TEHERAN: Serangan udara berskala besar oleh Israel pada awal pagi 13 Jun ke atas Iran telah menggoncang struktur keselamatan republik Islam itu, apabila beberapa pemimpin tertinggi tentera dan program nuklearnya dilaporkan terbunuh, termasuk Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Jeneral Hossein Salami.
Menurut portal berita separa rasmi Iran, Tasnim, Jeneral Salami dilaporkan maut dalam serangan tepat di ibu negara Teheran, menjadikan insiden itu antara yang paling mengejutkan dalam sejarah konflik Israel-Iran.
Jeneral Salami dikenali sebagai tokoh utama yang mengawasi hubungan strategik Iran dengan kumpulan proksi seperti Hezbollah di Lebanon yang sering melancarkan serangan ke atas Israel.
Tasnim turut melaporkan kematian tiga lagi pegawai kanan Iran – Timbalan Panglima Angkatan Tentera, Gholam Ali Rashid; ahli fizik nuklear Mohammad Mehdi Tehranji; dan saintis nuklear terkemuka Fereydoun Abbasi.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen negara itu memberi amaran keras: “Israel harus bersedia menerima hukuman yang berat. Tangan besi Republik Islam tidak akan melepaskan mereka.”
Ayatollah Khamenei turut mengesahkan beberapa komander kanan tentera dan saintis nuklear negara itu telah terbunuh, namun tidak menyebut Amerika Syarikat secara langsung.
Jurucakap Angkatan Tentera Iran, Brigedier Jeneral Abolfazl Shekarchi, turut memberi amaran melalui siaran langsung televisyen bahawa “Israel dan Amerika akan menerima tamparan hebat. Serangan balas pasti akan berlaku”.
Dalam masa yang sama, media rasmi Iran turut mengesahkan bahawa serangan itu turut menyebabkan kematian orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak di kawasan perumahan di Teheran.
“Beberapa individu termasuk wanita dan kanak-kanak syahid dalam serangan ke atas kompleks kediaman,” lapor agensi IRNA. Setakat ini, tiada maklumat rasmi dari pemerintah Iran atau Israel tentang jumlah kematian keseluruhan.
Serangan yang berlaku pada awal pagi Jumaat itu disifatkan sebagai perubahan drastik dalam taktik ketenteraan Israel.
Jika sebelum ini Israel hanya menyasarkan individu tertentu secara berasingan, kini mereka melancarkan serangan serentak terhadap beberapa tokoh penting dalam pasukan keselamatan dan saintis nuklear Iran.
Laporan rasmi dari empat pegawai kanan Iran menyatakan bahawa sekurang-kurangnya enam pangkalan tentera diserang di sekitar Teheran, termasuk Parchin, selain serangan ke atas dua kompleks kediaman pegawai kanan tentera yang dikawal ketat.
Televisyen negara turut menyiarkan rakaman dari kompleks Mahalati, tempat tinggal ramai komander IRGC, menunjukkan bangunan masih terbakar dengan pasukan kecemasan giat berusaha memadamkan api.
Dua bangunan kediaman dilaporkan runtuh, menyebabkan korban jiwa dan kecederaan. Kenderaan terbakar, tingkap pecah dan letupan kuat telah menyebabkan panik dalam kalangan penduduk.
Menurut seorang pegawai pertahanan Israel yang enggan dinamakan, sasaran utama termasuk ketua staf tentera Iran, Jeneral Mohammad Bagheri, serta beberapa panglima kanan dan ahli sains nuklear lain. Beliau mendakwa terdapat kemungkinan besar bahawa Jeneral Bagheri juga telah terbunuh.
Israel juga disyaki menggunakan operasi sabotaj dan serangan dari dalam yang melibatkan agensi perisikan Mossad. Radio tentera Israel melaporkan bahawa serangan turut menyasarkan makmal senjata, depot simpanan serta sistem pertahanan udara Iran yang dibekalkan oleh Russia.
Selain Teheran, serangan turut berlaku di kawasan tengah Iran berhampiran tapak pengayaan uranium, dengan letupan kuat turut dilaporkan di sana.
Kesan daripada serangan tersebut turut mencetuskan kebimbangan global bahawa konflik antara Israel dan Iran bakal menjurus kepada perang terbuka antara dua kuasa ketenteraan utama di Timur Tengah itu.
Sebagai langkah segera, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Iran mengumumkan penutupan ruang udara negara itu sehingga diberitahu kelak. Israel juga menutup ruang udara mereka dengan semua penerbangan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Ben Gurion dibatalkan.
Penduduk Teheran melaporkan mendengar letupan besar di beberapa kawasan bandar dan menyaksikan asap tebal menyusup dari bangunan yang terbakar.
Seorang pegawai keselamatan Iran yang enggan dinamakan memaklumkan bahawa jet pejuang Iran telah dikerahkan untuk memintas pesawat perang Israel, namun belum ada laporan lanjut mengenai pertembungan tersebut.
Sementara itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel-Amerika (AIPAC) dalam satu kenyataan menyokong tindakan Israel, menyifatkan serangan itu sebagai “langkah untuk melumpuhkan program nuklear Iran dan melindungi dunia daripada Iran yang bersenjata nuklear”. Mereka turut menyeru pentadbiran Presiden Donald Trump untuk berdiri teguh bersama Israel dalam detik kritikal ini.
Dengan Iran berikrar akan bertindak balas, dunia kini menanti dengan penuh kebimbangan terhadap langkah yang akan diambil Teheran, yang mungkin menyasarkan sasaran di Timur Tengah atau bahkan sekutu Israel di luar negara.
Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, dalam ucapan di televisyen memberi amaran: “Tindak balas Iran kali ini mungkin berbeza dan lebih besar.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg