WASHINGTON: Amerika Syarikat telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran termasuk Fordo, Natanz dan Esfahan.
Ini diumumkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di wadah media sosial, Truth Social, pada 21 Jun.
“Kami telah menyelesaikan serangan yang sangat berjaya ke atas tiga tapak nuklear di Iran termasuk Fordow, Natanz dan Esfahan.
“Semua pesawat kini telah keluar dari ruang udara Iran.”
Beliau menambah bahawa “muatan penuh bom” telah digugurkan ke atas Fordo dan semua pesawat sedang dalam perjalanan pulang ke Amerika.
Sebelum itu, media antarabangsa melaporkan Amerika telah menghantar pesawat pengebom strategik B-2 ke Pulau Guam di Lautan Pasifik.
B-2 merupakan pesawat pengebom yang mampu membawa senjata pemusnah besar seperti GBU-57 Massive Ordnance Penetrator seberat 13,000 kilogram (kg) iaitu bom yang direka untuk memusnahkan sasaran bawah tanah.
Encik Trump mengakhiri catatannya dengan berkata: “Sekarang adalah masa untuk keamanan.”
Tindakan itu dibuat ketika Israel dan Iran terlibat dalam pertempuran udara lebih seminggu yang mengakibatkan kematian dan kecederaan di kedua-dua negara.
Israel melancarkan serangan ke atas Iran dengan mengatakan bahawa ia mahu menghapuskan sebarang peluang Tehran membangunkan senjata nuklear.
Iran pula menegaskan bahawa program nuklearnya bertujuan untuk tujuan damai.
Usaha diplomatik oleh negara-negara Barat untuk menghentikan permusuhan setakat ini tidak berjaya.
Encik Trump dijangka akan berucap mengenai perkara ini pada 10 pagi (waktu Singapura). - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg