TEHERAN: Iran menegaskan tidak akan membuka semula Selat Hormuz selagi sekatan laut oleh Amerika Syarikat masih berkuat kuasa, walaupun gencatan senjata dilanjutkan hingga 23 April.

Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan terus memuncak, dengan Iran mengumumkan rampasan dua kapal yang cuba melalui laluan strategik tersebut.

“Gencatan senjata hanya bermakna jika ia tidak dilanggar melalui sekatan laut.

“Pembukaan semula Selat Hormuz tidak mungkin berlaku selagi pelanggaran jelas ini berterusan,” kata Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf.

Pada masa sama, Komand Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan pihaknya telah mengarahkan 31 kapal untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan sebagai sebahagian daripada sekatan terhadap Iran.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pula berkata beliau akan mengekalkan gencatan senjata bagi memberi ruang kepada rundingan damai yang diatur Pakistan.

“Kami mahu memberi masa kepada kepimpinan Iran untuk mengemukakan cadangan,” katanya, sambil menyatakan rundingan mungkin disambung dalam tempoh beberapa hari.

Namun, Iran belum mengesahkan penyertaan dalam rundingan tersebut.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengumumkan bahawa dua kapal telah ditahan di Selat Hormuz.

“Kami telah mengenal pasti dan menghentikan dua kapal yang melanggar peraturan di Selat Hormuz,” menurut kenyataan IRGC.

Kapal yang dirampas dikenal pasti sebagai MSC Francesca berbendera Panama dan Epaminondas berbendera Liberia.

Kementerian Luar Panama menyifatkan tindakan itu sebagai “serangan serius terhadap keselamatan maritim” dan satu bentuk peningkatan ketegangan yang tidak perlu.

Pemantau keselamatan maritim melaporkan sekurang-kurangnya tiga kapal komersial terlibat dalam kejadian dengan bot bersenjata di kawasan tersebut.

Sebuah kapal kontena dilaporkan ditembak oleh bot IRGC kira-kira 15 batu nautika dari timur laut Oman, menyebabkan kerosakan pada bahagian anjungan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Situasi ini menambahkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan global yang kritikal.

Ketegangan di Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, memberi kesan segera kepada pasaran tenaga.

Penanda aras minyak Brent meningkat 3.62 peratus kepada AS$105.63 ($134.70) setong, sebelum kembali stabil beberapa minit kemudian.

Perkembangan ini mencerminkan sensitiviti pasaran terhadap sebarang gangguan di laluan strategik tersebut.

Dalam masa sama, Encik Trump mendakwa Iran telah menghentikan rancangan untuk menghukum mati lapan wanita yang ditahan dalam protes sebelum ini.

Namun, pihak kehakiman Iran menolak dakwaan itu sebagai “berita palsu” dan menegaskan wanita berkenaan tidak pernah berdepan hukuman mati.

Kedua-dua pihak turut saling menuduh melanggar syarat gencatan senjata, menunjukkan rundingan masih rapuh.

Tentera Laut Amerika kini berusaha menghalang kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran, sebagai langkah meningkatkan tekanan ekonomi tanpa melancarkan perang penuh.

Sebagai tindak balas, Iran mengarahkan semua kapal mendapatkan kebenaran sebelum memasuki atau keluar dari Teluk.

Langkah ini dilihat sebagai usaha Teheran mempertahankan kedudukannya dalam konflik yang semakin kompleks.

Ketegangan tidak terhad di Selat Hormuz sahaja.

Di Lebanon, serangan Israel dilaporkan mengorbankan lima lagi individu walaupun gencatan senjata diumumkan.

Seorang wartawan akhbar tempatan turut terbunuh dalam serangan berhampiran sempadan, manakala seorang lagi cedera.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pula mengesahkan seorang lagi tentera negaranya maut akibat serangan terhadap pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel dan Lebanon dijadualkan mengadakan rundingan pusingan kedua di Washington pada 23 April.

Seorang pegawai Lebanon berkata negara itu akan memohon lanjutan gencatan senjata selama sebulan serta menuntut Israel menghentikan serangan.

“Kami mahukan komitmen jelas terhadap gencatan senjata dan penghentian serangan,” katanya. – Agensi berita.

“Gencatan senjata hanya bermakna jika ia tidak dilanggar melalui sekatan laut. Pembukaan semula Selat Hormuz tidak mungkin berlaku selagi pelanggaran jelas ini berterusan.” 
Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf.