Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB: Gaza kini di ambang malapetaka besar

May 31, 2025 | 5:28 PM
Para penduduk membantu mereka yang terjejas akibat pengeboman tentera Israel di Bandar Gaza pada 30 Mei 2025.
Para penduduk membantu mereka yang terjejas akibat pengeboman tentera Israel di Bandar Gaza pada 30 Mei 2025. - Foto REUTERS

GAZA: Jaluran Gaza kini berada di tahap paling kritikal sejak perang antara Israel dengan Hamas bermula 20 bulan lalu, menanti malapetaka besar akibat sekatan bantuan makanan dan perubatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata keadaan di Gaza semakin buruk walaupun penghantaran bantuan terhad sudah disambung semula di wilayah Palestin yang sedang diancam kebuluran di tengah-tengah serangan Israel yang masih berterusan.

Israel menamatkan sekatan selama 11 minggu ke atas Gaza selepas menerima tekanan global yang semakin meningkat dan membenarkan operasi terhad diketuai PBB untuk disambung semula.

Pada 26 Mei, satu saluran baru pengedaran bantuan yang mencetuskan kontroversi telah dilancarkan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.

Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata sebarang bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan adalah sesuatu yang baik, namun pemeriksaan ketat Israel masih menafikan hak rakyat Palestin itu.

Namun katanya, setakat ini penghantaran bantuan hanya memberi kesan yang sangat kecil di Gaza.

“Keadaan di Gaza kini adalah yang paling buruk sejak perang bermula kerana bantuan memang sudah ada tetapi disekat daripada sampai ke tangan penduduk,” katanya.

PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa enggan bekerjasama dengan GHF kerana mendakwa ia tidak berkecuali dan mempunyai model pengedaran yang berselindung di bawah muslihat memaksa pemindahan penduduk Palestin.

Namun, Israel mahu PBB bekerjasama melalui GHF, yang menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta dari Amerika untuk mengangkut bantuan ke Gaza bagi diagihkan oleh pasukan awam di lokasi pengedaran yang digelar ‘selamat’.

Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, berkata Israel akan membenarkan penghantaran bantuan untuk masa terdekat melalui operasi PBB dan juga GHF.

Pada 30 Mei, GHF berkata, mereka berjaya mengagihkan lebih 2.1 juta bantuan makanan setakat ini.

PBB menyatakan bahawa dalam tempoh 12 hari lalu, mereka hanya berjaya mengangkut kira-kira 200 buah lori bantuan ke Gaza, yang terhalang akibat pemeriksaan dan sekatan akses oleh tentera Israel.

PBB juga menyatakan beberapa lori dan gudang Program Makanan Sedunia diserbu oleh penduduk yang terdesak dek kelaparan.

Pegawai PBB turut mengkritik sekatan Israel terhadap jenis bantuan dan ia tidak membenarkan makanan yang sedia dimakan.

Jurucakap ehwal kemanusiaan PBB, Cik Eri Kaneko, pula berkata satu-satunya makanan yang dibenarkan ialah tepung untuk kedai roti. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg