Topik diikuti
Pergi ke BHkuSheikh Hamad ‘arkitek Qatar moden’
Sheikh Hamad ‘arkitek Qatar moden’
Dasar luar dan ekonomi mantan Amir ubah Qatar daripada pemain kecil kepada aktor utama dalam pentas politik antarabangsa
Sheikh Hamad ‘arkitek Qatar moden’
DOHA: Pemergian mantan Amir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, pada usia 74 tahun bukan sekadar menandakan berakhirnya hayat seorang pemimpin berpengaruh.
Malah, mengimbau kembali bagaimana sebuah negara kecil di Teluk Parsi berjaya muncul sebagai kuasa diplomatik, ekonomi dan media yang disegani dunia.
Ketika Allahyarham Sheikh Hamad mengambil alih pemerintahan menerusi peralihan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1995, Qatar masih dilihat sebagai sebuah negara pengeluar minyak dan gas yang berada di bawah bayangan kuasa serantau seperti Arab Saudi.
Namun, dalam tempoh 18 tahun pemerintahannya sebelum menyerahkan kuasa kepada puteranya, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, pada 2013, beliau berjaya mengubah Qatar menjadi negara yang mempunyai pengaruh jauh melebihi saiz geografinya.
Ramai penganalisis menyifatkan Allahyarham Sheikh Hamad sebagai “arkitek Qatar moden” kerana dasar luar dan ekonomi yang diperkenalkannya mengubah negara itu daripada pemain kecil kepada aktor utama dalam politik antarabangsa.
Dasar luar berbeza, kuasa ekonomi jadi asas pengaruh
Tidak seperti kebanyakan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ketika itu yang mengamalkan dasar luar lebih berhati-hati, Allahyarham Sheikh Hamad, memilih pendekatan lebih aktif.
Beliau percaya kekayaan hasil gas asli perlu diterjemahkan kepada pengaruh geopolitik.
Pendekatan itu menyebabkan Doha mula memainkan peranan sebagai pengantara dalam pelbagai konflik antarabangsa, selain membina hubungan dengan kuasa Barat dan pada masa sama mengekalkan saluran komunikasi dengan negara serta kumpulan yang sering dipulaukan Barat.
Pendekatan “berkawan dengan semua pihak” itulah yang akhirnya menjadi identiti diplomasi Qatar.
Hari ini, Qatar menjadi pengantara dalam pelbagai rundingan termasuk antara Amerika Syarikat dengan Iran, konflik di Gaza, Afghanistan serta beberapa krisis di Afrika dan Asia Barat.
Strategi Allahyarham Sheikh Hamad bukan sekadar bergantung kepada diplomasi.
Beliau mempercepat pembangunan industri gas asli cecair (LNG), yang akhirnya menjadikan Qatar antara pengeksport LNG terbesar dunia.
Hasil kekayaan tenaga itu membolehkan Doha menubuhkan dana kekayaan negara bernilai ratusan bilion dolar yang melabur di seluruh dunia.
Pada masa sama, Qatar Airways berkembang menjadi antara syarikat penerbangan terbaik dunia, manakala Doha berubah menjadi pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa.
Transformasi ekonomi itu turut menyaksikan pertumbuhan pesat penduduk melalui kemasukan jutaan pekerja asing yang membantu membangunkan negara.
Secara akademik, model pembangunan Qatar sering dirujuk sebagai contoh model pembangunan berasaskan kekayaan sumber tenaga untuk memperkukuh pengaruh antarabangsa – penggunaan sumber ekonomi untuk memantapkan pengaruh politik dan diplomatik.
Satu lagi legasi penting Allahyarham Sheikh Hamad ialah keputusan membina Pangkalan Udara Al Udeid pada 1990-an.
Ketika Arab Saudi berdepan tekanan domestik berhubung kehadiran tentera Amerika selepas Perang Teluk 1991, Qatar menawarkan alternatif kepada Washington.
Langkah itu menjadikan Doha rakan keselamatan utama Amerika di Asia Barat.
Pangkalan Al Udeid kemudian menjadi pusat operasi penting tentera Amerika dalam peperangan di Afghanistan selepas serangan 11 September 2001 serta pencerobohan Iraq pada 2003.
Melalui kerjasama pertahanan yang erat itu, Qatar memperoleh pelbagai aset ketenteraan moden termasuk pesawat pejuang ‘F-15QA’.
Hubungan strategik itu membolehkan Doha mengekalkan perlindungan keselamatan Amerika walaupun pada masa sama menjalinkan hubungan diplomatik dengan Iran.
Keupayaan mengimbangi dua hubungan yang sering bertentangan itu dianggap antara pencapaian diplomatik terbesar Allahyarham Sheikh Hamad.
Al Jazeera ubah landskap media Arab, Gaza dan Arab Spring
Satu lagi warisan paling berpengaruh ialah penubuhan rangkaian berita, Al Jazeera, pada 1996.
Ketika kebanyakan media Arab dikawal ketat kerajaan, Al Jazeera tampil membawa pendekatan lebih terbuka dalam melaporkan isu serantau.
Saluran itu memberi ruang kepada pelbagai pandangan politik dan menjadi antara media paling berpengaruh di dunia Arab.
Namun, Al Jazeera juga sering menjadi kontroversi.
Beberapa kerajaan Arab menuduh saluran itu memberi ruang terlalu luas kepada tokoh gerakan Islam seperti ulama Yusuf al-Qaradawi dan kumpulan Ikhwanul Muslimin.
Walaupun begitu, dari sudut akademik, Al Jazeera berjaya meningkatkan kuasa lembut (soft power) Qatar melalui pengaruh media antarabangsa.
Kemunculan Arab Spring pada 2011 memperlihatkan Qatar sebagai memainkan peranan lebih agresif.
Doha menyokong beberapa kumpulan pembangkang di Libya dan Syria serta memberi bantuan kepada kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Pada 2012, Allahyarham Sheikh Hamad menjadi pemimpin Arab pertama melawat Gaza selepas Hamas mengambil alih wilayah itu.
Ketika itu, Qatar berharap pelaburan ekonomi dapat menggalakkan kestabilan di Gaza.
Namun, strategi tersebut tidak mencapai hasil seperti yang diharapkan.
Kejatuhan kerajaan Mohamed Morsi di Mesir pada 2013 dan perang Gaza yang berlarutan menyebabkan pendekatan Qatar menerima kritikan daripada beberapa negara Arab.
Hubungan rapat Doha dengan Hamas turut mengundang kritikan Israel dan sebahagian negara Barat, terutama selepas serangan 7 Oktober 2023.
Walaupun begitu, saluran komunikasi yang dikekalkan Qatar dengan Hamas akhirnya membolehkan negara itu menjadi pengantara utama dalam rundingan pembebasan tebusan serta usaha gencatan senjata.
Krisis Teluk uji dasar Sheikh Hamad
Perbezaan dasar luar Qatar akhirnya membawa kepada krisis diplomatik Teluk pada 2017 apabila Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan dengan Doha.
Walaupun Allahyarham Sheikh Hamad tidak lagi menjadi Amir ketika itu, banyak pemerhati melihat dasar luar yang dibinanya menjadi asas kepada pertikaian tersebut.
Namun, sokongan Turkey serta hubungan strategik dengan Amerika membantu Qatar bertahan sehingga krisis berakhir pada 2021.
Peristiwa itu turut membuktikan strategi mempelbagaikan hubungan antarabangsa yang diasaskan Allahyarham Sheikh Hamad, berjaya mengukuhkan kedudukan Qatar ketika berdepan tekanan.
Hari ini, Sheikh Tamim meneruskan sebahagian besar dasar yang diwarisi bapanya.
Qatar terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam pelbagai konflik, termasuk rundingan antara Amerika dengan Iran, usaha damai di Gaza serta proses politik Afghanistan.
Penganjuran Piala Dunia Fifa 2022 pula menjadi lambang kejayaan strategi Allahyarham Sheikh Hamad memperkenalkan Qatar kepada dunia.
Walaupun pemerintahannya tidak terlepas daripada kritikan, khususnya berkaitan hubungan dengan kumpulan Islam politik dan beberapa dasar luar yang mencetuskan kontroversi, kebanyakan penganalisis bersetuju beliau berjaya mengubah Qatar daripada sebuah negara kecil kepada kuasa diplomatik sejagat.
Dalam teori hubungan antarabangsa, kejayaan Qatar sering dijelaskan melalui konsep diplomasi kuasa pertengahan, iaitu strategi menggunakan kekayaan ekonomi, pengantaraan konflik, media dan hubungan pelbagai hala untuk memperoleh pengaruh yang jauh melebihi saiz negara.
Atas sebab itu, legasi Allahyarham Sheikh Hamad bukan hanya diukur melalui pembangunan ekonomi Qatar, bahkan juga melalui kejayaannya membuktikan bahawa sebuah negara kecil mampu membentuk landskap politik serantau dan antarabangsa apabila mempunyai visi strategik, sumber yang dimanfaatkan secara berkesan serta dasar luar yang tekal. – Agensi berita.
