Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran jangka puluhan juta hadiri pengebumian Ali Khamenei
Iran jangka puluhan juta hadiri pengebumian Ali Khamenei
Mojtaba dilapor tidak akan hadir pengebumian bapanya atas faktor keselamatan
Iran jangka puluhan juta hadiri pengebumian Ali Khamenei
TEHERAN: Pemerintah Iran menjangkakan antara 20 juta hingga 35 juta orang akan menyertai upacara pengebumian mantan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara bersama Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu.
Jika angka itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadikan upacara berkenaan antara perhimpunan pengebumian terbesar dalam sejarah moden dunia.
Media pemerintah Iran melaporkan lebih 20 juta orang dijangka membanjiri Teheran sahaja bagi menghadiri penghormatan terakhir kepada tokoh berusia 86 tahun itu, sekali gus melebihi dua kali ganda populasi ibu negara Iran yang dianggarkan sekitar 10 juta penduduk.
Selain Teheran, upacara pengebumian turut dijadual berlangsung di bandar Qom dan Mashhad, dengan jutaan lagi dijangka hadir.
Pihak berkuasa Iran kini berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi menjelang siri acara besar-besaran yang berlangsung selama beberapa hari di tiga bandar utama negara itu.
Agensi berita Tasnim melaporkan majlis penghormatan terakhir akan berlangsung di kawasan solat Mosalla di Teheran pada 3 dan 4 Julai sebelum perarakan jenazah diteruskan di Qom pada 5 Julai.
Jenazah Allahyarham Khamenei kemudian akan dibawa ke Iraq pada 7 Julai sebelum kembali ke Iran untuk upacara pengebumian terakhir dan pengebumian rasmi di kampung halamannya di Mashhad pada 8 Julai.
Ketua Polis Trafik Iran berkata pihaknya menganggarkan antara 30 hingga 35 peratus penduduk Iran akan mengambil bahagian dalam upacara berkenaan.
Menurutnya, antara enam hingga 17 juta orang dijangka hadir di Teheran, tiga hingga lima juta di Qom dan antara 3.5 hingga lapan juta di Mashhad.
“Pihak berkuasa sudah mengadakan beberapa mesyuarat dengan agensi trafik dan jalan raya bagi menyediakan pelan menyeluruh termasuk penutupan jalan serta sekatan lalu lintas untuk memastikan kelancaran pergerakan orang ramai dan keselamatan,” katanya.
Timbalan Ketua Operasi Polis Trafik Iran pula berkata kira-kira 1.9 juta kenderaan dijangka memasuki Teheran sepanjang tempoh upacara itu.
Katanya, sekitar 30 peratus kenderaan dijangka memasuki ibu kota melalui wilayah Alborz dan Lebuh Raya Karaj, manakala 16 peratus melalui Lebuh Raya Pardis dan 13 peratus menerusi laluan Tehran-Qom.
Pihak berkuasa turut menjangkakan sekitar 450,000 kenderaan menuju ke Qom dan antara 1.3 hingga 1.4 juta lagi bergerak ke arah Mashhad.
Bagi mengelakkan kesesakan dan insiden tidak diingini, pemerintah menyediakan stesen minyak bergerak, laluan khas untuk pasukan kecemasan dan pusat perubatan berhampiran lokasi upacara.
Allahyarham Khamenei terbunuh bersama beberapa komander kanan tentera, pegawai pemerintah dan ahli keluarganya dalam serangan udara Amerika-Israel di Teheran pada permulaan perang Iran-Amerika-Israel pada 28 Februari lalu.
Kematiannya mencetuskan peralihan kepimpinan kedua Republik Islam Iran sejak Revolusi Iran 1979, apabila Majlis Pakar kemudian melantik anaknya, Encik Mojtaba Khamenei, sebagai pengganti rasmi.
Namun Encik Mojtaba dilaporkan tidak akan menghadiri upacara pengebumian bapanya atas faktor keselamatan.
Wakil Pemimpin Tertinggi Iran di India, Ayatollah Hakim Elahi, berkata keputusan itu dibuat susulan ancaman Israel dan kebimbangan mengenai pemantauan keselamatan.
“Sebarang kemunculan awam ketika ini dianggap berbahaya,” katanya seperti dipetik agensi berita ANI.
Encik Mojtaba juga dilaporkan belum muncul dalam sebarang imej baharu sejak perang bermula dan dipercayai mengalami kecederaan serius dalam serangan yang membunuh bapanya.
Ketegangan antara Iran, Israel dan Amerika terus memuncak apabila Menteri Luar Iran, Encik Seyed Abbas Araghchi, memberi amaran keras kepada Washington selepas Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, dilaporkan menyatakan Encik Mojtaba “sudah dikenal pasti untuk dibunuh”.
Dalam hantaran di platform X, Encik Araghchi berkata Amerika terikat dengan Memorandum Persefahaman (MOU) 14 perkara yang menamatkan permusuhan di Asia Barat termasuk menghalang Israel daripada melakukan tindakan provokatif.
Pemimpin agama Iran melihat upacara pengebumian besar-besaran itu sebagai lambang kesetiaan rakyat terhadap Republik Islam Iran.
Imam solat Jumaat Qom, Ayatollah Mohammad Saidi, berkata kehadiran besar rakyat akan menjadi “referendum baharu” terhadap Republik Islam.
“Kehadiran besar rakyat dalam perarakan pengebumian pemimpin syahid dan para syuhada lain akan menjadi referendum baharu bagi Republik Islam,” katanya kepada media pemerintah.
Pemerintah Iran kini giat menggerakkan penyokong mereka dengan menyediakan pengangkutan, tempat penginapan dan makanan bagi memastikan jutaan rakyat menghadiri upacara itu.
Upacara pengebumian besar-besaran itu mengingatkan dunia kepada pengebumian Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1989 yang dihadiri kira-kira 10.2 juta orang dan dianggap antara perhimpunan terbesar dalam sejarah manusia.
Ketika itu, suasana menjadi huru-hara apabila lautan manusia menyerbu keranda Allahyarham sehingga pengebumian terpaksa ditangguhkan sementara.
Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan ratusan cedera dalam rempuhan berkenaan. – Agensi berita.
