Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konflik Iran-Israel: Implikasi geopolitik ke atas Asia Barat

Kempen ketenteraan Israel ancam kemantapan serantau; cabaran memulih hubungan diplomasi
Jul 14, 2025 | 5:30 AM
Evin jail, teheran
Israel melancarkan kempen pengeboman besar terhadap Iran menjejas Penjara Evin (gambar), membunuh komander tentera tertinggi dan saintis atom. Iran bertindak balas dengan gelombang peluru berpandu dan serangan dron yang melanda bandar utama Israel termasuk Tel Aviv dan Haifa. - Foto AFP

Sejak 13 Jun, Israel dan Iran saling melancarkan serangan peluru berpandu dan dron.

Walaupun kedua-dua pihak pernah bertukar-tukar tembakan pada 2024, konflik kali ini dianggap penting kerana jumlah kerugian besar yang dialami Iran, termasuk kehilangan jeneral tentera, saintis nuklear, dan lebih 100 serangan dilancarkan ke atas Teheran.

Amerika Syarikat menyokong Israel dan mengebom tapak nuklear Iran di Fordow, Isfahan dan Natanz.

Serangan itu bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan dan nuklear Iran.

Namun, skala serangan balas Iran ke atas Tel Aviv, Baitulmakdis dan Haifa, serta pangkalan tentera Amerika di Al Udeid, Qatar, menunjukkan daya ketahanan operasi Teheran.

Susulan perang selama 12 hari itu, apakah prospek pemulihan hubungan Israel?

Adakah konflik itu akan mengubah keseimbangan kuasa di Asia Barat?

Halangan Pemulihan Diplomatik Israel

Serangan Israel ke atas Iran dan perang berterusan di Gaza mengukuhkan persepsi di Asia Barat bahawa kempen ketenteraan Israel mengancam kestabilan serantau.

Walaupun tinjauan Arab Barometer 2023-2024 menunjukkan sokongan terhadap Iran adalah lemah dalam kalangan negara Asia Barat dan Afrika Utara (Mena), sokongan terhadap pemulihan hubungan dengan Israel juga adalah rendah, tidak melebihi 13 peratus.

Persepsi awam itu boleh menyukarkan usaha kerajaan/pemerintah negara Mena untuk mewajarkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Di Jordan dan Maghribi, dua dari lima negara Mena yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, menyaksikan bantahan awam akibat perang di Gaza.

Jordan menarik balik dutanya dari Israel pada November 2023 selepas bantahan awam.

Kerajaan Maghribi turut berdepan tekanan awam dan tunjuk perasaan besar-besaran menentang hubungan diplomatik dengan Israel.

Kebimbangan utama terletak pada kemungkinan kumpulan pembangkang mengambil kesempatan terhadap sentimen awam untuk mencetuskan gelombang penentangan secara besar-besaran.

Di Maghribi, gerakan pembangkang, Al Adl wal Ihsan, memainkan peranan dalam menganjurkan tunjuk perasaan.

Di Jordan, wujud kebimbangan kemarahan berasaskan agama terhadap hubungan dengan Israel boleh berkembang menjadi gerakan antikerajaan, justeru Pergerakan Ikhwanul Muslimin telah diharamkan pada Mei 2025.

Serangan Israel ke atas Iran menjadi tumpuan kedua yang menyokong persepsi awam bahawa kempen ketenteraan Israel yang dianggap keterlaluan, sedang menggugat kestabilan rantau.

Ini menjelaskan mengapa sesetengah kerajaan dan pemerintah negara Mena mengutuk keras tindakan Israel selepas serangan ke atas Iran.

Dalam ucapannya di Parlimen Eropah, Raja Abdullah II, dari Jordan memberi amaran bahawa serangan Israel merupakan “ancaman kepada semua pihak” dan menekankan bahaya peningkatan ketegangan serantau.

Arab Saudi turut mengeluarkan kenyataan “mengutuk keras dan mengecam pencerobohan terang-terangan Israel terhadap Republik Islam Iran yang bersaudara”.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman dalam panggilan telefon kepada Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, mengecam serangan Israel sebagai “melanggar undang-undang antarabangsa” dan menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Iran.

Kenyataan seperti itu menunjukkan prospek pemulihan hubungan diplomatik dengan Israel semakin pudar.

Mengimbangi Israel

Adalah munasabah untuk menyimpulkan bahawa demonstrasi kekuatan ketenteraan Israel boleh menyebabkan negara-negara Mena berasa tidak selamat, kerana Israel mungkin menggunakan tekanan ketenteraan untuk mencapai matlamat geopolitiknya.

Dua faktor boleh meningkatkan lagi persepsi terhadap ancaman Israel.

Pertama, pengaruh dominan ahli politik sayap kanan dalam pemerintah Israel yang menyokong konsep Israel Raya (Greater Israel) dan penguasaan wilayah.

Kedua, dasar perubahan rejim oleh Amerika yang disuarakan melalui Presiden Amerika, Encik Donald Trump, apabila beliau menggesa Iran supaya “menyerah tanpa syarat”, satu retorik yang mengingatkan kepada serangan Amerika ke atas Iraq pada 2003.

Konflik Israel-Iran berpotensi mendorong perlumbaan senjata di negara Teluk dan Turkey untuk mengimbangi kekuatan Israel.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, pada 18 Jun mengumumkan cadangan meningkatkan pengeluaran domestik pesawat perang, kereta kebal, dron dan kapal perang, serta menjadikan angkatan tentera Turkey “bebas sepenuhnya” daripada sumber luar.

Kebimbangan Turkey dizahirkan oleh ahli politik nasionalis, Encik Devlet Bahçeli, yang menyatakan bahawa operasi Israel di Iran adalah satu “mesej gelap” kepada Turkey, sekali gus mengukuhkan hubungan Turkey-Israel yang telah lama tegang.

Langkah ketenteraan Turkey, yang mempunyai industri pertahanan paling maju di rantau itu, boleh mencetuskan pembinaan ketenteraan secara lebih meluas.

Malah sebelum perang semasa antara Israel dengan Iran bermula, negara Teluk telah meningkatkan kerjasama dengan Turkey dan sesama mereka untuk membangunkan industri pertahanan yang lebih berdikari.

Arab Saudi pada Januari 2025, menandatangani perjanjian pertahanan bernilai AS$6 bilion ($7.66 bilion) dengan Turkey.

Ia termasuk kereta kebal Altay buatan Turkey, pesawat tanpa pemandu dan potensi kerjasama dalam pembangunan jet pejuang halimunan KAAN.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula menandatangani perjanjian bernilai AS$2.45 bilion dengan Kuwait untuk membekalkan lapan kapal misil kelas FALAJ-3.

Rasa tidak selamat yang dicetuskan oleh kekuatan ketenteraan Israel dan ketidaktentuan hala tuju wilayahnya boleh membawa kepada lebih banyak perjanjian ketenteraan.

Kekosongan Kuasa di rantau Levant

Iran yang semakin lemah mewujudkan kekosongan pengaruh di Syria, Iraq dan Lebanon, yang boleh menjadi tapak ketegangan serantau yang baru.

Selama bertahun-tahun, Iran menggunakan sekutunya dalam Paksi Penentangan, iaitu militia seperti Hezbollah di Lebanon; Hamas di Gaza; Pasukan Mobilisasi Popular di Iraq; dan rejim mantan Presiden Bashar a-Assad di Syria, untuk meluaskan pengaruh serantaunya.

Mereka merupakan sebahagian daripada lingkungan pengaruh Iran dan berperanan sebagai pangkalan pelancaran serangan ke atas Israel dan sasaran di rantau Teluk – satu aspek dalam strategi pertahanan hadapan Iran, yang mengekalkan konflik jauh dari wilayahnya sambil membolehkan pengaruh dilaksanakan melalui proksi.

Kelemahan Iran, Hezbollah dan Hamas akibat serangan Israel serta kejatuhan rejim Assad pada Disember 2024 telah melemahkan pengaruh Iran secara ketara di rantau Levant iaitu di sepanjang Laut Mediterranean dari Syria sekarang hingga ke Jordan.

Levant ialah istilah lama yang merujuk kepada negara timur Mediterranean, yang kini bermakna Syria, Lebanon, Palestin, Jordan, Turkey, Israel dan Mesir.

Walaupun ia mencipta kekosongan kuasa yang membolehkan Israel, negara Teluk dan Turkey memperluas pengaruh masing-masing, persaingan antara mereka turut meningkat, memandangkan setiap pihak mempunyai kepentingan tersendiri.

Kepentingan Israel termasuk pembentukan zon penampan di sekitar sempadannya bagi mengelakkan berulangnya serangan seperti yang berlaku pada 7 Oktober, yang menjelaskan mengapa Israel mahu mengekalkan kehadiran ketenteraan tetap di Selatan Lebanon dan Selatan Syria untuk melindungi sempadan utaranya.

Bagi Turkey, kawalan ke atas Utara Syria dan Iraq membentuk zon penampan terhadap pengganas ISIS dan pemberontak Kurdi yang menggunakan Pentadbiran Autonomi Kurdi di Utara dan Timur Syria sebagai pangkalan.

Tentera Turkey pada Mei 2025, mengumumkan penubuhan pangkalan tentera udara, laut dan darat di Syria untuk memerangi ISIS.

Sebaliknya, negara Teluk menggunakan pengaruh kewangan ke atas Levant untuk mengikat rantau itu kepada kepentingan mereka.

Pengukuhan pengaruh di Syria, Lebanon dan Iraq boleh memberikan keselamatan lebih besar daripada baki ancaman Hezbollah, Hamas dan ISIS, serta memerangi sindiket dadah yang menyeludup dadah, captagon, yang menular di Teluk.

Ini turut menjelaskan mengapa Arab Saudi dan Qatar telah membayar semula hutang Syria kepada Bank Dunia, serta membuat komitmen pelaburan ekonomi yang lebih besar ke Lebanon dan Iraq.

UAE menandatangani perjanjian bernilai AS$800 juta untuk membangunkan Pelabuhan Tartus di Syria.

Seperti yang dijangkakan, kawasan kepentingan yang bertindih meningkatkan ketegangan dan risiko konflik.

Tidak mengejutkan apabila pada April 2025, Israel mengebom tiga pangkalan Syria yang kosong yang dirancang untuk digunakan oleh tentera Turkey, selain menuduh Turkey cuba menubuhkan “wilayah lindungan Turkey”.

Persaingan untuk pengaruh di rantau Levant boleh memburukkan lagi ketegangan sedia ada antara UAE dengan Arab Saudi, yang masing-masing menyokong kumpulan bertentangan dalam perang saudara di Yaman dan Sudan.

Ia juga boleh memperdalam jurang perpecahan antara Qatar dengan Arab Saudi, memandangkan sekatan yang dikenakan oleh Arab Saudi ke atas Qatar pada 2017.

Masa Depan Tidak Tentu

Walaupun kelemahan Iran susulan peperangannya dengan Israel dan Amerika telah mengubah dinamik kuasa di Asia Barat, ia juga jelas bahawa keadaan itu tidak akan menyelesaikan ketegangan serantau dan boleh mencetuskan cabaran baru yang berisiko menyebabkan konflik seterusnya.

Keadaan akan menjadi lebih rumit sekiranya Iran berjaya pulih daripada peperangan dan memperoleh senjata nuklear untuk menghalang serangan masa depan oleh Israel dan Amerika.

Ini akan meningkatkan lagi ketidakseimbangan ketenteraan yang rapuh dan terus berkembang antara Israel dengan Iran, serta persaingan untuk pengaruh di Levant, memandangkan Iran berusaha mendapatkan semula pengaruhnya yang hilang.

Penulis ialah Penganalisis Kanan di Pejabat Dekan, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Artikel ini kali pertama disiarkan di laman web, www.rsis.edu.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg