SAN FRANCISCO: Iran menggunakan perkhidmatan Internet satelit Starlink milik SpaceX dalam serangan terhadap tentera Amerika Syarikat.

Ini berlaku selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, menurut laporan The Washington Post pada 28 November yang memetik beberapa sumber.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Encik Elon Musk, dilaporkan berang selepas dimaklumkan mengenai dua penggunaan Starlink tanpa kebenaran yang menurut pasukannya mempunyai kaitan dengan usaha Iran menyasarkan tentera Amerika.

Laporan itu memetik dua individu yang mengetahui perbincangan dalaman syarikat berkenaan.

Encik Musk turut dimaklumkan bahawa tentera Amerika menggunakan dron sehala dengan rangkaian Starshield, iaitu versi Starlink yang direka untuk kegunaan ketenteraan. 

Namun, tentera Amerika dilaporkan menggunakan pelan lebih murah yang sepatutnya dikhususkan untuk operasi di darat, menurut salah seorang sumber kepada The Washington Post.

SpaceX dan Kementerian Ehwal Luar Iran tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mengulas laporan itu.

Menurut The Washington Post, satu laporan sulit yang diserahkan kepada Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, turut menyentuh mengenai penggunaan Starlink oleh tentera Iran.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Namun, Jabatan Pertahanan Amerika dalam kenyataan kepada Reuters berkata pihaknya “tidak mengetahui mengenai laporan yang diserahkan kepada pejabat setiausaha pertahanan berhubung perkara ini”.

Penggunaan Starlink di kawasan yang terlibat dalam konflik geopolitik, kawalan pemerintah Amerika terhadap perkhidmatan itu serta penggunaannya secara haram oleh pihak yang dikenakan sekatan telah menarik perhatian, khususnya ketika perang di Ukraine dan Iran.

Starlink tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di Iran, namun Encik Musk sebelum ini pernah menyatakan bahawa perkhidmatan itu aktif di negara berkenaan.

Menurut The Wall Street Journal, pihak berkuasa Iran pernah menyekat akses Internet awam ketika berlaku pergolakan, termasuk semasa tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara pada Januari lalu yang mengorbankan banyak nyawa. 

Selepas itu, pemerintah Amerika menyeludup masuk ribuan terminal Starlink ke Iran.

Pemerintah Iran terus mengetatkan kawalan terhadap akses Internet sejak Amerika dan Israel memulakan konflik semasa dengan Iran pada penghujung Februari lalu. - Reuters.