ISTANBUL: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pada 2 Julai mengumumkan penggantungan kerjasama negaranya dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), menurut laporan saluran rasmi Press TV dan agensi berita Mehr.
Laporan itu turut disahkan oleh agensi berita Tasnim, yang dipetik oleh Anadolu Ajansi, menyatakan bahawa presiden telah meluluskan undang-undang yang mewajibkan kerajaan menangguhkan semua hubungan dengan IAEA.
Langkah ini diambil susulan serangan udara oleh Amerika Syarikat ke atas beberapa kemudahan nuklear utama Iran, termasuk di Esfahan, Fordow dan Natanz, yang berlaku selepas konflik bersenjata selama 12 hari dengan Israel.
Langkah ini menyusuli keputusan parlimen Iran minggu lalu yang meluluskan rang undang-undang bagi menggantung kerjasama dengan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut.
Undang-undang tersebut sebelum ini telah diluluskan oleh Parlimen Iran dan disahkan oleh Majlis Penjaga Perlembagaan, menjadikannya berkuat kuasa sepenuhnya.
Menurut Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, penggantungan ini akan berkuat kuasa sehingga keselamatan kemudahan nuklear Iran dapat dijamin sepenuhnya.
Ini termasuk sekatan terhadap akses IAEA ke tapak-tapak nuklear melainkan mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.
Presiden Pezeshkian mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan bahawa tindakan IAEA yang dianggap berat sebelah dan gagal mengecam serangan terhadap kemudahan nuklear Iran telah menjejaskan kredibiliti agensi tersebut.
Beliau turut menyampaikan pendirian ini kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam satu panggilan telefon baru-baru ini.
Langkah ini diambil susulan serangan udara oleh Amerika Syarikat ke atas beberapa kemudahan nuklear utama Iran, termasuk di Esfahan, Fordow dan Natanz, yang berlaku selepas konflik bersenjata selama 12 hari dengan Israel.
Pengumuman ini dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Teheran dan IAEA, berikutan isu akses pemantauan dan ketelusan program nuklear Iran selepas siri pertembungan ketenteraan terbaru melibatkan Israel dan Amerika Syarikat.
Krisis tercetus apabila konflik selama 12 hari meletus pada 13 Jun, apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran. Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron, manakala Amerika Syarikat pula mengebom tiga tapak nuklear Iran.
Konflik itu berakhir dengan pelaksanaan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat pada 24 Jun.
Langkah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kuasa-kuasa besar dunia, termasuk Russia, yang menyuarakan penolakan terhadap keputusan tersebut dan menyeru agar kerjasama Iran–IAEA diteruskan demi ketelusan dan kestabilan serantau.
Pemerhati antarabangsa melihat perkembangan ini sebagai satu cabaran besar kepada usaha memulihkan perjanjian nuklear Iran dan memastikan pemantauan bebas terhadap program nuklear negara itu. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg