap mana-mana elit politik, sama ada reformis atau konservatif kerana menyifatkan kedua-duanya gagal membawa perubahan sebenar.
Sementara itu, krisis ekonomi menjadi ancaman paling nyata.
Kekurangan tenaga elektrik dan air menjejas industri dan pertanian.
Seorang peniaga di Teheran, Encik Alireza berkata: “Ini hasil 40 tahun dasar yang gagal. Kami kaya sumber, tapi rakyat tiada air, elektrik, dan wang untuk membeli barangan asas.”
Pengaliran modal ke luar negara meningkat, hutang kerajaan melonjak, dan nilai rial terus menjunam ke paras rekod.
Golongan kelas menengah yang dulunya menjadi tonggak kestabilan kini semakin rapuh.
Perniagaan kecil terpaksa tutup atau mengecilkan operasi.
Tekanan kos hidup yang memuncak boleh menjadi pemangkin kepada gelombang bantahan baru jika keadaan tidak berubah.
Iran kini berada di persimpangan berbahaya.
Pilihan untuk mengekalkan status quo dengan penindasan mungkin memberi kestabilan jangka pendek tetapi menambah risiko letusan sosial di masa depan.
Sebaliknya, membuka ruang reformasi membawa cabaran dalaman, termasuk ancaman perpecahan elit dan hilangnya kawalan politik.
Penganalisis Encik Trita Parsi memberi amaran:
“Langkah bersifat luaran tidak mencukupi. Jika masalah asas ketidakadilan politik dan ekonomi tidak ditangani, jurang antara rakyat dengan pemerintah akan melebar dan tempoh untuk pembaharuan tidak akan kekal lama.”
Di medan antarabangsa, Iran terdesak mengelak perang baru dengan Israel dan Amerika.
Rundingan semula mengenai program nuklear mungkin jalan sementara untuk meredakan ketegangan dan membuka peluang pemulihan ekonomi.
Namun, tanpa konsesi timbal balik dari Barat, usaha ini berisiko ditentang garis keras yang menganggap sebarang kompromi sebagai pengkhianatan.
Iran sedang berdepan dilema sejarah antara meneruskan model autoritarian yang semakin rapuh atau membuka laluan reformasi yang penuh ketidakpastian.
Tekanan ekonomi, ketakutan rakyat terhadap peperangan baru, dan pengasingan antarabangsa menuntut jawapan segera daripada kepimpinan Teheran.
Masa untuk berdiam diri semakin singkat.
Seperti ditegaskan seorang peniaga di Teheran: “Kami tidak mahu perang, tapi kami juga tidak percaya lagi pada janji kosong. Jika mereka tidak berubah, sesuatu akhirnya akan meletup.”
Kata-kata itu menggambarkan keresahan yang meresap ke seluruh lapisan masyarakat Iran satu tanda bahawa persimpangan yang dihadapi negara itu semakin genting dan tidak boleh diabaikan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg