PUTRAJAYA: Malaysia amat kesal dan kecewa terhadap kegagalan berulang kali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima pakai ketetapan menggesa gencatan senjata serta-merta dan berkekalan serta penghapusan sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan menegaskan kegagalan berulang Majlis Keselamatan mengambil tindakan menangani satu daripada tragedi kemanusiaan paling buruk sejak Perang Dunia Kedua, berikutan penggunaan kuasa veto sememangnya dikesali dan amat mengecewakan.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang membunuh orang awam, tindakan genosid (penghapusan kaum) dan menggunakan kebuluran serta sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang,” menurut kenyataan pada 5 Jun itu, lapor Free Malaysia Today.
Di sebalik kegagalan Majlis Keselamatan, kementerian itu berkata masyarakat antarabangsa perlu meneruskan usaha memastikan keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah.
“Rejim Israel sepatutnya sedar bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Pendekatan itu kekal sebagai pendirian berprinsip Malaysia dan selaras dengan sokongan berterusan masyarakat antarabangsa, menurut Kementerian Luar Malaysia.
Pada 4 Jun, Amerika Syarikat memveto draf ketetapan Majlis Keselamatan PBB yang menggesa ‘gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal’ di Gaza, menurut laporan media antarabangsa.
Negara anggota majlis tersebut mengkritik Amerika selepas Washington menggunakan kuasa veto terhadap draf ketetapan yang menuntut pelaksanaan gencatan senjata dengan segera dan akses kemanusiaan tanpa halangan di Gaza.
Ia adalah pengundian pertama majlis yang dianggotai 15 negara itu berhubung isu berkenaan sejak November 2024 yang mana Amerika – sekutu utama Israel – turut menggagalkan teks desakan supaya pertempuran dihentikan.
Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 40 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam pada 3 Jun, manakala 208 lagi cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang cedera kepada 124,901 orang akibat serangan berterusan Israel.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Munir al-Bursh, berkata Israel juga dilaporkan terus menghalang kemasukan lebih 3,000 trak bantuan kesihatan ke Gaza, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia kritikal di semenanjung itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg