WASHINGTON: Ketua pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas program nuklear Iran, dan menolak dakwaan Presiden Donald Trump bahawa ancaman nuklear Iran telah “dilenyapkan sepenuhnya”.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Mariano Grossi, menyatakan dalam wawancara dengan CBS News bahawa Iran masih berkemungkinan memperkaya uranium dalam tempoh “beberapa bulan sahaja,” walaupun Encik Trump bertegas Teheran telah mengetepikan hasrat menghasilkan senjata nuklear.
“Secara jujur, kita tidak boleh mengatakan semuanya sudah lenyap dan tidak ada apa-apa lagi di sana,” kata Encik Grossi.
“Kerosakan memang besar, tetapi bukan keseluruhan,” tambahnya mengenai serangan udara Amerika ke atas dua pusat pengayaan uranium Iran.
Encik Trump sebelum ini mengisytiharkan bahawa serangan 14 bom ‘bunker-buster’ atau bom pemusnah kubu bawah tanah yang digugurkan oleh pengebom B-2 ke atas kemudahan Iran itu telah “memusnahkan sepenuhnya” program nuklear negara itu.
Namun penilaian awal oleh Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) Amerika dan beberapa agensi risikan Eropah menunjukkan serangan tersebut hanya menangguhkan kemajuan Iran selama “beberapa bulan sahaja”.
Lebih membimbangkan lagi, kata pakar bebas, kerosakan paling ketara mungkin bukan pada pengayaan uranium semata-mata, tetapi pada makmal di luar kota purba Isfahan yang sedang dalam pembinaan.
Makmal itu sepatutnya menukar uranium yang diperkaya kepada logam – komponen utama dalam pembuatan bom nuklear.
“Pemulihan keupayaan itu boleh mengambil masa bertahun-tahun,” ujar seorang pakar kanan di Eropah.
Namun beliau menambah segalanya bergantung kepada sama ada Iran akan menghalau pemeriksa IAEA dari negara itu atau meneruskan tugas mereka secara terbuka.
Dalam wawancara terbarunya di Fox News, Encik Trump tetap mempertahankan tindakannya dan mendakwa Iran kini tidak lagi berminat untuk membina senjata nuklear.
“Kita telah memusnahkan kemudahan mereka dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini,” kata Encik Trump.
“Itulah pengakhiran kepada cita-cita nuklear mereka, sekurang-kurangnya buat sementara waktu.”
Encik Trump turut mempertikai laporan media yang memetik penilaian risikan, dan mengancam untuk menyaman CNN dan The New York Times kerana melaporkannya.
Beliau malah mencadangkan penggunaan sistem kehakiman bagi memaksa wartawan mendedahkan sumber maklumat.
“Kita perlu tahu siapakah yang membocorkan maklumat keselamatan negara. “Saya rasa kita akan mula mengambil tindakan seperti itu,” katanya.
Sebaliknya, laporan IAEA mendapati simpanan uranium Iran sebelum serangan telah disimpan dalam bekas yang boleh dimuatkan dalam sebuah kereta biasa.
Encik Grossi mengesahkan bahawa pegawai Iran memaklumkan kepadanya bahawa bahan itu telah dipindahkan ke tempat “lebih selamat” sebelum serangan.
Agensi risikan Amerika juga sedang meneliti pergerakan kenderaan yang dilihat berhampiran Isfahan sebelum serangan, yang dipercayai digunakan untuk mengalihkan bekalan uranium tersebut.
Encik Trump mengulangi minatnya untuk memulakan semula rundingan dengan Iran, dengan tawaran menarik balik sekatan ekonomi jika Teheran bersetuju menghentikan pengayaan uranium dan membuka sepenuhnya kemudahan nuklearnya kepada pemeriksaan.
“Jika mereka boleh kekal aman dan menunjukkan bahawa mereka tidak akan membahayakan sesiapa, saya sedia tarik balik sekatan,” katanya.
Namun penasihat keselamatan negara Presiden Joe Biden, Encik Jake Sullivan, mengingatkan bahawa dunia masih memerlukan satu perjanjian baru yang kukuh.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah penilaian kerosakan yang jujur, tanpa gangguan politik,” kata Sullivan semasa Festival Aspen Ideas.
“Berdasarkan maklumat yang saya lihat, Iran masih mempunyai simpanan uranium yang diperkaya dan keupayaan untuk membina lebih banyak mesin pengayaan.
“Jika mereka memutuskan untuk memulakan semula esok,” tegasnya, “tidak mustahil mereka boleh mencapai program nuklear penuh dalam masa setahun.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg