WASHINGTON: Amerika Syarikat menegaskan serangan udara besar-besaran ke atas tiga tapak nuklear Iran telah berjaya melumpuhkan program nuklear negara itu.
Beliau berkata demikian walaupun beberapa laporan risikan dan pakar antarabangsa menunjukkan simpanan uranium Iran mungkin telah dialihkan terlebih dahulu ke lokasi rahsia.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, dalam sidang media yang tegang di Pentagon pada 26 Jun, berkata beliau “tidak dimaklumkan tentang sebarang risikan yang menunjukkan Iran telah memindahkan uranium yang diperkaya itu ke lokasi selamat sebelum serangan itu”.
“Saya tidak nampak ada apa-apa yang menunjukkan mereka cuba sembunyikan bahan nuklear,” kata Encik Hegseth, sambil menafikan laporan Iran telah mengosongkan tapak Fordow yang menjadi sasaran utama.
Presiden Donald Trump, yang turut hadir ketika sidang media itu, menyokong kenyataan Encik Hegseth dan menambah bahawa “tiada masa untuk keluarkan apa-apa pun dari tapak itu”.
“Kenderaan yang ada hanyalah milik pekerja konkrit yang sedang tutup terowong. Tiada apa-apa yang dikeluarkan dari tapak tersebut,” tulis Encik Trump di wadah media sosialnya.
Namun begitu, agensi berita antarabangsa dan beberapa pakar pertahanan berhujah sebaliknya.
Seorang pegawai kanan Iran memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa sebahagian besar uranium yang diperkaya hingga 60 peratus itu telah dipindahkan sebelum serangan dilakukan.
Serangan pada 22 Jun itu menyaksikan pesawat pengebom B-2 AS menjatuhkan lebih 12 bom penebuk bunker GBU-57 seberat 30,000 paun (13,607 kilogram) ke atas dua tapak nuklear utama.
Sebuah kapal selam berpeluru berpandu turut melancarkan peluru Tomahawk ke lokasi ketiga.
Encik Trump mendakwa operasi itu sebagai kejayaan ketenteraan terbesar dalam sejarah moden.
“Trump telah mewujudkan keadaan untuk menamatkan perang dengan menghancurkan program nuklear Iran sepenuhnya,” tegas Encik Hegseth.
Namun, laporan awal oleh agensi risikan Amerika yang bocor menyatakan bahawa program nuklear Iran hanya terjejas selama beberapa bulan sahaja, bukan beberapa tahun.
Laporan itu mencetuskan kemarahan Encik Trump dan pegawai pentadbirannya.
Encik Hegseth membidas media Amerika, khususnya CNN, MSNBC, dan The New York Times, kerana melaporkan penilaian awal tersebut.
“Ini bukan risikan rasmi. Ia dibocorkan oleh pihak yang mahu menggagalkan naratif kejayaan,” katanya.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, turut menyelar wartawan CNN, Cik Natasha Bertrand, sebagai “alat kepada pihak dalam pemerintah yang mahu menjatuhkan Trump”.
CNN mempertahankan laporan dan wartawannya serta menyatakan laporan itu tepat dan berasas.
Pengarah Risikan Negara, Cik Tulsi Gabbard, mendakwa kemudahan nuklear Iran “telah dimusnahkan sepenuhnya.”
Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe, menyatakan bahawa beberapa kemudahan utama nuklear Iran telah “musnah dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk dibina semula.”
“Kalau nak tahu apakah yang berlaku di Fordow, bawalah penyodok besar. Sekarang tiada sesiapa pun di bawah sana,” sindir Encik Hegseth.
Pentagon turut mengadakan taklimat tertutup kepada Senator Amerika pada 26 Jun.
Senator Republikan, Encik Tom Cotton, berkata operasi itu tidak bertujuan mengambil uranium, sebaliknya memusnahkan kemudahan tersebut.
“Saya yakin ini misi yang luar biasa,” ujar Encik Cotton.
Namun, Senator Demokrat, Encik Mark Warner, memberi amaran satu-satunya cara untuk menilai sepenuhnya kemusnahan program nuklear Iran ialah dengan menghantar pemeriksa antarabangsa ke lapangan.
“Sesetengah uranium diperkaya itu memang mustahil untuk dihancurkan hanya dengan bom bunker,” katanya.
Pentagon mengesahkan bahawa serangan itu melibatkan lebih 125 pesawat, termasuk pengebom siluman, pesawat tempur dan pesawat tangki bahan api udara, serta kapal selam berpandu.
Dalam masa yang sama, laporan risikan Eropah yang dilaporkan oleh Financial Times mendapati simpanan uranium Iran masih selamat kerana tidak tertumpu di tapak Fordow sahaja.
Di tengah-tengah ketegangan itu, Encik Hegseth, menuduh media “berdarah anti-Trump” dan menghalang penghargaan kepada keberanian tentera Amerika.
“Kerana kebencian terhadap Trump, ramai wartawan enggan mengiktiraf apa yang telah dicapai oleh pasukan kita,” katanya.
Encik Trump menyifatkan sidang media Hegseth itu sebagai “paling hebat, profesional dan mengesahkan kebenaran”.
Dalam sidang itu juga, Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, menyatakan bahawa beliau tidak pernah dipaksa untuk memberi penilaian lebih positif.
“Saya sentiasa berterus terang kepada presiden dan setiausaha pertahanan. Tiada sesiapa yang memberi tekanan kepada saya,” katanya.
Sedang ketegangan antara Rumah Putih dengan media terus memuncak, Iran memberi amaran mereka akan bertindak balas jika Amerika melancarkan serangan lagi.
“Kami tidak akan tunduk. Kemenangan tetap milik kami,” tegas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam reaksi balasnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg